ISU-ISU TERKINI

JANA PENDAPATAN

Monday, September 9, 2013

GEMA SEPI GADIS GENIUS (KOMSAS TINGKATAN 2)



GEMA SEPI GADIS GENIUS
( Azmah Nordin )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:
Basirah merenung berbelas-belas komputer di Makmal Perdana. Namun tiadapun daripadanya berjudul program 'antibusut'. Dalam keadaan fikirannya yang sedang kusut, Basirah terkenang akan kakaknya. Hanani semasa mereka masih kecil lagi, semasa Hanani di tadika sehinggalah Basirah melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Komputer. Banyak perbezaan antara mereka berdua.

Selain itu, Basirah juga teringat akan ayahnya yang sentiasa sibuk. Basirah menjalani praktikal dengan menduduki jawatan timbalan pengurus makmal sistem komputer Makmal Perdana. Seperti kebiasaan, Basirah tercabar dengan masalah 'busut' yang dilonggokkan oleh pengurus makmalnya. Basirah bersemuka dengan teman-temannya para timbalan pengurus. Basirah membentangkan masalah busut. Namun, dia dikritik. Ada ketikanya Basirah berasa sebak tetapi dia tidak akan menganggap kritikan sebagai jemputan untuk bertinju, sebaliknya sebagai satu alternatif.

Oleh itulah, dia telah membuka buku log untuk merekod penceroboh. Basirah terkejut apabila penceroboh menyelongkar segala-galanya yang berkaitan dengan ketenteraan. Oleh itu, Basirah telah membawa masalah tersebut kepada teman sejawatnya. Basirah menganggap penceroboh tersalah sasaran. Saluran penceroboh untuk menembusi saluran internet di Makmal Perdana Kebangsaan Labuan atau MPKL. Di sini berlaku perbezaan pendapat antara Basirah dengan rakanya. Akhirnya Basirah membuat ujikaji dengan menggunakan alat osiloskop bagi menentukan jarak antara makmal dengan penceroboh. Lamunan Basirah terhenti apabilapintu yang terkuak berbunyi. Beberapa orang remaja tersembul di muka pintu makmal. Kakaknya datang membawa kek dan mengucapkan selamat hari jadi. Basirah cukup terharu.

Selepas itu, sekali lagi osiloskop dipasang untuk mengesan gema panggilan dari luar. Ketika mereka sibuk mengesan gema, tiba-tiba penceroboh membuat panggilan di komputer-komputer makmal. Belum sempat dia memberi amaran agar berwaspada terhadap penyelia khususnya, penceroboh sudah lenyap dari skrin komputernya. Hanani yang ada pada ketika itu menyarankan menggunakan umpan untuk menembusi tembok penceroboh. Hanani tersipu malu. Basirah menghubungi pensyarahnya tentang perkembangan terbaru. Selang beberapa minit umpan mengena.

Basirah telah menerima ucapan tahniah atas kejayaan menyekat penceroboh. Akhirnya, Basirah menyaksikan impian untuk masa depan yang tidak pernah diimpikan selama ini menjadi kenyataan yang indah.

SAJAK LAUT (KOMSAS TINGKATAN 2)



SAJAK LAUT
Rangkap 1
Penyajak menggambarkan laut yang begitu biru, luas dan indah.
Rangkap 2
Penyajak melafazkan betapa laut telah membuatkan hatinya begitu bahagia. Laut juga begitu tenang dan kaya (dengan pesona).
Rangkap 3
Penyajak melihat pasir putih dan juga kerang. Ombak singgah di kaki penyajak, manakala angin pantai membelai diri penyajak.
Rangkap 4
Penyajak melihat seorang nelayan di kejauhan berdiri di atas sebuah perahu kecil sambil menebarkan jala. Dia menangkap ikan untuk menyara keluarga.
Rangkap 5
Gelagat burung-burung laut turut menarik perhatian penyajak. Burung laut mengepakkan sayap sambil berkicau riang. Kicauan burung laut senada dengan deruan ombak.
Rangkap 6
Matahari berbentuk separuh bulat kelihatan muncul di seberang laut yang membiru. Matahari tetap dengan fungsinya memberikan sinaran.
Rangkap 7
Akhirnya penyajak menyatakan pengakuan bahawa dirinya dan laut biru adalah bersaudara. Maksudnya, penyajak merasakan dirinya telah benar-benar sebati dan begitu menyayangi laut biru itu.

Tema
Keindahan laut dan persekitarannya yang menyumbang terhadap kehidupan makhluk lain.

