Pucuk manis permatang budi,
pucuk purut digetus rusa;
Yang manis bernama budi,
Yang indah bernama bahasa.
Terima kasih saudara pengerusi
majlis. Yang berbahagia Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdullah, pengarah Institut
Humaniora Malaysia, kombinasi para juri yang arif lagi bijaksana sebagai
penegak keadilan, penjaga masa yang budiman, para pensyarah, dan seterusnya
hadirin-hadirat warga dewan yang saya kasihi sekalian. Assalamualaikum
Warohmatullahi Wabarokatuh dan salam sejahtera pembuka bicara.
Berdirinya saya di atas persada
indah dalam Dewan Wawasan ini, tidak lain dan tidak bukan, kerana ingin
menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk, "Fungsi Bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Bahasa Perpaduan, Bahasa Pengantar, Bahasa
Ilmu dan Bahasa Komunikasi Rakyat Malaysia.” Sebagaimana bervisinya nama dewan
yang mulia ini, demikian juga visi yang akan saya tunjuk kepada tuan-tuan
betapa bahasa Melayu, sebagaimana bahasa-bahasa lain juga, mempunyai fungsinya
yang tersendiri.
Sebelum lancang menuju ke muara,
sebelum kata membelah bicara, sebelum isi menyusur hujah, izinkan saya
mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato agar hadirin terbuka minda, agar
hakim tidak terpinga-pinga, dan saya petah berkata-kata, seperti kata orang
dahulu kala;
Yang buta tidak teraba-raba,
Yang pekak tidak tertanya-tanya,
Yang kecil tidak terambin-ambin,
Yang pendek tidak tertinjau-tinjau.
Menurut Kamus Dewan (2006), istilah
‘fungsi’ bolehlah didefinisikan sebagai tugas atau peranan. Manakala maksud
‘bahasa’ pula ialah satu sistem lambang-lambang yang arbitrari, mempunyai makna
dan difahami maknanya, dan digunakan oleh sekelompok masyarakat dalam komunikasi
mereka. Daripada maksud tersebut dapat dirumuskan bahawa bahasa ialah alat
komunikasi yang ada makna dan difahami oleh semua anggota dalam masyarakatnya.
Merujuk negara Malaysia, penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang dapat
difahami oleh setiap orang, dan lebih-lebih lagi, mereka yang berstatus
warganegara Malaysia.
Di Malaysia, bahasa Melayu menjadi
Bahasa Kebangsaan dan sekali gus berfungsi sebagai bahasa rasmi negara. Bahasa
Kebangsaan dapat ditakrifkan sebagai bahasa yang diterima dan digunakan oleh
penduduk dalam sesebuah negara. Bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia ialah
bahasa Melayu. Pentakrifan bagi bahasa rasmi adalah bahasa yang digunakan dalam
segala urusan pentadbiran kerajaan. Selain dua fungsi bahasa tersebut, bahasa Melayu
juga berfungsi sebagai bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan
bahasa komunikasi yang akan dijelaskan dalam hujah nanti. Persoalannya
sekarang, bagaimanakah bahasa Melayu dapat berfungsi sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa
komunikasi di Malaysia yang rakyatnya pelbagai kaum? Persoalan inilah akan saya
jawab satu persatu dalam wacana, “Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Bahasa Perpaduan, Bahasa Pengantar, Bahasa Ilmu dan
Bahasa Komunikasi Rakyat Malaysia.”
Tuan hakim yang bijaksana lagi arif.
Wacana saya yang pertama, fungsi
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tuan-tuan dan Puan-puan, ingatlah,
bahasa Melayu mesti perkasa dalam negara Malaysia untuk kepentingan kebangsaan.
Semangat perjuangan menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu tercetus apabila jiwa
rakyat telah timbul kesedaran untuk jadi bangsa berdaulat. Salah satu cara
menjadi bangsa berdaulat ialah dengan memerintah sendiri negara tanpa dikuasai
atau ditunjuki oleh penjajah. Setelah tercapainya kemerdekaan, Persekutuan
Tanah Melayu memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Fungsi ini telah
termaktub dalam Bahagian 12 Am dan Pelbagai 152 fasal (1) Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut bahawa, "Bahasa kebangsaan ialah
bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang
diperuntukan dengan undang-undang oleh parlimen." Maka terbuktilah bahawa
bahasa Melayu merupakan lambang kebebasan dan kedaulatan negara daripada
belenggu penjajahan. Ditinjau dalam sejarah kerajaan-kerajaan Melayu terdahulu,
bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca. Ia digunakan oleh semua kaum untuk
semua urusan pentadbiran dan perdagangan.
Sebagai sebuah negara yang pesat
membangun, amat wajar sekali Malaysia mempunyai satu bahasa kebangsaan kerana
bahasa kebangsaan memberi gambaran akan status sesuatu bangsa. Bangsa yang
bermaruah mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, menggunakan bahasa sendiri dan
bangsanya mempunyai identiti kebahasaan sendiri. Oleh itu, untuk memupuk sifat
sayangkan bahasa kita, pelbagai kempen telah diadakan seperti "Cintai
Bahasa Kita", "Bahasa Jiwa Bangsa" dan sebagainya. Rakyat dari
pelbagai kaum akan dapat mengenali dan mendekatkan diri dengan bahasa kebangsaan.
