ISU-ISU TERKINI

JANA PENDAPATAN

Monday, March 11, 2019

Esei Berformat Syarahan : Punca-punca dan Kesan pencemaran

KARANGAN STPM
SEMESTER 2
ESEI BERFORMAT
KERJA KURSUS


LAPORAN

Kemunculan anjing dan kucing terbiar semakin banyak di sekitar taman perumahan anda. Anda dan rakan-rakan anda dalam sebuah pertubuhan pencinta haiwan telah menjalankan satu kajian tentang isu ini dan aspek yang ditekankan ialah kesan kemunculan anjing dan kucing terbiar ini dan cadangkan langkah untuk mengatasinya.  Sebagai setiausaha pertubuhan berkenaan, tuliskan laporan tersebut selengkapnya.


Skema jawapan
·         Format jawapan mestilah dalam bentuk laporan

Laporan tentang Kemunculan Anjing dan Kucing Terbiar
Dan Cadangan untuk Mengatasinya

1.0              Pendahuluan
§  Pengenalan haiwan terbiar dan kaitkannya dengan tajuk
2.0              Senarai Ahli Jawatankuasa
Pengerusi:
Naib Pengerusi:
Setiausaha:
Bendahari:
Ahli Jawatankuasa:
3.0              Kesan Kemunculan Anjing dan Kucing Terbiar
3.1              Kebersihan Kawasan Perumahan Terjejas
3.2              Penyakit Berjangkit Berleluasa
3.3              Keselamatan Penghuni Terjejas
3.4              Imej Penghuni Tercemar
4.0              Cadangan untuk Mengatasinya
4.1              Menggiatkan Tangkapan Haiwan Terbiar oleh Pihak Berkuasa
4.2              Mengumpul Haiwan Terbiar oleh Pertubuhan Pencinta Haiwan Tempatan
4.3              Memupuk Nilai Kasih Sayang Orang Ramai terhadap Haiwan Peliharaan
5.0              Kesimpulan
§  Masalah penyisihan haiwan peliharaan perlu dipandang sebagai masalah yang serius.
§  Masalah ini perlu diatasi dengan kadar segera sebelum masalah ini menjadi lebih parah untuk diatasi



Laporan disediakan oleh,                                                        Tarikh
Tandatangan
(NAMA DALAM HURUF BESAR)
Jawatan


Format Laporan STPM- Kemunculan Anjing dan Kucing yang berkeliaran

KARANGAN BERFORMAT LAPORAN
SEMESTER 2 
STPM


LAPORAN

Kemunculan anjing dan kucing terbiar semakin banyak di sekitar taman perumahan anda. Anda dan rakan-rakan anda dalam sebuah pertubuhan pencinta haiwan telah menjalankan satu kajian tentang isu ini dan aspek yang ditekankan ialah kesan kemunculan anjing dan kucing terbiar ini dan cadangkan langkah untuk mengatasinya.  Sebagai setiausaha pertubuhan berkenaan, tuliskan laporan tersebut selengkapnya.


Skema jawapan
·         Format jawapan mestilah dalam bentuk laporan

Laporan tentang Kemunculan Anjing dan Kucing Terbiar
Dan Cadangan untuk Mengatasinya

1.0              Pendahuluan
§  Pengenalan haiwan terbiar dan kaitkannya dengan tajuk
2.0              Senarai Ahli Jawatankuasa
Pengerusi:
Naib Pengerusi:
Setiausaha:
Bendahari:
Ahli Jawatankuasa:
3.0              Kesan Kemunculan Anjing dan Kucing Terbiar
3.1              Kebersihan Kawasan Perumahan Terjejas
3.2              Penyakit Berjangkit Berleluasa
3.3              Keselamatan Penghuni Terjejas
3.4              Imej Penghuni Tercemar
4.0              Cadangan untuk Mengatasinya
4.1              Menggiatkan Tangkapan Haiwan Terbiar oleh Pihak Berkuasa
4.2              Mengumpul Haiwan Terbiar oleh Pertubuhan Pencinta Haiwan Tempatan
4.3              Memupuk Nilai Kasih Sayang Orang Ramai terhadap Haiwan Peliharaan
5.0              Kesimpulan
§  Masalah penyisihan haiwan peliharaan perlu dipandang sebagai masalah yang serius.
§  Masalah ini perlu diatasi dengan kadar segera sebelum masalah ini menjadi lebih parah untuk diatasi



