‘Facebook” dan “Twitter” merupakan dua buah laman sosial
yang mempunyai pelanggan jutaan manusia. Pelanggan-pelanggan tersebut
termasuklah juga dari golongan remaja. Sangat sukar untuk menemui remaja yang
tidak mempunyai laman sosial sendiri. Pada masa kini, laman sosial seakan-akan
sudah menjadi satu keperluan, bukan lagi sebagai kemudahan untuk berinteraksi
dengan rakan-rakan dari seluruh dunia. Guru seharusnya mengambil peluang
terhadap kepesatan dunia internet untuk mengubah cara mengajar dalam usaha
mencapai tahap pengajaran yang berkesan.
Tidak dinafikan, penggunaan pen marker dan papan tulis,
serta buku masih lagi berfungsi dan relevan dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran seorang guru di dalam bilik darjah. Namun, sebagai guru yang baik,
guru perlu mengambil kesempatan mengubah gaya pengajaran agar lebih menarik dan
menambah minat murid untuk belajar. Dalam pengajaran bahasa Melayu misalnya,
terdapat pelbagai cara untuk guru mengaplikasikan kedua-dua laman sosial ini
dalam pengajaran bahasa. Selain laman-laman sosial digunakan sebagai medan
meluah perasaan, memuat naik gambar, memberitahu aktiviti semasa yang dilakukan
dan sebagainya, guru perlu memikul tugas untuk menerapkan suatu budaya belajar
dalam dunia laman sosial. Guru perlu membuatkan laman sosial sebagai laman ilmu
dan laman yang memberi faedah kepada murid-murid.
Untuk melakukan pengajaran melalui ‘facebook’ dan ‘twitter’,
guru perlulah terlebih dahulu mempunyai akaun kedua-dua laman sosial tersebut.
Melalui akaun laman sosial yang telah diwujudkan, guru perlu menambah anak-anak
murid sebagai rakan. Seterusnya, barulah guru boleh melakukan pengajaran
berbantukan laman sosial tersebut. Dalam pengajaran karangan misalnya, guru
boleh memuat naik contoh karangan sehari sebelum pengajaran yang melibatkan format
karangan tersebut sebagai tatapan awal murid sebelum masuk ke kelas keesokkan
harinya. Perkara ini dapat memberi gambaran awal kepada murid terhadap apa yang
bakal dipelajarinya dan perkara dapat ini mengukuhkan kefahaman murid.
Dalam pengajaran karangan, guru boleh melakukan aktiviti
menyambung cerita di laman “Facebook”, contohnya, guru menulis satu perenggan
di dinding laman sosial dan kemudiannya meminta murid untuk menyambung jalan
cerita tersebut. Pengajaran sebegini sangat menarik dan merupakan suatu
kelainan ketara dalam pengajaran guru. Murid tentunya teruja apabila dapat
belajar dalam laman sosial, yakni satu dunia pembelajaran yang baharu baginya.
Selain itu, guru juga boleh memuat naik nota-nota tatabahasa
dan latihan tatabahasa untuk dijawab oleh murid. Guru memberikan satu tempoh
masa untuk murid menjawab soalan latihan tatabahasa dalam laman sosial. Salah
satu faedah mengadakan kuiz di laman sosial ialah, murid-murid akan
berlumba-lumba menjawab soalan yang diberikan kerana rakan-rakan mereka boleh
melihat jawapan yang diberikan. Apabila masing-masing boleh melihat jawapan
masing-masing, pastilah murid-murid akan saling bersaing menjawab soalan yang
diberikan dengan baik untuk menjadi yang terbaik.
Di samping itu, guru juga boleh memuat naik contoh karangan
terbaik setiap kali latihan karangan diberikan di dalam kelas. Karangan murid
yang terbaik diimbas dengan menggunakan mesin pengimbas, lalu dimuat naik ke
dalam laman-laman sosial untuk tontonan umum. Murid yang terlibat pasti berasa
bangga dan gembira serta rasa dihargai oleh guru. Peneguhan melalui cara ini
sangat berkesan bukan sahaja kepada diri murid tersebut, malah memberi motivasi
kepada Murid-murid yang lain. Mereka akan cuba membuat karangan yang sebaik
mungkin untuk menjadi karangan pilihan yang bakal dimuat naik oleh guru di
laman sosial seperti di “Facebook” dan di ‘Twitter”.
Laman sosial memberi kemudahan kepada penggunanya untuk berkongsi
gambar, video, fail dan sebagainya. Guru boleh mengambil kesempatan ini dengan
memuat naik video yang berkaitan dengan pengajaran bahasa Melayu seperti video
forum, video debat dan sebagainya. Guru juga boleh memberi maklumat melalui
perkongsian pautan untuk ke laman-laman web yang berbicara mengenai aspek
pengajaran bahasa. Untuk memastikan keberkesanan cara ini, guru boleh meminta
murid membuka pautan yang dikongsikan dan fahami apa yang ada di dalam laman
tersebut, dan keesokkan harinya guru boleh meminta murid menerangkan apa yang
terdapat dalam laman tersebut.
Guru memikul tanggungjawab yang besar selain daripada tugas
mengajar. Guru adalah contoh terbaik kepada murid-murid. Melalui laman-laman
sosial yang dimiliki oleh guru, guru perlu menerapkan budaya berbahasa dengan
baik serta menanamkan nilai kesopanan dalam berbahasa. Guru perlu menggunakan
bahasa yang baik dalam usaha untuk menerapkan penggunaan bahasa dengan baik
oleh murid-murid dan dalam kalangan teman-teman sosial yang lain.
Kesimpulannya, dalam era internet sekarang, amat wajar guru
mengaplikasikan laman “facebook” dan ‘twitter’ dalam pengajaran bahasa Melayu.
Cara ini dilihat lebih berkesan kerana murid banyak menghabiskan masa di
laman-laman sosial. Cara ini dapat membuatkan penggunaan laman sosial lebih
berfaedah dan membuatkan murid seronok dan termotivasi apabila belajar dengan
menggunakan laman sosial yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
No comments:
Post a Comment