KARANGAN PENGGAL 1 STPM BAHASA MELAYU.........
KEBAIKAN DAN KEBURUKAN SAINS DAN TEKNOLOGI
Dalam era dunia
tanpa sempadan, semua maklumat hanyalah dihujung jari. Sains dan teknologi
membawa kita kepada suatu perubahan kehidupan. Kemajuan sains dan teknologi
tidak boleh dinafikan. Terdapat juga yang menafikan tentang kesan sains dan
teknologi. Pelbagai kesimpulan yang dibuat oleh individu berdasarkan pengamatan
tentang kesan sains dan teknologi sama ada membawa kepada kemajuan mahupun
kemusnahan alam sejagat. Tidak dapat dinafikan bahawa sains dan teknologi
mempunyai peri pentingnya dalam pembangunan masyarakat sejagat. Walau bagaimana
pun sains dan teknologi mempunyai kesan buruk dalam pembangunan negara termasuk
alam sekitar mahupun sosial.
Kini, ciptaan
yang cukup canggih hasil penemuan manusia dalam teknologi pertahanan mampu
melindungi negara daripada diserang musuh. Pelbagai bentuk alat pertahanan
daripada senjata sehinggalah alat kelengkapan perang turut mengiringi kemajuan
sains dan teknologi. Dari satu sudut, sains dan teknologi mungkin membawa
kebaikan kepada negara tapi jika difikirkan mungkin banyak lagi kesan yang
timbul akibat penggunaan alat canggih hasil kemajuan sains dan teknologi.
Pernahkah terfikir, bahawa kecanggihan alatan perang boleh membawa kemusnahan
dunia termasuklah alam sekitar dan juga banyaknya jiwa yang terkorban dek
kerakusan manusia sendiri. Kesan penggunaan bom atau senjata api boleh
memusnahkan alam sekitar. Walaupun sekadar untuk menguji keupayaan sesuatu
ciptaan, kadang- kadang perkara tersebut mengundangkan kepada kemusnahan alam
sekitar seperti membawa kepada pencemaran alam.
Kini kawalan
terhadap bahan radioaktif sebenarnya amat longgar memandangkan amalannya kian
meluas. Kesan daripada letupan bom kotor mungkin tidak sedahsyat bom nuklear
tetapi boleh menyebarkan bahan radioaktif dan menyebabkan radiasi ke kawasan
yang lebih luas. Sudah tentu ia memberi kesan psikologi terhadap masyarakat
yang kurang pengetahuan mengenai keselamatan sinaran. Mungkin ia juga menimbul
kekalutan dan ketakutan yang akan menjejaskan kegiatan sesebuah masyarakat.
Usaha pembersihan kawasan yang dicemari radiasi juga menelan belanja yang
tinggi dan membabitkan tenaga kerja yang ramai dan peralatan yang canggih.
Bukankah ia akan memberi kesan kepada ketenteraman awam, menyebabkan kegawatan
ekonomi negara malah ia turut tersebar melalui tiupan angin dan tekanan udara
ke negara yang bersempadan. Kesan inilah yang turut dibimbangi oleh banyak
pihak kerana penyalahgunaan kemajuan teknologi yang sedia ada.
Teknologi
maklumat yang berkembang pesat sehingga ke hari ini memungkinkan semua lapisan
masyarakat mendapat maklumat dengan begitu mudah. Pelbagai penerokaan maklumat
boleh diperolehi tanpa ada batasan. Dengan menggunakan teknologi maklumat dan
komunikasi, jalan dakwah terbuka luas untuk menyampaikan sesuatu yang berguna
kepada masyarakat. Namun di sebalik kecanggihan dan kelebihan teknologi
tersebut kini, terselit suatu keburukan yang jarang sekali difikirkan kerana ia
timbul tanpa disedari. Ramai muda mudi kita terpengaruh dengan kelebihan
teknologi maklumat. Kesannya kepada pembangunan sosial generasi kita terlalu
besar di mana mereka leka dengan teknologi tersebut sehingga mengabaikan nilai
murni. Contohnya, internet yang merupakan gedung ilmu, tetapi kadangkala muda
mudi kita menyalahgunakan kelebihannya dengan melayari laman- laman web yang
berunsur lucah dan tidak berakhlak. Ini akan mempengaruhi fikiran golongan
tersebut dan akan merosakkan pembangunan nafs mereka.
Kini
bioteknologi memacu negara ke arah pembangunan. Bidang kejuruteraan makanan
menerusi teknologi terkini mampu menghasilkan makanan ubahsuaian genetik
(Genetically Modified Food) yang mempunyai ciri- ciri terbaik seperti tahan
lama, sedap dan bermutu, mudah, murah serta meningkatkan pengeluaran tanaman
contohnya beras perang, tomato dan cili. Makanan yang dihasilkan adalah sama
tetapi mempunyai sifat- sifat yang berbeza yang dimasukkan dengan pelbagai
gabungan gen organisma lain. Apa yang menjadi persoalan ialah sumber genetik
yang digunakan untuk menghasilkan makanan ubahsuaian tersebut dikhuatiri
daripada benda-benda yang dilarang oleh syarak. GMF juga memberi kesan terhadap
kesihatan manusia kerana mengandungi bendasing (allergen) yang tidak diketahui
kesan buruknya.
Isu pengklonan
juga mendapat perhatian hangat dari semua pihak. Hasil kemajuan teknologi mampu
memindahkan genetik dari satu organisma ke organisma lain. Ini akan
menghasilkan satu organisma yang sama dengan yang induk. Isu ini agak
dibimbangi kerana takut disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk tujuan
pengklonan manusia. Hal ini terlalu menyimpang dari landasan agama yang
sebenar. Begitu juga dengan teknologi "stem cell" yang banyak
kelebihannya dalam membantu mengatasi pelbagai penyakit. Namun apa yang
dikhuatiri jika penggunaan "embryonic stem cell" bakal disalahgunakan
juga untuk pengklonan manusia.
Natijah
daripada kemajuan sains dan teknologi kini sememangnya banyak membawa kepada
kebaikan disamping terselit juga keburukan. Pokok pangkalnya, apa jua kemajuan
yang dicapai perlulah berlandaskan nilai- nilai Islam dan mengikut batas- batas
penerokaan ilmu yang telah ditetapkan. Barulah kemajuan dan pembangunan yang
kita capai tidak terpesong dan tidak mendatangkan keburukan kepada ummah kerana
kadangkala keburukan itu sebenarnya kita juga yang menciptakannya.
(618 PATAH PERKATAAN)
No comments:
Post a Comment