Facebook dan Twitter merupakan laman sosial yang digilai
ramai terutamanya golongan remaja. Dengan menggunakan laman sosial facebook
atau twitter, kita boleh berkenalan dan berkomunikasi dengan ramai orang dari
seluruh dan boleh mendapatkan maklumat terkini dengan mudah dan pantas.
Penggunaan laman sosial ini juga sangat efisien. Pelbagai aplikasi yang
dimuatkan dilaman sosial ini dan memberi manfaat kepada pengguna seperti boleh
menghantar pesanan kepada rakan dengan pantas, membuat paggilan video dan
sebagainya. Laman sosial seperti facebook dan twitter bukan sahaja medan untuk
bersosial dan berhibur sahaja, tetapi laman sosial ini boleh dijadikan medan
untuk pelbagai tujuan. Bagi ahli-ahli perniagaan misalnya boleh menarik
pelanggan untuk membeli produk atau perkhidmatan mereka menggunakan laman
sosial ini. Perkembangan semasa yang berlaku sama ada di dalam dan di luar
negara juga dapat diketahui dengan pantas melalui status rakan-rakan atau laman
yang telah disambungkan dengan akaun kita misalnya akhbar online dan blog.
Bagi seorang guru pula, mereka boleh memanfaatkan laman
sosial yang diminati ramai ini untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Saya
percaya, dalam era teknologi maklumat yang semakin pesat ini, boleh dikatakan
ramai pelajar sekarang sudah memiliki akaun facebook atau twitter. Mereka sudah
pandai menggunakan komputer dan mengakses internet sendiri walaupun baharu
sahaja berada di sekolah rendah. Tambahan pula, di kebanyakan sekolah menengah
misalnya, ramai para pelajar telah dibekalkan dengan komputer riba kecil
sendiri. Pelajar yang mempunyai jaringan internet di rumah, sudah tentu boleh
melayari laman sosial dengan mudah di rumah dan tidak perlu ke kedai komputer.
Laman sosial seperti facebook dan twitter sebenarnya salah satu media
pengajaran yang berkesan yang boleh digunakan sebagai satu medium dan ruangan
interaksi antara guru dan pelajar selain di bilik darjah.
Pada pendapat saya, seorang guru perlu mengambil kira minat
dan kecenderungan pelajar kerana apa yang dilihat dalam situasi kini, para
pelajar sentiasa ada masa dan sangat berminat untuk mengikuti dan melayari
laman sosial seperti facebook dan twitter. Jadi, apa salahnya jika guru menjadikan
laman sosial tersebut sebagai laman untuk tujuan pengajaran dna pembelajaran.
Bagi seorang guru bahasa Melayu, laman sosial ini boleh digunakan untuk tujuan
pengajaran dan pembelajaran bahasa. Laman sosial ini boleh digunakan sebagai
tempat untuk berdiskusi, membuat tutorial dan menimba ilmu. Contohnya, sebagai
langkah pertama, guru boleh membuat kumpulan untuk setiap tingkatan yang diajar
dan menambah pelajar-pelajar di dalam kelas yang sama di dalam kumpulan
tersebut. Bagi kelas yang berlainan, perlu dimasukkan dalam kumpulan yang
berlainan kerana tahap kefahaman secara puratanya adalah berbeza-beza mengikut
kelas. Di dalam kumpulan tersebut, guru boleh memuat turun bahan pengajaran
sama ada berkaitan tatabahasa, pemahaman, karangan atau KOMSAS ke dalam
kumpulan tersebut. Bukan sahaja bahan pengajaran tersebut disediakan sendiri
oleh guru, tetapi guru juga boleh mendapatkan pelbagai bahan pengajaran di
dalam internet terutamanya di dalam laman web pendidikan atau blog-blog
berkaitan. Guru juga boleh menghubungkan bahan yang terdapat di dalam mana-mana
laman web pendidikan atau blog berkaitan dengan kumpulan tersebut. Para pelajar
boleh memanfaatkan bahan tersebut bagi menambahkan lagi ilmu mereka tentang
sesuatu topik pembelajaran. Cara ini merupakan cara yang mudah dan berkesan
kerana bukan mudah untuk melihat seseorang pelajar mencari sendiri maklumat
tambahan di dalam internet. Tetapi jika guru menghubungkan terus bahan
pengajaran tersebut di dalam laman sosial, kecenderungan pelajar untuk membaca bahan
tersebut lebih besar.
Selain memuat turun bahan pengajaran, guru boleh memberikan
latihan kepada pelajar sebagai aktiviti pengukuhan diluar bilik darjah bagi
memantapkan dan menguji kefahamn pelajar. Contohnya, guru boleh memberikan
soalan-soalan berbentuk kefahaman seperti meminta pelajar memberikan maksud
peribahasa, maksud rangkai kata, memberikan pendapat dan sebagainya. Melalui
laman sosial ini juga, guru boleh memuat turun video-video berkaitan untuk
tujuan pembelajaran. Latihan-latihan yang diberikan di dalam laman sosial lebih
mudah untuk pelajar dan guru kerana pelajar boleh menjawab terus dan guru juga
boleh memberikan penilaian terus kepada pelajar. Penggunaan laman sosial dapat
mewujudkan satu suasana pembelajaran yang aktif. Hal ini kerana ada pelajar
yang agak pasif di dalam kelas kerana kurang keyakinan untuk bercakap di
hadapan rakan-rakan mereka menjadi aktif melalui pembelajaran melalui laman
sosial kerana mereka boleh memberikan pendapat dan berkomunikasi di alam maya
tanpa perlu bersemuka dengan rakan-rakan atau guru. Pelajar juga bebas
memberikan pendapat dengan pantas dengan hanya menekan butang ‘komen’.
Kesimpulannya, laman sosial seperti facebook dan twitter
boleh dijadikan sebagai satu media pengajaran yang berkesan sesuai dengan
perkembangan teknologi semasa. Penggunaan laman sosial ini menyediakan suasana
pembelajaran yang pelbagai di mana belajar boleh bersosial dan dalam masa yang
sama dapat menimba ilmu pengetahuan. Pembelajaran sebegini sangat santai dan
tidak membosankan pelajar malahan boleh memupuk minat pelajar terhadap budaya
ilmu.
No comments:
Post a Comment