Isu Penganjuran Sukan Peringkat Antarabangsa
Sukan merupakan wadah
untuk menyatupadukan masyarakat seluruh warga dunia tanpa mengira bangsa, agama
dan fahaman politik. Sukan juga merupakan suatu instrumen untuk menaikkan nama
Malaysia di persada dunia. Negara kita sendiri telah berjaya menganjurkan
beberapa kejohanan sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998,
Grand Prix Formula One, Le Tour de Langkawi, Monsoon Cup dan sebagainya.
Kejayaan penganjuran kejohanan-kejohanan tersebut telah memberikan imej yang
positif kepada negara kita pada peringkat antarabangsa. Hal ini telah
membuktikan bahawa Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi dengan negara lain. Kejayaan ini telah mendatangkan kesan
positif terhadap Malaysia daripada pelbagai aspek.
Kesan positif yang
paling ketara dapat kita lihat ialah kedatangan pelancong asing semakin
meningkat ke negara kita. Melalui penganjuran sukan bertaraf dunia, industri
pelancongan sukan di negara kita akan mengalami kemajuan. Hal ini sekali gus
mampu menjana ekonomi negara dari segi tukaran mata wang asing. Sebagai
contohnya, penganjuran kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan secara
tahunan di Malaysia seperti Grand Prix Formula One dan Le Tour de Langkawi
telah berjaya menarik banyak pelancong asing, bak kata pepatah, “Di mana ada
gula, di situ ada semut”. Para pelancong berkunjung ke Malaysia semata-mata
untuk menonton pertandingan sukan ini secara langsung. Di samping itu, pihak
kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dapat mempromosikan Malaysia kepada
masyarakat antarabangsa. Hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi
negara yang mapan. Oleh itu, penganjuran sukan antarabangsa perlu diteruskan
kerana banyak memberikan manfaat kepada ekonomi negara kita.
Kejohanan sukan yang
berprestij pastinya akan mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia. Bagi
mereka yang tidak dapat menyaksikan kejohanan sukan yang dipertandingkan secara
langsung, mereka boleh menyaksikannya melalui media massa seperti televisyen
dan radio. Banyak siaran langsung dibuat oleh negara-negara yang mengambil
bahagian untuk melaporkan perkembangan kejohanan itu kepada penduduk di negara
masing-masing. Oleh itu, masyarakat dari seluruh dunia dapat menyaksikan
kejohanan sukan yang diadakan di negara kita. Secara tidak langsung, orang yang
tidak tahu akan kewujudan Malaysia akan mengenalinya melalui liputan-liputan
yang disampaikan. Perkara ini akan meningkatkan imej Malaysia ke seluruh dunia.
Selain itu, melalui
penganjuran sukan antarabangsa, negara kita dapat menjalin dan mengukuhkan
kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin
pula akan bertambah erat dengan adanya penglibatan dalam bidang sukan. Sebagai
contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah
negara di Asia dan Eropah bagi memajukan sukan di Malaysia. Hal ini dapat
dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara
perasmian dan penutupan sesuatu kejohanan. Dengan cara itu, sudah pasti para pemimpin
tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik
antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan diplomatik
antara Malaysia dengan negara-negara yang terlibat, tentunya negara kita akan
mendapat kelebihan daripada pelbagai aspek.
Di samping itu, kita
sentiasa mendengar bahawa sukan merupakan wadah untuk perpaduan. Melalui
penganjuran sukan antarabangsa, kita dapat mengeratkan perpaduan sejagat antara
masyarakat dari seluruh dunia. Sebarang pertelingkahan, pergaduhan dan
permusuhan dapat dilupakan dan mereka dapat menerima kekalahan dengan semangat
kesukanan. Sebagai contohnya, semasa Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia iaitu
ketika Dato’ Lee Chong Wei menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia pada peringkat
akhir, mereka masih boleh bergurau antara satu sama lain dan berpelukan sebagai
tanda persahabatan. Hal ini menunjukkan bahawa perpaduan melalui penganjuran
sukan juga boleh diwujudkan kerana sukan dilihat mampu memecahkan tembok
perbezaan kaum. Oleh itu, nama Malaysia akan dijulang sebagai juara perpaduan
kerana sikap kerjasama dan toleransi bagai aur dengan tebing.
Selain agen perpaduan,
penganjuran sukan peringkat antarabangsa ini juga akan meningkatkan mutu sukan
negara kita. Hal ini demikian kerana, ahli sukan di negara kita dapat
menyaksikan kehebatan ahli sukan dari seluruh dunia bertanding di negara kita.
Bagi ahli sukan negara sendiri yang bertanding dalam sesuatu acara itu, sudah
pasti mreka akan mendapat suntikan semangat yang lebih daripada
penyokong-penyokong tempatan. Hal ini akan menyebabkan mereka lebih bersemangat
untuk bertanding. Selain itu, mereka akan membuat persediaan yang lebih rapi
dan membiasakan diri dengan gelanggang perlawanan sebenar untuk membuktikan
bahawa kejayaan akan menjadi milik negara kita sendiri di samping slogan Malaysia
Boleh.
Konklusinya,
penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai
kesan positif terhadap perkembangan Malaysia. Di samping itu, kerjasama daripada
semua pihak amat diperlukan bagi mengangkat martabat Malaysia di pentas
antarabangsa. Pihak kerajaan terutamanya haruslah sentiasa membida hak untuk
menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dengan lebih kerap agar
negara Malaysia akan lebih dikenali. Selain itu, penganjuran sukan juga mampu
menjana ekonomi negara yang agak lembap sejak akhir-akhir ini. Hal ini boleh
diibaratkan seperti “serampang dua mata”. Oleh itu, kita berharap agar
matlamat negara untuk terus menjadi penganjur kejohanan-kejohanan sukan
antarabangsa akan menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment