Pembelajaran
Sepanjang Hayat ialah konsep pendidikan yang amat penting dalam pembangunan
diri manusia. Apakah yang anda fahami dengan konsep ini dan huraikan
kepentingan Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam membina masyarakat dan negara
bertamadun tinggi dan maju.
Pembelajaran sepanjang hayat atau lifelong learning
ialah konsep yang telah lama wujud dalam sistem pendidikan negara. Pembelajaran
sepanjang hayat membawa pengertian belajar sepanjang hidup kita dan yang paling
penting. Pembelajaran sepanjang hayat ialah pembangunan potensi manusia melalui
proses pembelajaran berterusan yang memotivasikan dan mengupayakan individu
menguasai ilmu, menghayati nilai murni yang diperlukan sepanjang hayat untuk
meluaskan pengalaman hidup. Bagi Malaysia, Pembelajaran sepanjang hayat terangkum
dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Wawasan 2020. Pembelajaran sepanjang hayat
ialah asas penting dalam membina
masyarakat dan negara yang bertamadun tinggi dan maju.
Pendidikan sepanjang hayat itu ialah proses seluas hidup,
merentasi kehidupan dan merangkumi konteks pendidikan formal, dan tak formal.
Pendidikan berterusan sebagai sebahagian sentuhan konsep pendidikan sepanjang
hayat bermaksud peluang untuk mendapat dan meneruskan pendidikan bagi setiap
penduduk tanpa mengira tahap umur. Setiap individu tanpa mengira batas usia
disediakan peluang yang sewajarnya untuk menyambung pendidikan khususnya
selepas tamat mengikuti pendidikan wajib selama sembilan atau 11 tahun seperti
apa yang terkandung dalam sistem pendidikan sekarang. Proses pembelajaran
seseorang secara berterusan sama ada bagi tujuan meningkatkan kemahiran atau
membangunkan kerjaya dalam sesuatu bidang pekerjaan pada masa sekarang, mahupun
pada masa akan datang dan proses pembelajaran seseorang bagi meningkatkan ilmu
pengetahuan tidak akan berakhir apabila seseorang itu meninggalkan alam persekolahan.
Seseorang berpeluang meneruskan pelajaran ke peringkat seterusnya tanpa
sekatan. Hal demikian membolehkan seseorang mengembangkan potensinya dan
seterusnya menyumbang untuk negaranya.
Rakyat Malaysia sepatutnya sentiasa memberikan keutamaan
kepada peningkatan ilmu pengetahuan dalam diri masing-masing. Apabila setiap
individu mengekalkan amalan meneroka ilmu pengetahuan secara berterusan tanpa
mengira masa, tempat dan keadaan maka proses pembelajaran sepanjang hayat telah
berlaku. Pendidikan seumur hidup akan berlaku secara berterusan dalam diri
individu yang mengamalkan sikap positif terhadap ilmu pengetahuan dan kemahiran
yang baharu. Sekiranya setiap individu mempunyai satu tekad untuk meletakkan
pendidikan sebagai agenda utama dalam hidupnya maka proses pembelajaran tidak
akan berhenti begitu sahaja sebaliknya berlaku dengan pesat dan konsisten dalam
diri individu tersebut. Pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program
meningkat pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal di
sekolah, pusat latihan vokasional, atau secara tidak formal berdasarkan
pengalaman dan latihan di tempat kerja ialah contoh PSH. Di sesebuah
organisasi, pendidikan merujuk proses pekerja mendapatkan pengetahuan melalui
pengalaman bagi meningkatkan kemahiran. Pekerja diharapkan memperoleh kemahiran
baharu, menggunakannya semasa bekerja dan berkongsi maklumat dengan pekerja
lain. Pengetahuan atau ilmu semasa seseorang itu bekerja sebenarnya lebih
bermanfaat kerana seseorang itu belajar secara tidak langsung.
Selain itu, proses pembelajaran secara berterusan sama
ada bagi tujuan meningkatkan kemahiran atau membangunkan kerjaya dalam sesuatu
bidang pekerjaan pada masa sekarang atau pada masa hadapan, penting dalam
membangunkan potensi diri. Proses pembelajaran bagi meningkatkan ilmu
pengetahuan tidak akan berakhir apabila seorang itu meninggalkan alam
persekolahan. Proses pembelajaran adalah sepanjang hayat. Konsep PSH dalam
Rancangan Pembangunan Negara Menjelang Abad Ke-21 adalah jelas. Mengikut kajian
UNESCO, kemajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh negara-negara membangun
(Amerika Utara, Eropah dan Jepun) ialah hasil perancangan strategik pembangunan
sumber manusia, iaitu seluruh anggota masyarakatnya mendapatkan peluang
pendidikan terbuka dan pembelajaran sepanjang hayat. Tuntasnya, tamadun tinggi
dan kemajuan negara dicapai atas asas pendidikan yang dimiliki oleh rakyat
sesebuah negara.