Persoalan
1   Keindahan alam yang membahagiakan manusia
2   Pergantungan kaum nelayan terhadap laut
3   Kehidupan fauna yang serasi dengan persekitaran laut
4   Pemandangan matahari menyinari hidupan laut
5   Perasaan cintakan alam sekitar

Gaya Bahasa
1.     Anafora(Pengulangan kata di awal baris)
      Contoh:  Laut ini begitu biru
        Laut ini begitu luas
        Laut ini begitu indah


2.     Personifikasi(Sifat manusia diberikan kepada objek dan haiwan)
Contoh: Laut ini begitu tenang / ombak menyapa  kaki.
 3.     Sinkope(Singkatan perkataan)
             Contoh: membuatku bahagia.
 4.     Simile(Perbandingan)
 Contoh: begitu gembira mereka menyanyi bagai   berlumba
 5.     Asonansi(Pengulangan vokal)
             Contoh: Betapa bahagianya hati.
 6.   Aliterasi (Pengulangan konsonan)
Contoh: dengan nyanyian ombak.

 Nada
Sajak ini bernada romantis.

Pengajaran
1.     Kita hendaklah bersyukur dengan keindahan alam ciptaan tuhan – keindahan dan ketenangan di kawasan laut dapat memberi ketenangan.
2.     Kita perlulah gigih berusaha untuk mendapatkan rezeki – nelayan berusaha gigih bagi mendapatkan rezeki untuk menyara keluarga.
3.     Kita seharusnya menghargai keindahan alam sekeliling kita.

Nilai
1.     Nilai kesyukuran
Bersyukur dengan nikmat keindahan alam yang mampu memberikan ketenangan dalam  hidup kita.
2.     Nilai kegigihan
Kegigihan nelayan mencari rezeki untuk menyara keluarga.

SAJAK KETENANGAN (KOMSAS TINGKATAN 2)



KETENANGAN
(Nor Rasidah Mohd)
MAKSUD SAJAK
Rangkap 1
Penyajak berusaha untuk mencari ketenangan dalam dirinya walaupun terpaksa menghadapi pelbagai halangan dan kesusahan.
Rangkap 2
Penyajak telah menemui ketenangan yang dicari-cari sehingga kesepian yang dialami selama ini diganti dengan kegembiraan dan sesuatu yang kabur menjadi jelas.
Rangkap 3
Kini penyajak sedar bahawa setiap ketenangan dalam diri seseorang bukan diperoleh dengan cara mencapai kekayaan dan kemewahan hidup.
Rangkap  4
Penyajak menjelaskan bahawa ketenangan sebenarnya dapat dicapai dengan cara memantapkan ilmu dalam diri dan menguatkan keimanan terhadap tuhan.  Keadaan ini menjadikan jiwa penyajak tenang apabila mengamalkan kedua-dua perkara tersebut.

TEMA
Sajak ini mengemukakan tema tentang ketabahan hati seseorang mencari ketenangan dalam hidup – Penyajak berusaha mencari ketenangan dalam hidupnya sehingga beliau berjaya menemuinya.

PERSOALAN
1.    Persoalan kegigihan bagi mendapatkan sesuatu yang diinginkan – penyajak gigih berusaha untuk mencari ketenangan dalam hidupnya walaupun menghadapi pelbagai dugaan.
2.    Persoalan dapat menghilangkan segala kesepian dan kedukaan dalam hidup – masalah kesepian dan kesedihan penyajak berjaya diatasi apabila beliau menemui ketenangan hidup.
3.    Persoalan kemewahan dan kekayaan hidup tidak menjanjikan ketenangan dalam hidup seseorang.
4.    Persoalan menuntut ilmu dan meneguhkan keimanan terhadap tuhan merupakan jalan terbaik bagi mencapai ketenangan.

 BENTUK
1.    Sajak ini terdiri daripada empat rangkap.
2.    Rima akhir adalah bebas.
3.    Jumlah baris serangkap bebas
Contoh: Rangkap 1- tujuh baris, Rangkap 2 – empat baris dan sebagainya.
4.    Jumlah perkataan dalam satu baris antara satu hingga empat patah kata.
5.    Jumlah suku kata dalam satu baris antara empat hingga sepuluh suku kata.

 GAYA BAHASA
1.    Anafora
Suasana sepi menjadi riang
            Suasana gelap menjadi tenang (Rangkap 2, baris 3 dan 4)
2.    Sinkope
Kini kutemuimu (Rangkap 2, baris 2)
3.    Asonansi
Kekayaan atau kemewahan (Rangkap 3, baris 5)
Pengulangan vokal ‘a’.
4.    Aliterasi
Tanpa menghiraukan rintangan (Rangkap 1, baris 2)
Pengulangan konsonan ‘n’.