Justeru, bahasa Melayu dengan segala sifatnya dapat menjadi pembakar semangat
kebangsaan di negara ini dan menjadi satu tunggak pembinaan negara merdeka
serta identiti rakyat. Kita tidak mahu bahasa Melayu dipinggirkan sebagaimana
tersirat dalam Akta Pelajaran 1996 dan seterusnya dinafikan fungsi sebagai
bahasa ilmu Sains dan Matematik oleh Dr. Mahathir Mohamed.
Wacana saya yang kedua, fungsi
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Selain dipilih sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa rasmi negara kita.
Maksud bahasa rasmi ialah bahasa utama yang digunakan dalam segala urusan
pentadbiran dan acara rasmi negara. Contohnya, bahasa Melayu digunakan dalam
sistem pendidikan negara, urusan surat-menyurat, mesyuarat dan pentadbiran
negara. Cuba kita renung, bukakan mata, celikkan minda, dalam
mesyuarat-mesyuarat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, di persidangan-persidangan,
seminar-seminar, di parlimen, bahkan dalam perbicaraan di mahkamah, mesti
diutamakan penggunaan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa selain bahasa Melayu
adalah menyalahi Artikel 152 Perlembagaan Malaysia. Sesiapa yang membelakangkan
penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi negara, termasuk pemimpin negara
sekalipun, mereka adalah penjenayah negara yang mesti dihukum. Dengan hujah
itu, terbukti lagi jelas dan nyata, betapa penting bahasa Melayu memainkan
peranan dalam urusan pentadbiran negara.
Para hadirin yang dihormati
sekalian.
Wacana saya yang ketiga, fungsi
bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Bahasa perpaduan
bermaksud bahasa yang digunakan sebagai tali pengikat kemuafakatan antara
anggota masyarakat, sama ada dalam kalangan satu etnik mahupun antara etnik.
Hal ini kerana, masyarakat kita adalah masyarakat majmuk yang berbeza
kepercayaan, amalan, budaya, agama dan bahasa. Bahasa Melayu dapat memainkan
peranan sebagai penyatu kepelbagaian tersebut melalui penggunaan bersama, atau
satu bahasa untuk satu negara. Kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan bahasa
Melayu dalam semua komunikasi awam dan terbuka agar tidak timbul syak wasangka
antara satu sama lain. Apabila penggunaan bersama bahasa Melayu di tempat
terbuka sudah menjadi amalan, maka akan wujud kemesraan, kepercayaan, hormat
dan rasa selamat. Rasa kemesraan, rasa kepercayaan, rasa hormat dan rasa
selamat merupakan antara faktor yang membina perpaduan antara kaum. Dengan itu,
dapatlah kita melahirkan bangsa yang bersatu dan menganggap Malaysia sebagai
negara milik bersama.
Pemilihan satu bahasa kebangsaan
bertujuan mencari suatu lambang penyatuan atau perpaduan. Ia memainkan peranan
mengurangkan jurang perkauman, mengeratkan hubungan setiap lapisan masyarakat
dalam segala bidang, bukan hanya dari segi politik, agama, perindustrian,
ekonomi, kesukanan, perubatan, pendidikan malahan juga dalam komunikasi awam.
Tugas bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan akan dapat diperkasakan melalui
perlembagaan negara, sistem pendidikan, dasar-dasar yang dilaksanakan dan
pelbagai aktiviti kempen. Justeru, ayuh, mari kita terus perjuangan yang telah
lama digerakkan oleh pemimpin terdahulu demi mengangkat darjat bahasa Melayu
sebagai bahasa lingua franca, bahasa yang menyatupadukan rakyat peJbagai kaum
dalam semua bidang, bak kata perpatah, “di mana bumi dipijak, di situ langit
dijunjung,” atau “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.”
Hadirin dan hadirat yang dikasihi
sekalian,
Wacana saya yang keempat, fungsi
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Yang
dimaksudkan sebagai bahasa pengantar pendidikan ialah bahasa yang digunakan
sebagai alat perhubungan dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab Malaysia
mempunyai masyarakat berbilang bangsa, dasar pendidikan negara berusaha
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan,
sama ada di sekolah mahupun pusat-pusat pengajian tinggi. Bahasa Melayu yang
berfungsi sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan membuktikan keupayaan
bahasa Melayu sebagai alat menyampaikan pelbagai ilmu untuk digunakan bagi
memajukan diri, masyarakat dan negara. Penggunaannya secara tidak langsung
mencerminkan ciri-ciri bangsa Malaysia yang menolak perkauman atau
ketidakadilan dalam sistem pendidikan. Hal ini adalah kerana masyarakat Melayu
dan bukan Melayu yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu akan mendapat laba
yang sama rata, di samping dapat menunjukkan ciri 'keMalaysiaan'. Sehingga kini
rakyat Malaysia yang mendapat pendidikan rendah, menengah dan universiti dalam
bahasa Melayu berjaya meraih anugerah hingga peringkat antarabangsa. Malah, ramai
rakyat Malaysia yang bekerja dengan syarikat-syarikat antarabangsa, baik
syarikat yang beroperasi dalam negara mahupun syarikat yang beroperasi di luar
negara. Beberapa universiti di luar negara seperti di Britain, Amerika
Syarikat, Russia, Thailand, Korea, Republik Rakyat China dan sebagainya
menawarkan kursus major dan minor bahasa Melayu kepada mahasiswa masing-masing.
Kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan diperkukuhkan lagi dengan
pembinaan kerusi-kerusi pengajian Melayu di luar negara dan juga pembinaan
Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bahasa Melayu kini
berada di atas landasan sempurna sebagai bahasa pengantar pendidikan. Justeru,
dapat kita merumuskan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pengantar dalam
pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan institusi pendidikan tinggi.
