Pelbagai masalah mula menekan keluarga seperti peningkatan kos hidup dan masalah kewangan. Sehubungan dengan itu, anak-anak boleh membantu ibu bapa untuk mengurangkan bebanan kewangan yang semakin meruncing.
Berikan pendapat anda
tentang langkah-langkah yang boleh anak-anak membantu meringankan beban kewangan
keluarga
Pakar-pakar dalam bidang
sosioekonomi sering menyatakan bahawa kemajuan ialah ‘kos’. Kos yang
dimaksudkan ialah peningkatan dalam nilai berbayar terhadap semua keperluan
asas. Hal tersebut amatlah nyata kerana dalam tempoh satu dekad belakangan
masyarakat terpaksa berhadapan dengan peningkatan mendadak harga barangan
keperluan sehingga mencecah 40 peratus. Kenaikan harga barangan pengguna
terutama petroleum, gula dan gandum mengikibatkan semua barangan keperluan yang
lain turut meningkat. Fenomena tesebut tidak dapat dielakkan kerana minyak
menjadi nadi kehidupan dan berupaya mengubah struktur pasaran semasa. Apabila
berlaku perubahan dalam kos hidup, justeru terjadilah sekelompok masyarakat
yang terkena bahangnya dan mula merasakan beban kewangan. Golongan yang paling
terkesan ialah keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi
rumah di bawah RM2500. Ketika berada dalam situasi tertekan seperti sekarang,
anak-anak diharap dapat memahami situasi yang dihadapi oleh ibu bapa.
Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah melakukan pelbagai prakarasa agar
dapat mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa.
Jikalau pendahuluan di
atas terlalu panjang dan gagal untuk anda kuasai ambil pendahuluan alternatif
di bawah ini.
Semua pihak telah
maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga
adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi
dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia,
bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke
hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir
besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India,
dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas,
namun bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada
garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan
adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan
dengan itu, anak-anak hendaklah memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara
melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang
ditanggung.
Budaya berjimat cermat ialah
senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam situasi begini.
Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat dalam rumah
tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung
oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula
dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan
keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang
sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air
sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan.
Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak
mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap.
Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di
bawah daripada paras RM20 justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama.
Inilah sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Anak-anak yang baik adalah yang
prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan
kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati
terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan beratnya
tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah lagi
bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap
bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu
sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era sekarang
seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah
terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka
mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya ibu bapa seperti inginkan
pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan ditempat-tempat yang
eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh
dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang
sesama enggang masakan dapat terbang bersama.
Walaupun bebanan kos hidup
semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk
memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan
seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di
mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut
dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi
dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan perasaan malu
dan malas. Sebenarnya telah banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon
tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan
Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan
dari bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap anak perlulah mempunyai
wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno,
“Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi
perlimbahan”.
Bak kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke
perdu ialah peribahasa yang menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa
kembali kepada induknya. Hal demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh
anak-anak yang telah menginjak usia dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan
sikap membalas budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah
bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh
kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa
atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa
langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah
sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih
bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa
setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap
kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.
Kaya atau miskin, susah mahupun
senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian daripada ujian
Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan
cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih
gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakara yang
paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa.
Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai
anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan
sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, sebagai
insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan
bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Allah sehingga terbuka jalan
dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan
mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib
mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus memohon
petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah akan tetap bersama-sama
kita.
Kesimpulannya, ketika berdepan
dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan, setiap keluarga
tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh
tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka
terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi
jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan sikap yang
sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat
sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.
No comments:
Post a Comment