Seterusnya, semua orang terutama mereka yang bekerja
perlu mengaplikasikan PSH dalam meningkatkan profesionalismenya supaya seiring
dengan perkembangan dalam negara dan antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) melalui UNESCO mulai pertengahan tahun 1990-an telah melancarkan
program bagi meningkatkan kesedaran pentingnya PSH dalam kalangan negara yang
sedang membangun. Pendidikan di Malaysia melalui Falsafah Pendidikan Negara
(FPN) yang diumumkan pada tahun 1988 ialah suatu usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Oleh itu, peranan pekerja contohnya guru
sebagai pelaksana dasar kerajaan di peringkat akar umbi sangat diperlukan dalam
membina tamadun tinggi dan kemajuan masyarakat dan negara.
Di samping itu,
pembelajaran sepanjang hayat yang disarankan oleh kerajaan sebenarnya merupakan
inti kepada pembangunan diri setiap individu di Malaysia terutamanya dalam
mencapai Wawasan 2020 yang mengandungi 9 cabaran. Tiga daripada cabaran itu,
iaitu Cabaran Kedua, Cabaran Keempat dan Cabaran Keenam ialah cabaran yang
menyangkut konsep asas PSH yang ingin melahirkan masyarakat dan negara yang
bertamadun tinggi dan maju. Cabaran Kedua contohnya ialah cabaran untuk membina
masyarakat merdeka dari segi psikologi yang mempunyai keyakinan teguh serta
kuat untuk menghadapi sebarang cabaran dan rintangan. Cabaran keempat ialah
cabaran untuk menjadikan masyarakat bermoral dan beretika dan Cabaran Keenam
pula ialah cabaran dalam membina masyarakat saintifik dan progresif dan
masyarakat yang inovatif dan memandang ke hadapan, sebuah masyarakat yang bukan
sahaja sebagai pengguna teknologi tetapi penyumbang kepada peradaban saintifik
dan teknologi masa hadapan. Dengan PSH, ketiga-tiga cabaran di atas mampu
dicapai.
Akhirnya,
Malaysia mempunyai banyak prasarana dan dasar yang memungkinkan rakyat
memperoleh PSH. Banyak institusi pendidikan menawarkan peluang pekerjaan.
Institusi awam dan swasta yang tumbuh bagai cendawan, membolehkan masyarakat
berpeluang meneruskan pembelajaran formal setelah tamat SPM atau STPM. Banyak
IPTA dan IPTS menawarkan pelbagai kursus jangka pendek dan jangka panjang malah
pembelajaran secara jarak jauh (PJJ). PJJ membolehkan mereka yang telah
bekerja, menyambung pelajaran sambil belajar separuh masa atau sepenuh masa. Pembelajaran secara elektronik dan secara maya serta
pendidikan dengan universiti kembar di luar negara adalah antara contoh PBH
dapat diakses oleh setiap individu yang ingin belajar. Prasarana lain seperti
kewujudan banyak IPTA dan IPTS, penubuhan taman-taman teknologi, kewujudan Lembah
Bioteknologi dan Lebuh Raya Maklumat dan Komunikasi, membolehkan PSH berlaku.
PSH juga boleh berlaku di rumah atau di mana-mana sahaja dan tanpa batas dan
ruang masa. Pembelajaran secara maya ialah pembelajaran tanpa jurang masa dan
jarak yang menjadi halangan untuk belajar. Sesiapa juga boleh belajar sama ada
di sekolah pondok, masjid, sudut belajar, perpustakaan, Internet atau melalui
e-mel.
Kesimpulannya,
pada alaf baharu, pendidikan sudah semacam satu keperluan dan tidak terelakkan
kepada setiap individu tanpa mengira kaum, stratifikasi sosial, demografi dan
sebagainya. Pendidikan dengan pelbagai sistem, bentuk, corak, dasar, falsafah
dan amalan telah membawa paradigma yang tidak terbatas kepada ruang, masa dan
tempat dan sesuai dengan sifat pendidikan itu yang bersifat telus dan dinamik.
Malah sejak kebelakangan ini pendidikan sudah melepasi garis sempadan dan
wilayah. Paradigma baharu pendidikan yang lebih bercorak massa, komersial,
global dan berpanjangan sifatnya sesuai dengan istilah 'pendidikan sepanjang
hayat' menyebabkan peluang dan ruang luas kepada setiap ahli masyarakat.
Pendidikan sedemikianlah yang menjadikan masyarakat dan negara bertamadun
tinggi dan maju.
No comments:
Post a Comment