Laporan disediakan oleh,                                                        Tarikh
Tandatangan
(NAMA DALAM HURUF BESAR)
Jawatan


Esei Berformat STPM-Format Ceramah: Langkah-langkah memupuk amalan membaca



Kini, amalan membaca dalam kalangan masyarakat semakin merosot. Sebagai seorang Pegawai dari Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sarawak, anda telah diminta untuk menyampaikan ceramah kepada murid-murid sekolah di daerah anda dalam satu Program Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Daerah Bintulu. Fokus ceramah anda adalah tentang langkah-langkah memupuk amalan membaca dalam kalangan pelajar. Sediakan teks ceramah tersebut selengkapnya.

Esei hendaklah ditulis berdasarkan format ceramah, yang mengandungi kata alu-aluan, kata sapaan, dan penutup yang sesuai. Perenggan 1 mengandungi kata alu-aluan dan tajuk sahaja, manakala perenggan 2 mengandungi pendahuluan karangan.

 Pendahuluan
·         Pengenalan tajuk
·         Konsep amalan membaca
·         Langkah-langkah proaktif untuk memupuk budaya ini perlu dilaksanakan dengan segera

Isi (Langkah memupuk amalan membaca)
IS1 :Ibu bapa menjadi suri teladan
IS2 : Kerajaan mengdakan kempen menggalakkan amalan membaca
IS3 : Media massa menghebahkan kepada pelajar tentang kepentingan amalan membaca
IS4 : Sekolah mengadakan pertandingan yang menggalakkan minat membaca dalam diri
         pelajar
IS5 : Penerbit buku menerbitkan lebih banyak bahan bacaan yang sesuai untuk pelajar
IS6 : mewujudkan sudut/ruamg bacaan di sekolah dan di rumah

Kesimpulan
      Budaya membaca perlu dipupuk sejak kecil
      Semua pihak bekerjasama untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan pelajar
      Pelajar menjadikan amalan membaca dalam kehidupan seharian


#membacabudayakita
#membacaamalanmulis
#bangsamembacabangsaberjaya

Thursday, October 13, 2016

PERANAN IBU BAPA MENGATASI MASALAH SOSIAL (KARANGAN SPM)







Peranan Ibu Bapa dalam Mengatasi Masalah Sosial

Remaja,
Ingatlah masa depanmu,
Kenanglah,
Jasa ibu dan ayahmu,
Susah payah mereka membesarkan kita.

          Lirik lagu di atas cukup jelas memanifestasikan satu mesej kepada para remaja supaya sentiasa menghargai ibu dan bapa mereka. Umum mengetahui, para remaja marcapada ini terlalu lalai dan leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka dalam delinkuen social sudah menjadi buah mulut dan mauduk utama perbualan orang mutakhir ini. Jadi, ibu bapa dilihat sebagai satu komponen paling utama malah turut dianggap formula yang cukup mujarab bagi mengatasi masalah dalam kalangan remaja.

           Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat menginginkan perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti dapat ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Api kemarahan dan benteng keegoan yang menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh kepada anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Jadi, sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan anak-anak mereka berbanding hal-hal lain.

           Selain itu, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak. Hal ini cukup bertepatan dengan langkah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat yang telah mengisytiharkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad kepada semua pegawai kerajaan. Perkara ini cukup membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia dalam menyediakan ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk bersama anak-anak. Percayalah, anak-anak akan berasa lebih dihargai apabila ibu bapa menghabiskan masa berkualiti bersama mereka. Tamsilannya, ibu bapa boleh membawa anak-anak melancong, beriadah bersama-sama malahan menjalankan aktiviti kerohanian secara berjemaah. Melihat kepada senario masyarakat kontemporari, ibu bapa lebih cenderung untuk mengejar materialistik dan menjadikan pejabat sebagai rumah kedua mereka. Sikap ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ini perlu dikikis segera bagi memastikan para remaja tidak terlibat dalam gejala sosial. Maka, jelaslah anak-anak remaja perlu dijadikan prioriti utama dalam usaha membendung kemelut ini.

               Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak. Pendidikan ini merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal. Tindakan kerajaan Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan di sekolah amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal kepada anak-anak. Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”. Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat menangani masalah ini.
Seterusnya, ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada menyebut,” kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang”. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas anatara lelaki dan perempuan sudah sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis di kota metropolitan Kuala Lumpur iaitu di kelab-kelab malam di sana mendapati hampir 15 peratus anak-anak remaja di bawah umur ditahan positif dadah. Perkara ini jelas menunjukkan andai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka tanpa tempat bergantung, mereka akan mudah terlibat dalam kebejatan sosial pada masa ini. Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatik dalam usaha membasmi gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja.

          Akhir sekali, ibu bapa perlu melengkapkan keperluan asas anak-anak. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitu juga dengan perkembangan dunia yang kian ekstrem menjengah kita. Oleh itu, dalam kita mengharung arus modenisasi, sudah tentu anak remaja tidak mahu dihimpit dengan ketidakselesaan dan pemikiran yang jumud. Maka, sebagai ibu bapa, mereka perlu menyediakan keperluan asas anak-anak bagi menjamin keselesaan. Tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlu disediakan. Hal ini amat penting bagi memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah lantas tidak terlibat dalam gejala sosial. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Malaya, anak-anak remaja daripada golongan miskin lebih cenderung untuk terlibat dalam penagihan najis dadah. Hal ini pastinya akan dapat dibendung andai segala keperluan asas remaja dilengkapkan walaupun ibu bapa tidak melambakkan kemewahan kepada mereka.

         Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, “sebelum padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.

Berkorban apa sahaja,
Harta ataupun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia.

Ingatlah, ibu bapa cemerlang, anak-anak gemilang!

PERANAN ANAK-ANAK MERINGANKAN BEBAN KEWANGAN IBU BAPA (KARANGAN SPM)








Pelbagai masalah mula menekan keluarga  seperti peningkatan kos hidup dan masalah kewangan. Sehubungan dengan itu, anak-anak boleh membantu ibu bapa untuk mengurangkan bebanan kewangan yang semakin meruncing.

Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh anak-anak membantu meringankan beban kewangan keluarga

            Pakar-pakar dalam bidang sosioekonomi sering menyatakan bahawa kemajuan ialah ‘kos’. Kos yang dimaksudkan ialah peningkatan dalam nilai berbayar terhadap semua keperluan asas. Hal tersebut amatlah nyata kerana dalam tempoh satu dekad belakangan masyarakat terpaksa berhadapan dengan peningkatan mendadak harga barangan keperluan sehingga mencecah 40 peratus. Kenaikan harga barangan pengguna terutama petroleum, gula dan gandum mengikibatkan semua barangan keperluan yang lain turut meningkat. Fenomena tesebut tidak dapat dielakkan kerana minyak menjadi nadi kehidupan dan berupaya mengubah struktur pasaran semasa. Apabila berlaku perubahan dalam kos hidup, justeru terjadilah sekelompok masyarakat yang terkena bahangnya dan mula merasakan beban kewangan. Golongan yang paling terkesan ialah keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Ketika berada dalam situasi tertekan seperti sekarang, anak-anak diharap dapat memahami situasi yang dihadapi oleh ibu bapa. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa.

Jikalau pendahuluan di atas terlalu panjang dan gagal untuk anda kuasai ambil pendahuluan alternatif di bawah ini.

Semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.

                Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam situasi begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM20 justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama. Inilah sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

                Anak-anak yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya ibu bapa seperti inginkan pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan ditempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sesama enggang masakan dapat terbang bersama.

                Walaupun bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya telah banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.

                Bak kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah peribahasa yang menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada induknya. Hal demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak usia dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan sikap membalas budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.

                Kaya atau miskin, susah mahupun senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakara yang paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa. Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Allah sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah akan tetap bersama-sama kita.


                Kesimpulannya, ketika berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan, setiap keluarga tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.

PERANAN IBU BAPA MENERAPKAN SEMANGAT PATRIOTISME DALAM ANAK-ANAK ( KARANGAN SPM)

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.

Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di  Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan  semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat.  Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?

Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Jelaslah, Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak

Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar. Tegasnya, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak.

Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi ‘role model’ atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.

Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa  mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu.  Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati   setiap cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.

Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. kita Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya,  apabila anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar  cerita-cerita tentang kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik.  Jelaslah bahawa,  jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil  lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.


Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan  bahawa ‘ tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia’. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.