NADA
Nada sajak ini ialah romantis.

 NILAI
1.    Nilai kegigihan
Penyajak gigih berusaha untuk mencari ketenangan diri.
2.    Nilai ketabahan
Penyajak tabah menghadapi segala cabaran dan kesusahan dalam usaha mencari ketenangan dalam dirinya.

 PENGAJARAN
1.      Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan – penyajak berusaha untuk mencari ketenangan dalam hidupnya.
2.      Kita hendaklah meneguhkan keimanan kita kepada tuhan untuk mendapat ketenangan – penyajak berjaya menemui ketenangan yang dicarinya dengan cara meneguhkan keimanan kepada tuhan.
3.      Kita hendaklah sedar bahawa kemewahan dan kekayaan mampu memberi segala keinginan kita – ketenangan diri tidak dapat dicapai dengan kemewahan hidup.
4.      Kita hendaklah sentiasa menuntut ilmu walau di mana sahaja kita berada.

SAJAK HARI GURU TINGKATAN 2



HARI GURU
 (Selina S.F. Lee)

MAKSUD SAJAK
Rangkap 1
Semasa sambutan Hari Guru, para guru bertekad menunaikan amanah dan harapan para ibu bapa untuk melaksanakan tugas mendidik anak-anak yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.
Rangkap 2
Sambutan Hari Guru merupakan hari para guru bermuhasabah diri tentang tanggungjawab dan keazaman mereka sama ada masih lagi kukuh  atau telah hilang kerana pelbagai dugaan.
Rangkap 3
Hari guru merupakan hari para guru menerima penghormatan dan penghargaan kerana jasa-jasa mereka.


TEMA
Sajak ini mengemukakan tema tentang penghargaan kepada para guru melalui sambutan Hari Guru.

 PERSOALAN
1.    Persoalan peranan guru mendidik anak bangsa.
2.    Persoalan melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada kita.
3.    Persoalan kesedaran tentang tugas dan tanggungjawab yang dipikul.
4.    Persoalan tugas guru yang sentiasa dikenang dan dihargai.

 GAYA BAHASA
1.         Personifikasi(Sifat manusia diberikan kepada benda, haiwan, idea dan sebagainya)
adalah hari yang menuntut kita. (Rangkap 2, baris 2)
2.      Metafora(Perbandingan atau kiasan yang mengandungi dua kata, iaitu konkrit dan abstarak)
apakah  tiang azam (Rangkap 2, baris 4)
tunas bangsa (Rangkap 1, baris 8)
3.      Anafora(Pengulangan kata di awal baris)
ada bunga dikalung
ada puji dilafazkan
ada jasa dikenangkan (Rangkap 2, baris 2   hingga 3)
4.      Asonansi
adalah hari kita. (Rangkap 1, baris 2)
Pengulangan vokal ’a’
5.      Aliterasi
masih tegak kukuh (Rangkap 2, baris 5)
pengulangan konsonan ’k’
6. Repitasi(Pengulangan ayat di dalam puisi)
Contohnya: Ayat Hari ini diulang pada baris pertama bari rangkap pertama, kedua dan rangkap ketiga.

BENTUK
1.      Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.
2.      Rima akhir bebas.
3.      Jumlah perkataan sebaris antara dua hingga lima patah kata.
4.      Jumlah suku kata sebaris antara empat hingga sebelas suku kata.
5.      Jumlah baris serangkap adalah bebas
Contohnya : (Rangkap 1 – ada sembilan baris,  Rangkap 2 – ada sepuluh baris dan Rangkap 3 – ada tujuh baris).

NADA
Nada sajak ini patriotik.

NILAI
1.      Nilai amanah
Para guru memikul amanah para ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.
2.      Nilai tanggungjawab
Guru-guru bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas / tanggungjawab mereka untuk membimbing anak bangsa.
3.      Nilai penghargaan terhadap orang yang berjasa
Jasa guru dihargai dan dikenang melalui sambutan hari guru.
4.      Nilai kesedaran
Para guru sepatutnya sedar akan tugas dan peranan mereka dalam mendidik pelajar.

PENGAJARAN
1.        Para guru hendaklah menunaikan amanah ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.
2.        Kita hendaklah menghargai peranan para pendidik (guru) dalam usaha mendidik dan memberi ilmu kepada anak bangsa kita – sambutan hari guru merupakan salah satu cara yang dilakukan bagi menghargai para pendidik.
3.          Para guru hendaklah sedar peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka.
4.          Kita hendaklah mengenang jasa orang yang banyak memberi ilmu kepada kita – jasa para guru hendaklah sentiasa kita kenang.