Kesantunan, dalam konteks yang lebih luas, tidak merujuk
kepada kesantunan berbahasa semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek
nonverval seperti tingkah laku, mimik muka,dan nada suara. Dalam hal ini,
Lakoff (1975) mendefinisikan kesantunan sebagai perlakuan yang mengurangkan
pergeseran dalam sesuatu interaksi. Fraser dan Nolan (1981) pula menyatakan
bahawa kesantunan berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan
pendengar bagi mengekalkan hubungan yang harmoni dalam komunikasi. Selain itu,
kesantunan dianggap sebagai usaha mengurangkan Tindakan Ancaman Muka (TAM)
dalam perbualan terhadap pendengar (Brown dan Levinson, 1987).
Dalam konteks kesantunan berbahasa pula, Asmah Hj. Omar
(2000) mengaitkannya dengan penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak
menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar.
Keadaan yang demikian akan menimbulkan suasana hubungan yang harmoni antara
penutur dan pendengar.
Dalam masyarakat Melayu, kesantunan bukan sahaja merujuk
kepada latar sosio budaya msayarakatnya yang berpegang pada adapt resam, malah
diperkukuh oleh pegangan Islam yang dianuti. Hal ini tergambar dalam
perbilangan adat yang berbunyi:
“Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab Allah”.
Jadi, konsep kesantunan tidak lengkap jika perbincangannya
terbatas kepada aspek berbahasa dan perlakuan semata-mata, jika tidak dikaitkan
dengan konsep keihklasan. Seseorang itu boleh menuturkan kata-kata yang indah
atau menunjukkan tingkah laku yang sopan dalam sesuatu situasi, tetapi
perlakuan tersebut belum pasti menggambarkan keihklasannya. Manusia boleh
bertopeng dengan pelbagai wajah untuk mencapai hasratnya, sedangkan hakikatnya
tiada sesiapa yang tahu.
blh tau x sumber ni dari mana?? saya nk buat rujukan,,, tksh,,,
ReplyDelete