USAHA MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN NEGARA (KARANGAN SPM)

Usaha-usaha Memajukan Industri Pelancongan Negara



           Sebagai sebuah negara yang beriklim Khatulistiwa, Malaysia mempunyai alam semula jadi yang unik dengan deretan pulau yang menawan. Oleh itu, negara kita mampu menjadikan industri pelancongan sebagai sumber utama pendapatan negara jika alam semula jadi itu dieksploitasi sepenuhnya. Berdasarkan jumlah pelancong yang semakin bertambah ke negara kita sejak belakangan ini, jelas menunjukkan bahawa negara ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Keunikan budaya rakyat yang berbilang kaum menjadi aset penting dalam usaha negara menarik kedatangan pelancong. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, menyarankan agar tugas menarik kedatangan pelancong harus menjadi tanggungjawab semua pihak dan tidak terletak di bahu kerajaan sahaja. Saya berpendapat bahawa masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan lebih banyak pelancong mengunjungi Malaysia dan tinggal di negara ini.

            Antara faktor utama pelancong datang di sesebuah negara ialah adanya kemudahan prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar memperlengkap kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya, banyak  pelancong yang datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus menambah kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan sekiranya kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan tersebut.

            Kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, dan sebagainya turut menjadi faktor penting dalam menarik ramai pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan penting kerana ini akan menentukan sarna ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap,  hal ini akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan di bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu.

           Kerajaan melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) wajar menyediakan maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di tempat- tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal ini dapat dilakukan sama ada menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah, dan akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen. Selain itu, dengan mewujudkan halaman pelancongan dalam internet juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing. Usaha LPPM mempromosi Malaysia dengan mengiklankan negara kita pada dinding 60 buah bas di kota London pada tahun lalu menandakan usaha serius pihak terbabit dalam nenarik lebih banyak pelancong datang ke negara ini. Jika maklumat yang lengkap sampai ke pengetahuan pelancong, mereka tentunya akan datang melawat negara kita pada suatu hari kelak.

            Kepelbagaian kebudayaan dan adat resam penduduk tempatan juga dapat menarik banyak pelancong datang ke negara ini. Malaysia yang memang kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan seperti tarian Melayu, India, Cina, dan suku kaum di Sabah serta Sarawak mampu menghiburkan pelancong, khususnya kepada pelancong yang gemar kepada sesuatu yang baru. Kebanyakan pelancong memang gemar melihat kehidupan masyarakat di sesuatu tempat. Rumah Budaya di Kuching, Sarawak menempatkan pelbagai jenis rumah dan kebudayaan suku kaum di negeri berkenaan dan sentiasa menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke sana. Kementerian terbabit harus menjadikan pelbagai budaya yang unik di negara kita sebagai daya tarikan utama dalam membangunkan industri pelancongan dengan rnemperkemas persembahan yang sedia ada.

            Mengadakan promosi di luar negara juga merupakan langkah yang wajar dilakukan oleh LPPM dalam usaha menarik lebih banyak pelancong mengunjungi negara ini. Pelbagai aktiviti seperti rnengadakan Minggu Malaysia di beberapa buah negara di seluruh dunia dan acara pertukaran delegasi kebudayaan dengan negara tertentu adalah antara usaha berkesan memperkenalkan Malaysia kepada pelancong asing. Tindakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan membuka pusat penerangan di beberapa buah negara membuktikan bahawa usaha yang berterusan telah dilakukan dalam menarik pelancong. Buktinya, program seperti Tahun Melawat Malaysia (TMM) ternyata berjaya menarik ramai pelancong datang ke negara ini, sekali gus memberi keuntungan besar melalui tukaran mata wang asing. Promosi pula perlu dipertingkat bagi menarik kehadiran pelancong walaupun terpaksa rnembelanjakan wang yang besar, namun pulangannya juga lumayan.

            Berdasarkan penerangan di atas, jelas bahawa pelbagai cara boleh dilakukan dalam usaha menarik pelancong datang ke negara ini. Oleh itu, pihak terbabit harus memikirkan kaedah lain yang lebih berkesan, mudah, dan tidak memerlukan perbelanjaan yang besar sejajar dengan keadaan ekonomi negara yang meruncing dewasa ini. Jadi, tanggungjawab untuk mempromosi keunikan dan keindahan alam semula jadi negara kita kepada pelancong harus dikongsi bersama kerana rakyat juga akan mendapat manfaatnya. Industri pelancongan di negara ini akan terus berkembang dan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara jika diusahakan secara lebih profesional.