ISU-ISU TERKINI

JANA PENDAPATAN

Tuesday, August 25, 2015

SAJAK KEMERDEKAAN 2015 DALAM BAHASA IBAN

TUKAR SENDIRI KEPADA BAHASA IBAN.....OK

TEMA: SEHATI SEJIWA


SEHATI SEJIWA
Sejati sejiwa.
Kita menikmati erti kemerdekaan selama58 tahun ini,
kita semua sepakat mengakui
inilah kemerdekaan yang kita ucapkan,
kita banggakan,
tetapi kita tidak tahu
apa itu kemerdekaan ??
Merdekah kita??

Sehati sejiwa
Kita bersama rasa,
seia sekata, sependapat,
saling menyayangi antara dua insan,
susah sama diharungi,
manis sama dikecapi dan pahit maung sama dirasai.
Kita menghayati erti kemerdekaan
mengharungi hari-hari mendatang
tanpa kita sedari kita lupakan perjuangan nenek moyang kita…

Sehati sejiwa…
Ku lontarkan pertanyaan ini kepada diri ku sendiri..
Dimana bangsaku,
dimana kedudukan ku,
dimana agama ku,
di mana rakan ku??
Aku yang berpijak di bumi malaysia seperti aku yang asing di bumi ini..
Laungan satu malaysia yang ku dengari selama ini..
adakah ianya benar-benar tercapai??

Sehati sejiwa…
Lautan api sanggup direnangi genggam bara sampai jadi abu,
 berpantang ajal sebelum maut,
itulah nenek moyang kita yang sudah pun berkorban demi anak cucu kita..
Kitalah yang menikmati bersama-sama …
 ibarat menanam pokok durian yang bertahun-tahun menunggu hasil nya…

Sehati sejiwa…
Janganlah kita robohkan kota kemerdekaan yang dibina selama ini…
bersatu hatilah memacu perpaduan ekonomi negara kita…
Bersatulah kita semua mengembling tenaga,
jangan biarkan anasir luar menjajah kembali negara kita.
Cukuplah kita semua dijajah oleh pemikiran dan fahaman luar
 yang kita tidak akan dapat merdekakan ianya kembali…

Merdekah kita?

CERPEN TINGKATAN 4 : KADUK, AYAM DAN RAJA

Kaduk, Ayam dan Raja (Zurinah Hassan)
            Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja mengisahkan perjuangan cucu Kaduk iaitu Hakim yang berusaha mendapatkan tanah milik arwah datuknya yang diambil oleh Raja.  Hakim yang merupakan lulusan universiti telah meminta bantuan sahabatnya iaitu Azam seorang lulusan bidang undang-undang untuk memfailkan kes tuntutan tanah seluas empat ekar itu. Melalui penghujahan Azam, beliau telah berjaya menyakinkan mahkamah bahawa Kaduk menyerahkan ayam Kunani kepada raja tanpa kerelaannya hatinya.  Hal ini  menyebabkan kemenangan berpihak kepada Hakim. Setelah itu, Hakim merancang untuk menternak ayam secara pertanian kontrak dengan syarikat besar yang menubuhkan cawangan di Malaysia dengan nama Rangkaian Jasa Agrikultur atau singkatannya RAJA. Hakim menternak ayam bagi menyahut seruan kerajaan yang banyak memberi insentif kepada penternak.  Kesungguhannya terbukti apabila Hakim telah membuat pinjaman bank melebihi dua ratus ribu ringgit. Hakim terpaksa meminda kertas kerjanya beberapa kali dan  hasil bantuan seorang Yang Berhormat telah menyebabkan bank meluluskan pinjaman tersebut untuk membina sebuah reban ayam tertutup yang dilengkapi sistem penyaman udara serta peralatan memberi makanan secara semi automatik. Setelah kelulusan bank diperoleh, satu perjanjian kontrak di meterai antara Hakim dan syarikat RAJA, maka projek penternakan ayam pun bermula.
            Konflik mula timbul setelah setahun Hakim menjadi penternak ayam.  Sahabat karibnya Azam telah pulang dari luar negara kerana berkursus dan terus berjumpa dengan Hakim. Hakim telah menceritakan masalah yang dialaminya sepanjang dia menjadi penternak ayam iaitu terdapat rungutan orang kampung terhadap lorinya yang telah menyebabkan keadaan jalan kampung bertambah teruk. Selain itu, hakim menjelaskan kepada Azam bahawa hidupnya dibelenggu hutang dengan menunjukkan penyata hasil  jualan ayam dari rebannya yang bernilai lapan puluh lima ribu ringgit. Namun begitu hanya tiga belas ribu ringgit sahaja yang diterimanya kerana selebihnya digunakan untuk membayar hutang kepada syarikat RAJA.  Jumlah wang yang diterima itu pula terpaksa digunakan untuk membayar pelbagai kos seperti bil elektrik, bil air, hutang bank dan sebagainya. Hakim menzahirkan penyesalannya tentang memilih ternakan kontrak yang dianggapnya situasi menang menang tetapi keadaan yang sebaliknya pula berlaku. Hakim mula menyedari bahawa dirinya  telah dieksploitasi oleh Syarikat RAJA melalui harga dedak dan ubat untuk ayam ternakannya sehingga hutangnya meningkat. Hakim menganggap dirinya menerima nasib yang sama seperti nasib datuk yang tertipu oleh orang yang memiliki kuasa.
Tema
Tema cerpen ini ialah kesungguhan seorang anak muda menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalankan projek ternakan ayam walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

