Usaha-usaha
Memajukan Industri Pelancongan Negara
Sebagai sebuah negara yang
beriklim Khatulistiwa, Malaysia mempunyai alam semula jadi yang unik dengan
deretan pulau yang menawan. Oleh itu, negara kita mampu menjadikan industri
pelancongan sebagai sumber utama pendapatan negara jika alam semula jadi itu
dieksploitasi sepenuhnya. Berdasarkan jumlah pelancong yang semakin bertambah
ke negara kita sejak belakangan ini, jelas menunjukkan bahawa negara ini
mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Keunikan budaya rakyat yang
berbilang kaum menjadi aset penting dalam usaha negara menarik kedatangan
pelancong. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, menyarankan agar tugas
menarik kedatangan pelancong harus menjadi tanggungjawab semua pihak dan tidak
terletak di bahu kerajaan sahaja. Saya berpendapat bahawa masih banyak usaha
yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan lebih banyak pelancong
mengunjungi Malaysia dan tinggal di negara ini.
Antara faktor utama pelancong
datang di sesebuah negara ialah adanya kemudahan prasarana seperti pengangkutan
dan perhubungan. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara
ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar memperlengkap
kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan
pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya, banyak pelancong yang datang ke negara kita adalah
untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus menambah
kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di
sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmati keindahan
alam semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan sekiranya
kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan
perkhidmatan pengangkutan tersebut.
Kemudahan penginapan yang selesa
seperti hotel, chalet, dan sebagainya turut menjadi faktor penting dalam
menarik ramai pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan penting
kerana ini akan menentukan sarna ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama
atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap, hal ini akan mendorong seseorang pelancong
itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh
lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh
seperti cendawan tumbuh selepas hujan di bandar atau di desa di seluruh negara
membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke
negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar
sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu.
Kerajaan melalui Lembaga Penggalakan
Pelancongan Malaysia (LPPM) wajar menyediakan maklumat lengkap tentang sesuatu
destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di tempat- tempat
baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal
ini dapat dilakukan sama ada menerusi media cetak seperti risalah, buku,
poster, majalah, dan akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen.
Selain itu, dengan mewujudkan halaman pelancongan dalam internet juga merupakan
cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar
dikunjungi oleh pelancong asing. Usaha LPPM mempromosi Malaysia dengan
mengiklankan negara kita pada dinding 60 buah bas di kota London pada tahun
lalu menandakan usaha serius pihak terbabit dalam nenarik lebih banyak
pelancong datang ke negara ini. Jika maklumat yang lengkap sampai ke
pengetahuan pelancong, mereka tentunya akan datang melawat negara kita pada
suatu hari kelak.
Kepelbagaian kebudayaan dan adat
resam penduduk tempatan juga dapat menarik banyak pelancong datang ke negara
ini. Malaysia yang memang kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan seperti tarian
Melayu, India, Cina, dan suku kaum di Sabah serta Sarawak mampu menghiburkan
pelancong, khususnya kepada pelancong yang gemar kepada sesuatu yang baru.
Kebanyakan pelancong memang gemar melihat kehidupan masyarakat di sesuatu
tempat. Rumah Budaya di Kuching, Sarawak menempatkan pelbagai jenis rumah dan
kebudayaan suku kaum di negeri berkenaan dan sentiasa menjadi tumpuan pelancong
yang berkunjung ke sana. Kementerian terbabit harus menjadikan pelbagai budaya
yang unik di negara kita sebagai daya tarikan utama dalam membangunkan industri
pelancongan dengan rnemperkemas persembahan yang sedia ada.
Mengadakan promosi di luar negara
juga merupakan langkah yang wajar dilakukan oleh LPPM dalam usaha menarik lebih
banyak pelancong mengunjungi negara ini. Pelbagai aktiviti seperti rnengadakan
Minggu Malaysia di beberapa buah negara di seluruh dunia dan acara pertukaran
delegasi kebudayaan dengan negara tertentu adalah antara usaha berkesan
memperkenalkan Malaysia kepada pelancong asing. Tindakan Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan membuka pusat penerangan di beberapa buah
negara membuktikan bahawa usaha yang berterusan telah dilakukan dalam menarik
pelancong. Buktinya, program seperti Tahun Melawat Malaysia (TMM) ternyata
berjaya menarik ramai pelancong datang ke negara ini, sekali gus memberi
keuntungan besar melalui tukaran mata wang asing. Promosi pula perlu
dipertingkat bagi menarik kehadiran pelancong walaupun terpaksa rnembelanjakan
wang yang besar, namun pulangannya juga lumayan.
Berdasarkan penerangan di atas,
jelas bahawa pelbagai cara boleh dilakukan dalam usaha menarik pelancong datang
ke negara ini. Oleh itu, pihak terbabit harus memikirkan kaedah lain yang lebih
berkesan, mudah, dan tidak memerlukan perbelanjaan yang besar sejajar dengan
keadaan ekonomi negara yang meruncing dewasa ini. Jadi, tanggungjawab untuk
mempromosi keunikan dan keindahan alam semula jadi negara kita kepada pelancong
harus dikongsi bersama kerana rakyat juga akan mendapat manfaatnya. Industri
pelancongan di negara ini akan terus berkembang dan menjadi penyumbang utama
kepada pendapatan negara jika diusahakan secara lebih profesional.
No comments:
Post a Comment