Wacana saya yang kelima, fungsi
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu adalah bahasa i1mu di
Sekolah-sekolah termasuk di maktab-maktab perguruan dan universiti-universiti.
Bahasa IImu pula ialah bahasa komunikasi yang bermaksud bahasa sebagai alat
penyebaran, penyampaian dan penerimaan maklumat. Sebagai bahasa i1mu, bahasa
Melayu banyak merakam pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang yang
ditulis oleh pakar bidang berkenaan. Salah satu tujuan penubuhan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah untuk memperkasakan bahasa Melayu. Justeru,
kursus-kursus yang ditawarkan disampai dan dirakam dalam bahasa Melayu,
termasuk ilmu dalam bidang Sains dan Teknologi. Sehingga kini, UKM telah
mengeluarkan ramai graduan dalam bidang Sains dan teknolog dan sedang
berkhidmat di pasaran. Telah sekian ramai doktor perubatan dan ahli kimia
dikeluarkan dan khidmat mereka ibarat ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’
dengan pakar-pakar yang mendapat pendidikan dari negara Barat. Khidmat mereka
pula ‘menetaskan’ tenaga-tenaga khidmat yang lain.
Jauh sebelum itu, fungsi bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu terserlah dalam bidang keagamaan seperti dalam
bidang penyebaran ilmu agama Hindu-Buddha dan kemudian Islam. Tanah Melayu
seperti Lembah Bujang misalnya merupakan pusat penyebaran agama Hindu-Buddha ke
seluruh dunia. Setelah kedatangan Islam, bahasa Melayu terus kekal sebagai
bahasa ilmu menyebar ajaran agama Islam. Walaupun agama Islam turut membawa
bahasa Arab, namun penyebaran Islam di Asia Tenggara adalah menggunakan bahasa
Melayu tulisan Jawi. Fungsi itu ternyata kekal sehingga kini agama Islam
tersebar di Asia Tenggara dalam bahasa Melayu. Sebagai bahasa ilmu, bahasa
Melayu mesti terus berperanan menjana pemikiran dan ilmu-ilmu baharu kepada
masyarakat. Jika berlaku kekurangan hendaklah ditambah, jika berlaku kebocoran
hendaklah ditampal kerana sudah menjadi kebiasaan tidak semua bahasa adalah
lengkap dan sempurna. Perbendaharaan katanya perlu diperluaskan. Istilahnya
perlu dilengkapkan. Setiap objek dan konsep dalam pelbagai bidang ilmu
hendaklah dilengkapi dengan bahasa Melayu. Hal ini bertujuan untuk
memperkasakan lagi bahasa Melayu dan menjadikan Malaysia sebagai pusat
kecemerlangan pendidikan di Asia Tenggara. Sehingga kini telah banyak istilah
dan konsep ilmu diserapkan ke dalam bahasa Melayu. Misalnya, istilah dalam
bidang anatomi, mikrobiologi, fisiologi, biokimia, ginekologi dan sebagainya.
Bahasa Melayu bolah menjadi bahasa
ilmu kerana mempunyai ciri-ciri keintelektualan bahasa. Keintelektualan bahasa
bermaksud keupayaan bahasa dalam menyampaikan buah fikiran, hujah, pendapat
dengan tepat dan dapat dilenturkan dengan mudah. Bahasa Melayu juga boleh
menjadi bahasa i1mu kerana mempunyai ciri-ciri kesempurnaan bahasa iaitu
kestabilan seperti sistem pembentukan istilah atau konsep, dan peraturan
seperti ejaan, sebutan, pemakaian, tatabahasa dan lain-lain lagi. Satu lagi
ciri kesempurnaan bahasa ialah kelenturan, di mana bahasa Melayu mudah
menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perubahan yang berlaku dari masa ke
semasa.
Wacana saya yang terakhir, fungsi
bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi masyarakat. Bahasa Melayu merupakan
bahasa komunikasi kerana ia dituturkan oleh semua orang dalam pelbagai lapisan
masyarakat. la merupakan bahasa ibunda dan bahasa utama di Malaysia, digunakan
oleh semua golongan masyarakat, tidak kira di desa atau di kota, golongan kaya
ataupun miskin. Oleh sebab itu, mesej dapat disampaikan dengan mudah, tepat dan
difahami oleh semua golongan masyarakat.
Sebagaimana yang telah ketahui umum
bahawa bahasa Melayu, pada zaman penjajahan, telah menjadi bahasa lingua franca
di setiap pelusuk Nusantara. Bahasa Melayu telah tersebar luas dari Malaysia,
Indonesia, Filipina, Singapura hinggalah ke Brunei. Berdasarkan catatan sejarah
pengembara yang melawat semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan lain di
Nusantara, seperti I-Shing, Ibn Batuta, Antonio Fegafeta dan ramai lagi,
terbukti bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa utama untuk
berkomunikasi seawal kurun yang ke-7 Masihi.
