Semangat patriotik
semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan ibu bapa
dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Setiap negara mempunyai
sejarah yang tersendiri. Di Malaysia,
sejarah yang ada telah membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri
daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun
dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini
merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat yang berbilang
kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka mempunyai semangat
patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun,
masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga
mengabaikan kepentingan semangat
patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini
kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh
tokoh pejuang bangsa seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan
sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran
yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh
pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak
dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan
dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya
sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya,
ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ,
terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat
menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan
asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam
jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti,
Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan.
Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang
dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi
juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga.
Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali
cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik
dalam jiwa anak-anak. Jelaslah, Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu
bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat
patriotik dalam jiwa anak-anak
Selain itu, ibu bapa
juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku
novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada
anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat
mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan
novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana
buku-buku tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini
amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang
sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih
buku-buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak
bermanfaat. Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat
patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku
tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat
patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut
menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi
penawar. Tegasnya, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan
dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat
cinta akan negara kepada anak-anak.
Di samping itu, ibu
bapa juga haruslah menjadi ‘role model’ atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu
bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan
pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa
hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai
contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti
yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai
apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi
seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul..
Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada
anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh
membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah
Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan
sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan
negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan
kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa
perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah
yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda
yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh
membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti
kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan
lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl juga menceritakan sendiri
pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa
mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara
kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka
sekarang berbanding dahulu. Hal ini
boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh
melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk
bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak
akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan sentiasa
teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui
sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa
perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman
diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik berunsurkan negara
bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini
haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa.
Anak-anak akan cuba mengingati setiap
cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Oleh sebab itu,
ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak
yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa
juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari
Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. kita
Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat
disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya,
apabila anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang,
mendengar deklamasi sajak serta mendengar
cerita-cerita tentang kesengsaraan para pejuang tanah air untuk
memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan
kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini
diadakan. Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai
dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta
benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti
sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat
peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan
antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan
tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut
hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat
dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan
yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis
Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa
‘ tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain
tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia’. Hal ini amat jelas membuktikan betapa
besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti
anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan
bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan
berwawasan.
No comments:
Post a Comment