Keharmonian
dalam rumah tangga dapat diwujudkan daripada sikap yang baik dalam kalangan
anak-anak.
Bincangkan
sikap yang perlu ada kepada anak-anak bagi melahirkan sebuah keluarga yang harmoni
DIMENSI
: KELUARGA
ISU
: KELUARGA HARMONI
TEMA
: KELUARGA HARMONI
DARIPADA SIKAP ANAK-ANAK YANG BAIK
FOKUS
: CARA-CARA MENJADI ANAK YANG BAIK
MOD
SOALAN : HARMONI @ sentimental.
ISI-ISI
UTAMA (IU)
Anak-anak
yang mulia budi pekerti dan bermoral tinggi
Anak-anak
yang bersikap ringan tulang
Anak-anak
yang patuh kepada perintah agama dan taat kepada ibu bapa
Anak-anak
yang bersedia mengambil tanggungjawab
Anak-anak
yang saling bertoleransi
Keluarga
bahagia adalah menjadi impian semua orang. Matlamat “Rumahku Syurgaku” menjadi
hasrat semua keluarga. Mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni
memanglah lunak dan muluk, namun tidak semudah seperti yang dihasratkan.
Realitinya, banyak institusi keluarga yang kecundang dan terbentur ditelan
gelombang. Oleh itu, selain ibu bapa, anak-anak turut berperanan untuk
mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga.
Oleh yang demikian, bagi merealisasikan matlamat keluarga yang harmoni,
anak-anak haruslah bersikap positif dan turut memainkan peranan agar keluarga
yang dibina menjadi keluarga progresif, harmoni, dan sejahtera.
Prakarsa
yang paling prima ialah anak-anak hendaklah menjadi seorang insan yang patuh
kepada agama dan taat kepada ibu bapa. Hal ini demikian kerana sikap tersebut
amat dituntut sama ada di sisi agama mahu pun budaya. Oleh itu, jadilah
anak-anak penawar hati dan pelunak perasaan kepada ibu dan ayah. Hormati dan
taatilah ibu bapa kerana kesejahteraan dunia dan akhirat adalah atas redha ibu
bapa. Apabila ibu bapa dipatuhi manakala perintah Tuhan ditaati nescaya
lahirlah insan sempurna sama ada peribadi mahupun nurani . Sesungguhnya, inilah
watak yang menjadi resepi lengkap untuk mewujudkan keharmonian dalam rumah
tangga selaras dengan slogan “Rumahku Syurgaku”.
Selain
itu, anak-anak yang baik adalah yang mulia budi perkerti dan bermoral tinggi.
Budi pekerti dan moral sentiasa menjadi pakaian peribadi. Elok pekerti nescaya
terserlah nilai insani. Sewajarnya, anak-anak haruslah mencerminkan diri dengan
akhlak dan sopan santun, bak kata Imam al Ghazali, “Hendak mengenal diri lihatlah pada cermin, hendak mengenal
peribadi bercerminlah pada wajah”. Oleh itu, hiasilah diri dengan kelembutan
hati dan kesederhanaan sikap sebagai penyuluh pekerti kita. Hormatilah setiap
ahli keluarga dengan yang tua dihormati, manakala yang muda disayangi.
Seandainya, karekter seperti ini kekal diperkasakan, insya-Allah lahirlah
sebuah keluarga yang harmoni, ibarat di air yang bening terpancar bayang yang jernih.
Sikap
ringan tulang dan keletah yang ada pada sesetengah anak merupakan kriteria yang
amat baik untuk membentuk keluarga yang harmoni. Anak-anak seperti ini tidak
pernah berkira sama ada tenaga mahupun penat lelah dalam memberi khidmat kepada
keluarga. Mereka mudah mesra dan cepat peka terhadap segala kerenah dalam
keluarga. Ketiadaan mereka di rumah amat dirasa oleh semua ahli keluarga.
Malahan ada ketika wujud salah faham apabila anak-anak seperti ini dianggap
anak emas pula. Sepatutnya inilah sikap yang wajar ditunjukkan oleh anak-anak
sebagai tanda membalas budi ibu bapa di samping mengikat hubungan mawaddah
dengan ahli keluarga yang lain. Sebagai anak, ingatlah akan kelahiran kita ke
dunia adalah atas limpahan darah, peluh dan air mata seorang ibu. Dengan hal
yang demikian, balasi ibu bapa dengan sikap ringan tulang demi sebuah keluarga
yang harmoni dan prihatin.
Resam
hidup, patah tumbuh hilang berganti. Sampai waktu ibu bapa akan berlalu pergi,
justeru anak-anak pula yang mengambil giliran. Memahami situasi hukum alam itu,
anak-anak wajar bersedia untuk mengambil tanggungjawab. Tanggungjawab seperti
menjaga rumah tangga, menghubungkan silaturahim dengan adik beradik dan menjaga
maruah serta nama keluarga amatlah dituntut oleh mana-mana masyarakat pun.
Seandainya, nilai-nilai murni ini boleh diperkasakan sudah pasti keharmonian
dalam rumah tangga akan terbentuk. Anak-anak seyogia perlu berpandangan jauh
kerana segala sikap mereka menjadi cermin kepada ibu bapa kerana mengenal
batang (perdu) lihatlah pada daunnya. Janganlah terjadi seperti segelintir
anak-anak yang lupa diri ibarat buah melayang jauh, tampuk dilupakan. Oleh itu,
sebagai anak yang baik bersedialah untuk mengambil tanggungjawab untuk
mengharmonikan keluarga.
Bertolak
ansur dan saling memahami menjadi sebahagian resepi untuk melahirkan sebuah
keluarga yang harmoni. Oleh hal yang demikian, dalam kalangan anak-anak
wujudkan sikap saling bertoleransi supaya keluarga lebih aman dan tenteram.
Daripada sikap bertoleransi akan lahirlah perasaan saling menyayangi dan saling
menghargai antara satu sama lain. Tiada masalah salah faham dan salah anggap
kononnya ada yang lebih istimewa dan ada pula yang terpinggir. Sesama
adik-beradik jalinan hormat dan kasih ibarat isi dengan kuku. Sebarang perbuatan
yang boleh menyakiti darah daging sendiri tidak lebih daripada cubit peha kiri
peha kanan pun sakit juga. Seandainya wujud salah faham pun, carilah jalan
penyelesaian kerana perselisihan dalam kalangan adik-beradik ibarat air
dicencang tidak akan putus. Oleh itu, setiap ahli keluarga bertanggungjawab
untuk menjaga dan memupuk institusi yang tertua dalam sejarah manusia ini agar
terus subur dengan sifat kasih sayang, harmoni dan penuh mawaddah.
Sesungguhnya,
keluarga yang harmoni menjadi teras kepada masyarakat yang dinamik. Sikap
penyayang ibu bapa dan dan tingkah laku yang positif dalam kalangan anak-anak
menjadi wadah utama untuk membina keluarga yang harmoni. Oleh itu, sebagai
anak, berilah sumbangan yang terbaik agar keluarga memperoleh kebahagiaan. Ingatlah
pada pesanan, “Keluarga bahagia penjana kecemerlangan ummah”.
No comments:
Post a Comment