Kini, dengan adanya kecanggihan alat
media dan komunikasi, maklumat dapat disampaikan melalui siaran-siaran radio,
televisyen, internet, SMS, e-mail dan lain-lain lagi. Berkomunikasi, lisan
mahupun tulisan, adalah sutu keperluan kepada setiap individu dan berkau pada
setiap hari. Kini ramai yang berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu untuk
tujuan melahirkan pendapat atau perasaan, adalah bukti fungsi bahasa Melayu
sebagai bahasa komunikasi yang penting di negara ini. Dengan kata lain, bahasa
Melayu berperanan sebagai bahasa komunikasi apabila seseorang individu
mengalami perkongsian idea, maklumat dan perasaan dengan orang lain sama ada
melalui pertuturan mahupun tulisan. Dengan berbahasa Melayu, komunikasi antara
manusia sejagat berlangsung dengan baik. Ia juga memudahkan penyampaian dan
penerimaan maklumat. Senario ini telah memberikan satu manifestasi yang jelas,
iaitu bahawa bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa komunikasi di Malaysia.
Justeru, dengan hujah dan huraian
keenam-enam fungsi bahasa Melayu itu tadi, konklusinya di sini ialah pertama,
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan memartabatkan lagi bahasa ibunda
kita sendiri. Yang kedua, sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu dijadikan sebagai
bahasa utama dalam segala urusan pentadbiran dan acara rasmi negara. Yang
ketiga, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan menjadi wahana perpaduan
bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara kita.
Seterusnya yang keempat, bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar menjadi wahana penyebaran i1mu di semua
peringkat institusi pendidikan, dan sebagai lambang bahasa pengantar untuk
memberi dan menimba ilmu sejagat. Rumusan seterusnya ialah bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu dapat membina keintelektualan bangsa kerana keupayaannya
menyampaikan buah fikiran, hujah, pendapat dan sebagainya dalam semua bidang
ilmu. Dan yang terakhir, bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, menjadi
lambang pertuturan semua golongan masyarakat sama ada yang tinggal desa atau di
kota, mahupun golongan kaya ataupun golongan miskin, atau pentadbir mahupun
rakyat.
Hadirin dan hadirat sekalian.
Setelah frasa demi frasa tajuk
pidato saya ini dikupas, maka dapatlah saya menutup rumusan bahawa bahasa Melayu
memikul tanggungjawab yang besar dalam mengangkat martabat bahasa dan bangsa di
tanah air tercinta ini. Oleh sebab itu, segala fungsi bahasa Melayu iaitu
sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa pengantar,
bahasa ilmu dan bahasa komunikasi perlu terus didaulatkan agar keperkasaan
bahasa Melayu kekal dan dikagumi.
Sebelum saya mengundur diri, saya
menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa, tersalah
kata, tersilap sebut atau tercanggah gerak tangan, mulut, kepala dan mata. Saya
mengakhiri pidato saya ini dengan serangkap pantun;
Alang-alang menyeluk pekasam,
Biar sampai ke pangkal lengan;
Alang-alang bahasa dijulang,
Biar kekal sepanjang zaman.
Sekian, Wabillahi Taufik WaJhidayah
Wasalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh
Teks Pidato Contoh
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.
Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian.
Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu.” Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman.
Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.
Hadirin sekalian,
Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.
Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian.
Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu.” Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman.
Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.
Hadirin sekalian,
Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.
Rakan-rakan dan hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.
Hadirin sekalian,
Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.
Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.
Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.
Hadirin sekalian,
Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.
Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.
Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim
Teks Pidato Bahasa
Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia.
Bismilahhiramannirahim…
Kalau tidak kerana bintang,
Tak akan bulan kelihatan tinggi ,
Kalau tidak kerana pidato,
Tak akan saya berada disini.
Datang bahtera dari Medan ,
Singgah sebentar di laluan Kerai,
Salam satu Malaysia saya hulurkan ,
Kepada warga dewan pembuka tirai.
Assalamualikum
W.B.H
Yang
dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,barisan panel Hakim yang arif lagi bijaksana
yang sedang menjunjung mahkota keadilannya ,penjaga masa yang sentiasa peka
dengan detak jamnya, para perserta yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat
yang saya hormati.
Jauh
berlayar si pedagang Cina ,
Singgah di Melaka menjual sutera .
Bahasa
melayu bahasa perantara ,
Tonggak utama perpaduan negara
Hadirin dan hadirat yang dihormati
Cogan kata ‘Hidup Muafakat Membawa Berkat’ merupakan antara cogan kata
yang dicipta untuk menyedarkan orang ramai akan peri pentingnya muafakat dalam
kehidupan masyarakat yang berbilang kaum seperti di negara kita. Kata orang, permuafakatan
bererti perpaduan. Situasi ini dapat dihuraikan oleh bidalan bersatu teguh
bercerai roboh. Keadaan ini membawa kebaikan dan kejayaan kepada seluruh
anggota masyarakat berkenaan. Sesungguhnya, negara yang memiliki masyarakat
majmuk seperti Malaysia berpaksikan pada perpaduan untuk meneruskan
kelangsungan keharmonian di dalam negara. Saya yakin bahawa perpaduan penting
dalam sesebuah negara. Dalam usaha melonjak status negara berpendapatan tinggi
dan bagi merealisasikan dasar transformasi kerajaan, soal perpaduan tidak boleh
dipandang enteng kerana bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan
mendaulatkan maruah bangsa. Usaha membina negara bangsa yang bersatu padu ini
sebenarnya boleh dilakukan jika setiap rakyat mengerti akan kepentingan bahasa
kebangsaan sebagai tonggak perpaduan setiap rakyat di Malaysia. Oleh itu,
izinkan saya untuk menjelaskan dengan lebih terperinci tentang wacana ilimiah
kita pada hari ini yang bertajuk Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa
Malaysia.
Hadirin yang dirahmati,
Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, adalah baik jika kita
menelusuri akar-akar cerucuk sejarah sebelum terbentangnya hamparan indah
negara Malaysia. Apabila memorabilia ini membawa kita ke ratusan tahun yang
lampau, nyatalah bahawa Bahasa Melayu sudah berfungsi sebagai lingua franca
yang didefinisikan sebagai bahasa perantaraan antara masyarakat pada zaman
itu.Hal ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila kita meneliti catatan ilmuwan
Inggeris seperti R.O. Winsted yang menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah
digunakan sebagai bahasa perdagangan yang mengeratkan hubungan masyarakat yang
berkunjung ke Melaka ketika itu. Daripada golongan pendeta sehinggalah ke
golongan biasa, setiap insan di Melaka ketika itu berkomunikasi dengan bahasa
tercinta kita yang tidak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Tidak lain dan
tidak bukan,sudah tentulah Bahasa Melayu. Nah, apa lagi yang kita pertikaikan
tentang kemampuan bahasa kebangsaan kita sebagai wadah perpaduan? Berdasarkan
perkara ini, jelaslah bahawa hamparan sejarah jelas membuktikan bahawa bahasa
Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan yang cemerlang di dunia.
Hadirin yang dihormati,
Melalui bahasa Melayu, sebarang konfrantasi, buruk sangka dan salah
faham antara kaum dapat dikikis dengan mudah. Saya suka untuk meminjam
kata-kata pujangga pendeta Zaa’ba yang berbunyi ‘bahasa menunjukkan bangsa’.
Apabila kita melihat masyarakat bertutur dalam bahasa Melayu, sudah terang lagi
bersuluh bahawa mereka ialah bangsa Malaysia. Daripada kata-kata hikmat
tersebut, saya sangat percaya bahawa bahasa Melayu sedikit sebanyak akan
mengurangkan semangat ‘kecinaan’, kemelayuan’ ataupun ‘keindiaan’.
“Haiya, ini balang mana ada halga, dia punya bau saya macam mau pengsan
ah”
“Tambi, itu worang mau roti satu, kari ikan kapla satu”
Pelatlah dengan pengaruh bahasa natif,asalkan setiap kaum di Malaysia
dapat bermesra dan bertukar-tukar maklumat dan fikiran hanya dengan menggunakan
bahasa Melayu. Langkah Dewan Bahasa memasukkan entri perkataan baharu setiap
kali edisi baharu terbit merupakan langkah yang patut dipuji kerana perkataan
pinjaman daripada bahasa Cina dan India yang mengalami proses ‘kemalaysiaan’
sememangnya dapat mewujudkan perpaduan. Apa yang penting, setiap kaum di
Malaysia tidak akan kekok untuk berbicara dalam bahasa kebangsaan. Apabila
tidak kekok berbicara, sudah tentulah juga tidak kekok untuk bermesra. Apabila
sudah bergaul mesra, nyatalah bahawa perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk
itu akan terbina kukuh di bawah payung Satu Malaysia. Berdasarkan hujah ini,
nyatalah bahawa bahasa Melayu itu merupakan medium untuk mewujudkan perpaduan
dalam kalangan masyrakat di Malaysia.
Hadirin yang dikasihi,
Dalam lautan ilmu yang memenuhi pustaka di Malaysia, sudah tentulah
bahasa Melayu turut menjadi bahasa penyebaran ilmu pengetahuan. Berdasarkan
data yang saya peroleh daripada Arkib Negara, saya amat kagum dengan pencapaian
bahasa Melayu kerana hampir 800 buah buku ilmiah ditulis dalam bahasa Melayu
oleh rakyat Malaysia sendiri. Untuk pengetahuan hadirin, ilmu pengetahuan
merupakan perkara yang sangat penting untuk memupuk perpaduan. Masarakat yang
tidak berilmu ibarat masyarakat yang tidak bertamadun. Apabila tidak
bertamadun, sudah tentulah masyarakat bertindak membuta-tuli mengikut hati dan
naluri. Oleh itu, sudah tentulah kucar-kacir akan menodai keamanan sesebuah
negara. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan
terima kasih dan segunung pernghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia
kerana mengembalikan mandat kepada bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan
Matematik. Sesungguhnya, langkah ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara
murid-murid di luar bandar dan di kawasan bandar. Dalam soal keharmonian, sudah
tentulah kita tidak mahukan sebarang jurang bertatah di dalam kehidupan
masyarakat. Pada pendapat saya, jurang itu boleh memecahbelahkan perpaduan.
Apabila bahasa Melayu kembali dalam pengajaran subjek kritikal ini, sudah
tentulah jurang itu dapat dirapatkan. Ketika jurang pendidikan itu dirapatkan,
sudah tentulah perpaduan dapat dipupuk dari alam persekolahan lagi. Selain
dasar baharu itu, usaha Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program
Memartabatkan Bahasa Melayu, memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMBMI) dilihat
sebagai wahana yang sangat utama untuk menjadi tonggak perpaduan. Pengisiannya
jelas menunjukkan bahawa betapa prihatinnya pihak kerajaan terhadap kedaulatan
bahasa Melayu dan betapa arifnya kerajaan tentang peranan bahasa Melayu sebagai
tonggak perpaduan.
Hadirin yang dirahmati,
Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin
mengingatkan kepada khalayak hari ini bahawa rakyat yang memperlekehkan bahasa
kebangsaan akan merosakkan perpaduan yang kita kecapi selama ini. Tidak
keterlaluan saya katakan bahawa insan inilah anasir yang menodai kebahagiaan
kita di bawah berkat Satu Malaysia. Oleh itu, sayangilah bahasa Melayu kita,
hormatilah bahasa kebangsaan kita kerana bahasa Melayu tonggak perpaduan bangsa.
