Sukan bukan sahaja menjamin
kesihatan, malah memupuk semangat kesukanan dan mengharumkan nama ahli sukan
serta negara. Kini, bidang sukan penuh dengan persaingan hebat. Tanpa
persediaan yang secukupnya, agak sukar bagi ahli sukan bersaing di arena antarabangsa.
Oleh itu, langkah penggunaan perubatan yang melibatkan penjagaan kesihatan,
rawatan kecederaan, dan makanan seimbang dalam lapangan sukan amat penting.
Namun langkah-langkah lain perlu diberi perhatian untuk meningkatkan prestasi
ahli sukan.
Langkah memanfaatkan
perubatan moden memang telah meningkatkan prestasi ahli sukan. Penyediaan
makanan yang seimbang bersandarkan keperluan ahli sukan merangsang prestasi
mereka. Minuman isotonik, vitamin, dan ramuan khas (jamu) dapat memperkuat daya
tahan dan tenaga ahli sukan. Minuman ini dapat mengelakkan keletihan dan
membekalkan tenaga baharu. Ubat-ubatan moden seperti steroid dan dadah yang
diizinkan juga telah memperkuat otot-otot ahli sukan. Masalah kecederaan,
misalnya ketegangan otot dan ligamen terkoyak, dapat diatasi dengan mudah
melalui rawatan fisioterapi. Perubatan yang terkini telah membantu ahli sukan
memulihkan kecederaan mereka dalam masa yang singkat untuk cabaran seterusnya.
Percaturan politik
dalam persatuan-persatuan sukan juga harus dibanteras demi kemajuan sukan.
Punca utama kemerosotan mutu sukan kita ialah kekurangan kerjasama antara
Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dan
persatuan-persatuan sukan. Percaturan politik dalaman seperti perebutan kuasa
dan jawatan juga menjejaskan mutu sukan. Masa, tenaga, dan wang dibazirkan
kerana perebutan yang sia-sia ini. Terdapat pemimpin yang sudah lewat usianya
memegang tampuk selama berpuluh-puluh tahun tanpa membawa sebarang perubahan
dan kemajuan kepada bidang sukan tersebut. Mereka juga enggan memberikan laluan
kepada orang baharu. Keadaan ini haruslah dibetulkan jika kita mahu memajukan
sukan tanah air. Tegasnya, keutuhan persatuan sukan juga penting.
Peningkatan prestasi ahli sukan juga dipengaruhi oleh kemudahan latihan yang lengkap.
Jurulatih yang profesional dapat memberikan tunjuk ajar yang bernas. Untuk
tujuan itu, kita misalnya telah mengupah jurulatih dari China dan Denmark dalam
sukan badminton, jurulatih Rusia dalam sukan gimnastik, dan jurulatih Bulgaria
dalam sukan angkat berat. Peralatan yang lengkap lagi canggih telah
meningkatkan prestasi ahli sukan. Stadium tertutup membolehkan latihan
dijalankan tanpa dipengaruhi cuaca, misalnya pembinaan velodrom dan gelanggang
badminton amat membantu dalam latihan sukan. Pendedahan kepada persaingan
peringkat antarabangsa membolehkan ahli sukan mendapat pengalaman baharu.
Perancangan skim latihan yang rapi juga penting untuk meningkatkan mutu sukan.
Kita juga perlu menanam sikap berdedikasi dan semangat kental ahli sukan negara. Jika
seseorang ahli sukan berbakat, sanjungan tinggi akan diberikan kepadanya.
Insentif dan ganjaran melimpah sentiasa menunggunya. Namun tanpa dedikasi,
tekad, dan azam, mutu persembahan mudah luntur dan tidak dapat bertahan lama.
Misalnya, pelibatan pemain bola sepak semipro dalam gejala rasuah di Malaysia
telah menyebabkan mutu bola sepak negara merosot. Sebaliknya, bekas ahli sukan
negara seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Tan Aik Huang, Abdul Malek Noor, dan
Nurul Huda Abdullah mempunyai semangat kental. Mereka berlatih dengan gigih dan
berdedikasi untuk mengharumkan nama Malaysia dalam sukan.
Pemberian insentif
yang tidak keterlaluan turut meningkatkan prestasi atlet. Insentif ini
diberikan dalam bentuk wang atau peluang tertentu. Banyak ahli sukan kita
terpaksa bersara ketika prestasi mereka memuncak kerana mementingkan kehidupan
masa depan mereka. Sesetengahnya pula tidak dapat menumpukan perhatian
sepenuhnya dalam sukan kerana terpaksa bekerja menyara keluarga. Oleh itu,
insentif kewangan, lesen perniagaan, dan sebagainya akan menggalakkan ahli
sukan menumpukan perhatian dalam sukan kerana mereka tidak perlu bimbang
tentang masa depan mereka. Akan tetapi, insentif wang yang berlebihan sehingga
ahli sukan menjadi jutawan akan menyebabkan ahli sukan hidup mewah lalu hilang
semangat berjuang.
Tegasnya, langkah badan-badan sukan menerapkan kemajuan
dalam bidang perubatan telah menjulang mutu sukan negara ke tahap yang lebih
tinggi. Akan tetapi, penyalahgunaan ubat-ubatan haram juga dapat menjahanamkan
mutu sukan. Oleh itu, langkah menerapkan perancangan yang bersepadu menjadi
tunjang kejayaan para atlet dalam lapangan sukan.
(610
patah perkataan)
No comments:
Post a Comment