Bahasa
Melayu Teras Perpaduan Bangsa Malaysia
Yang kurik kundi
Yang merah saga
Yang cantik budi
Yang indah bahasa
Indahnya Bahasa Melayu, begitu halus sehingga
menusuk kalbu. Daripada banyak faktor, bahasa muncul sebagai faktor yang
dominan dan daripada begitu banyak bahasa, Bahasa Melayu yang terpilih sebagai
bahasa kebangsaan dan seterusnya menjadi wahana perpaduan masyarakat majmuk di
negara Malaysia.
Melihat kepada pengiktirafan yang diberi kepada
Bahasa Melayu tentunya Bahasa Melayu memiliki keistimewaan tersendiri sehingga
berupaya mengangkat bahasa ini sebagai Teras Perpaduan Bangsa .
Maka dalam tulisan ini saya ingin membuktikan kepada
pembaca mengapa dan bagaimana Bahasa Melayu mampu menjadi teras atau tunjang
kepada perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.Di akhirnya pula saya akan
menuliskan beberapa ancaman ke atas Bahasa Melayu dalam kedudukannya untuk
bertahan sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan.
Secara konseptual Bahasa Melayu Teras Perpaduan
Bangsa Malaysia bolehlah didefinisikan sebagai bahasa utama yang menjadi bahasa
kebangsaan dan bahasa perantaraan berupaya menjadi tunjang atau nadi kepada
penyatuan pelbagai kaum di negara ini.
Mengapakah Bahasa Melayu Dipilih Sebagai Bahasa
Kebangsaan?
Sejarah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah
diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama sejak zaman
kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi. Bahasa ini digunakan secara
meluas dalam bidang perdagangan dan hubungan diplomatik.
Dalam Kitab Sejarah Melayu menyebutkan bagaimana
para pedagang bertungkus lumus mempelajari Bahasa Melayu dan menguasainya bagi
memudahkan mereka berurusan dengan pemimpin dan masyarakat setempat yang telah
lama menggunakan bahasa itu.
Dalam konteks hubungan antarabangsa surat-surat
rasmi dan dokumen perjanjian turut menggunakan Bahasa Melayu bertulis jawi. Ini
membuktikan bahasa Melayu dapat difahami oleh pelbagai kaum termasuk pihak
British. Kalau mereka tidak mengerti pun ada munsyi atau guru Bahasa Melayu
yang akan mengajar mereka.
Begitu juga dokumen-dokumen lain seperti
undang-undang tubuh negeri-negeri Melayu telah menggunakan Bahasa Melayu dengan
tulisan Jawi sebagai medium. Semua ini membuktikan kepada kita betapa Bahasa
Melayu pernah mencapai tahap yang tertinggi dan diguna sehingga ke peringkat
antarabangsa.
Memandangkan Bahasa Melayu telah diguna sekian lama
sebagai bahasa rasmi dan basahan, sebagai bahasa komunikasi dan persuratan maka
Bahasa Melayu telah dipersetujui dan disepakati bersama oleh pemimpin pelbagai
kaum di negara ini agar menjadi bahasa kebangsaan bagi persekutuan Malaysia
yang merdeka pada tahun 1957.
Malahan permuafakatan pelbagai kaum itu dirakamkan
dalam bentuk dokumen tertinggi dan luhur iaitu Perlembagaan Negara sepertimana
yang termuat dalam Perkara 152, para 1 sebagai bahasa bagi persekutuan Tanah
Melayu atau Malaysia yang merdeka.
Maka sejak itu Bahasa Melayu berkembang luas
penggunaannya termasuk menjadi bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan
menjadi bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk di mahkamah.
Jelas sekali Bahasa Melayu telah diiktiraf oleh
semua kaum sebagai bahasa utama dan dapat digunakan bersama untuk mencapai
matlamat perpaduan.
Bagaimanakah Bahasa Melayu Boleh Berfungsi Secara
Berterusan sebagai Bahasa perpaduan?
Bahasa Melayu yang mampu menjadi teras perpaduan
bangsa Malaysia ialah Bahasa Melayu yang digunakan secara bersama dan meluas.
Bahasa melayu bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa basahan, namun bahasa rasmi
dan tidak rasmi.
Bahasa ini bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan
di sekolah-sekolah dan universiti tetapi penggunaannya menjangkau ke peringkat
antarabangsa. Buktinya DS Mohd Najib telah bertutur dalam Bahasa Melayu
sepenuhnya di sebuah Universiti di China semasa lawatan beliau ke sana baru-baru
ini.
Ini bererti Bahasa Melayu yang dimaksudkan ialah
bahasa Melayu yang standard dan mengikut struktur bahasa Melayu baku dan
mempunyai sistem yang sama untuk semua.
Slanga atau loghat mungkin sesuai untuk orang Melayu
di negeri-negeri tertentu, tetapi apabila bertutur dengan bangsa Melayu dari
kawasan atau negeri yang lain dan dengan orang bukan Melayu, Bahasa Melayu yang
standard wajar digunakan. Inilah bahasa yang diajar dan digunakan di sekolah,
dalam buku teks, buku-buku dan majalah serta dalam dokumen rasmi yang lain.
Selain itu, Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan
utama mempunyai masa depan yang cerah kerana Bahasa Melayu bersikap terbuka
kepada bahasa lain. Kita sedar sesuatu bahasa yang terlalu rigid, terpencil dan
statik tidak akan mampu mengadaptasikan dirinya dengan perubahan semasa.
Dunia semakin berkembang, masyakaratnya semakin maju
dan berpengetahuan, maka begitulah juga halnya dengan bahasa Melayu Sejak
dahulu Bahasa Melayu dilihat mempunyai tahap keterbukaan dan toleransi yang
begitu tinggi,kepada kemasukan isitilah-istilah baru dan kata asing. Dinamika
bahasa ini amat diperlukan untuk memastikan Bahasa Melayu tidak terkubur
seperti yang berlaku kepada bahasa Sanskreta.
Sayugia diingat dalam keghairahan kita hendak
mempertahankan Bahasa Melayu jangan sampai bahasa ini menerima nasib yang sama
seperti dinossours yang akhirnya pupus kerana gagal untuk menyesuaikan dirinya
dengan perubahan semasa dan persekitaran.
Maka menyedari hakikat itu DBP telah memainkan
peranan yang begitu aktif untuk membentuk dan menyelaraskan istilah-istilah
baru dalam pelbagai bidang pengetahuan seperti sains dan teknologi,
undang-undang, pendidikan, perbankan, komputer dan internet.
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai teras perpaduan
bangsa Malaysia diperkukuh apabila kehadirannya tidak pernah disangsikan oleh
kaum-kaum lain. Sebabnya Bahasa Melayu tidak dianggap sebagai ancaman kepada
mana-mana pihak dan kehadirannya tidak akan menyebabkan bahasa ibunda kaum
masing-masing akan menerima nasib malang.
Rahsia Bahasa Melayu tetap diyakini sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa perpaduan hingga kini ialah kerana jaminan yang diberikan
dalam perlembagaan Malaysia yang telah menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain
masih boleh digunakan. Keadaan ini menjadikan Bahasa Melayu akan terus
dihormati dan tidak akan disaingi oleh bahasa-bahasa lain.
Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang dilancarkan pada
11 Disember 1987 membuktikan betapa seriusnya pihak kerajaan dalam mengangkat
martabat bahasa ini sebagai bahasa komunikasi utama pelbagai kaum. Sejak itu
banyak kegiatan kebahasaan turut melibatkan pelbagai kaum.Buktinya yang jelas
ialah dengan adanya pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis (PBSUB) bagi SRJKC
dan SRJKT dan pidato bahasa Melayu antarabangsa. Ini membuktikan bahasa Melayu
menjadi bahasa yang boleh dipelajari dan dituturkan oleh sesiapa sahaja.
Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsan dan
bahasa perpaduan melonjakkan bahasa ini sebagai satu identiti bagi masyarakat
majmuk sehingga mampu menjadi model perpaduan dunia melalui penggunaan satu
bahasa.
Ancaman
Perubahan dunia semakin pantas dan kemajuan dunia
semakin cepat. Persekitaran lokal tiba-tiba sahaja bertukar kepada glokal dan
akhirnya menuju global. Bumi yang dulunya terpecah kepada begitu banyak kampung
yang tak berhubung, kini menjadi sebuah kampung besar tanpa sempadan.
Bahasa Melayu turut menerima cabaran apabila
golongan remaja hari ini lebih berminat menggunakan istilah dan gaya bahasa
sendiri yang dikatakan lebih pantas dan ringkas. Ini terbukti apabila munculnya
teknologi komunikasi terkini seperti sistem pesanan ringkas, mms, mel
elektronik dan chating.
Kata-kata yang panjang telah diringkaskan dan
istilah-istilah baru tercipta. Surat yang dianggap ketinggalan dan lambat telah
digantikan dengan mel elketronik, menelefon telah digantikan dengan SMS dan
MMS.
Bagi saya ini satu perkembangan yang menakjubkan
sekali gus menunjukkan bahasa Melayu sentiasa berupaya menyesuaikan dirinya
dengan keperluan semasa. Minat anak muda daripada pelbagai bangsa menggunakan
bahasa ini menjadikan bahasa Melayu akan terus berkembang sebagai alat
perpaduan utama. Cuma terpulanglah kepada Kementerian pelajaran dan DBP untuk
menyelaraskan semua ini.
Akhirnya marilah kita menyahut cabaran 1Malaysia
cetusan idea YAB DS Mohd Najib Tun Abdul Razak. Gagasan ini bukan sahaja
mengajak kita berkongsi sebuah negara, iaitu Malaysia tetapi juga berkongsi
satu bahasa, iaitu Bahasa Melayu yang telah terbukti mampu menjadi teras
Perpaduan Bangsa Malaysia
Bahasa
Melayu Wadah Penyatuan Bangsa
Bismillahhirrahmanirrahim…
Keindahan dan kehalusannya menusuk kalbu. Itulah
bahasa melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan seterusnya menjadi wahana
perpaduan bangsa.
Cetusan
barakah buat peneraju acara
Saf
kehakiman intelektual berkarisma
Sidang
hadirin warga dewan berwibawa
Assalamualaikum
warahmatullah…..
Hari ini, pertandingan ini, bukanlah akademi
fantasia. Maka saya bukanlah Mila atau Masha tapi puteri SMK SAINS KUBANG PASU
mewakili _________________yang akan menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk
“Bahasa Malaysia Teras Perpaduan Bangsa”.
Sidang warga dewan ,
Frasa Bahasa Malaysia Teras Perpaduan Bangsa boleh ditafsirkan sebagai bahasa utama yang
menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan berupaya menjadi tunjang atau
nadi kepada penyatuan pelbagai kaum dan bangsa.
Warga dewan yang dirahmati,
Cetusan minda pertama .Bahasa Melayu Wadah Penyatuan Bangsa. Sejarah
telah membuktikan bahawa bahasa melayu telah diterima sebagai lingua
franca sejak zaman Kesultanan Melayu
Melaka pada abad ke-15 lagi. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam
perdagangan dan politik.
Memandangkan peranan bahasa melayu sebagai bahasa
rasmi dan bahasa komunikasi menjadikan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan
bagi persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1957 seperi yang disebut
dalam Perlembangan Negara Perkara 152, para 1 iaitu bahasa melayu sebagai
bahasa bagi persekutuan tanah melayu atau Malaysia yang merdeka.
Sejak itu Bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan
di sekolah-sekolah dan menjadi bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk
di mahkamah. Jelas sekali bahasa melayu telah diiktiraf oleh semua kaum sebagai
bahasa utama untuk mencapai matlamat perpaduan.
Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi bukti bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan mampu mengelakkan prasangka antara kaum, berjaya
membangkitkan semangat perpaduan yang seterusnya mewujudkan rakyat berbilang kaum
yang bersatu padu, bekerjasama dan hormat-menghormati dan melahirkan semangat
patriotisme kepada seluruh warga negara.
Sidang dewan berkarisma,
Cetusan minda kedua. Bahasa Malaysia teras perpaduan bangsa.Bahasa
melayu bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan
universiti malah menjangkau ke peringkat antarabangsa. YAB Datuk Seri Najib Tun
Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia telah
bertutur dalam bahasa melayu di sebuah universiti di China semasa
lawatan beliau ke sana. Ini membuktikan bahasa melayu mempunyai system yang sama untuk semua.
Bahasa melayu ditutur dalam longhat atau slanga
mengikut negeri-negeri tertentu. Tetapi apabila dituturkan bersama orang bukan
melayu atau dari negeri yang lain maka bahasa melayu yang standard akan
digunakan.
Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang dilancarkan pada
11 Disember 1987 yang melibatkan semua kaum di negara ini membuktikan betapa
seriusnya pihak kerajaan dalam memartabatkan bahasa ini sebagai bahasa
komunikasi utama pelbagai kaum.
Bukti yang jelas ialah dengan adanya pertandingan
syarahan dan ujian bertulis bagi sjkc
dan sjkt serta pidato bahasa melayu antarabangsa.
Ibarat serampang dua mata, Gagasan 1 Malaysia yang
dicetuskan oleh YAB Perdana menteri Malaysia juga bukan sahaja mengajak kita
berkongsi sebuah negara tetapi juga berkongsi satu bahasa iaitu bahasa Malaysia
yang terbukti mampu menjadi teras perpaduan bangsa Malaysia
Mengikut tulisan Haris Zalkapli dalam Dewan
Masyarakat Jun 2007 yang bertajuk “Membina Identiti Malaysia”, semua rakyat
Malaysia sepatutnya berbangga dengan bahasa Melayu yang bukan sahaja berfungsi
sebagai bahasa perpaduan malah mampu berdiri sebagai bahasa ilmu atau bahasa
media sekaligus merupakan mampu membina peradaban
dan tamadun bangsa Malaysia
Mariam Atan menegaskan, dalam karyanya berjudul “
Bahasa Kebangsaan (A”), bahasa kebangsaan adalah untuk menerbitkan lambang
aspirasi dan semangat kebangsaan.
Awang Sariyan juga mengatakan proses pembinaan
negara ialah proses pewujudan negara bangsa yang berasaskan jati diri setempat
dan perpaduan rakyat berbilang kaum. Dalam konteks ini, bahasa Melayu dijadikan
unsur pembinaan jati diri rakyat Malaysia dan juga sebagai unsur perpaduan
semua kaum”.
Menurut Dr Teo Kok Seong , Profesor Sosiolinguistik
Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bahasa kebangsaan adalah
bahasa perpaduan, dan penguasaannya yang baik mutunya boleh mempertingkat
komunikasi dan interaksi antara kaum. Ini pula sudah tentu dapat memperkukuhkan
perpaduan yang amat penting kepada pembangunan negara.
Warga dewan bervisi,
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP} telah memainkan
peranannya dalam memastikan bahasa melayu tidak terkubur membentuk dan
menyelaras istilah-istilah dalam pelbagai bidang pengetahuan seperti sains dan
teknologi, undang-undang, pendidikan, perbankan, computer dan internet. Maka
kedudukan bahasa melayu dapat diperkukuhkan. Keadaan ini menjadikan bahasa melayu terus dihormati dan
tidak disaingi oleh bahasa-bahasa lain.
Malam Semarak Perpaduan anjuran DBP juga bertujuan untuk
memupuk perpaduan melalui Bahasa Kebangsaan, bahasa yang telah berperanan besar
menyatukan pelbagai kaum di Malaysia ini sejak merdeka.”
Warga dewan sekalian,
Tuntasnya, pencapaian perpaduan negara yang tulen hanya boleh termakbul
melalui wahana bahasa Melayu. Bahasa melayu sebagai kebangsaan dan bahasa
perpaduan telah meletakkan masyarakat majmuk di negara ini dalam satu identiti
iaitu Bangsa Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh gahnya Malaysia hari ini
kerana mempu menjadi model perpaduan
dunia melalui satu bahasa iaitu Bahasa Malaysia.
Sekian, puteri _______________________mohon permisi.
Wabila hi taufik…….
No comments:
Post a Comment