Persoalan
Persoalan keberanian menuntut hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.
Persoalan memahami selok belok bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
Persoalan ketaatan terhadap pemerintah. Sebagai contoh Kaduk mentaati perintah raja dengan menukarkan ayam Kunani dengan ayam raja atas perintah baginda semasa bersabung ayam.
Persoalan penindasan golongan yang berkuasa terhadap golongan yang lemah. Sebagai contoh, syarikat RAJA mengambil kesempatan dengan menentukan harga dedak dan ubat ayam ternakan sehingga menyebabkan Hakim menanggung beban hutang.


Plot
Permulaan
Pembaca diperkenalkan dengan watak Kaduk yang dianggap bodoh kerana bertukar ayam dengan raja.  Akhirnya Kaduk, isteri dan anaknya hidup menumpang di atas tanah yang sebenarnya miliknya sendiri.

 Perkembangan
Hassan menamakan anaknya Hakim yang bererti  bijaksana yang berbeza nama-nama orang lain yang primitif dan jelik seperti Si Bulat, Si Labi dan sebagainya.
Hakim seorang yang pandai dan melanjutkan pelajaran  ke universiti.  Hakim semakin sedar akan ketidakadilan dan penganiayaan yang telah berlaku dalam kehidupan datuknya.  Hakim mendapatkan bantuan Azam, sahabatnya untuk menyelasaikan kemelut keluarganya itu.  Usaha Hakim berjaya.
Hakim berhasrat mengusahakan projek penternakan ayam di atas tanah milik datuknya itu walaupun memakan belanja yang besar melebihi dua ratus ribu ringgit.  Untuk melialisasikan hasratnya itu, Hakim memohon pinjaman bank. Masalah yang timbul ialah  pihak bank pula memerlukan cagaran dan dia tidak ada harta yang lain untuk dicagarkan. Mujurlah seorang Yang Berhormat campur tangan dan pinjaman hakim diluluskan.
Hakim memeterai perjanjian dengan Syarikat RAJA untuk membekalkan makanan dan ubat ayam dan projek pun bermula.
Orang kampung merungut bahawa jalan kampung mereka rosak disebabkan lori-lori yang membawa ayam melalui jalan.  Hakim berusaha meminta bantuan pihak yang berkenaan untuk membaiki masalah ini tetapi jawapan mereka ialah tiada peruntukan.

Klimaks
Setelah setahun, Hakim bercerita kepada Azam yang baharu pulang dari luar negara bahawa dia berasa kecewa terhadap projek penternakan ayamnya kerana walaupun mendapat pulangan yang besar tetapi hakikatnya keuntungan yang diperolehnya amat kecil. Dia berasa dirinya telah dieksploitasi oleh syarikat RAJA yang membekalkan makanan dan ubat ayam kepadanya.  Harga makanan dan ubat ayam Syarikat RAJA amat mahal.

Peleraian
Hakim menganggap dirinya mengalami nasib yang malang sama seperti datuknya  yang terpaksa akur pada golongan yang berkuasa.

Teknik Plot
Pemerian
Pengarang menggambarkan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh Hakim untuk membina reban ayam tertutup. Sebagai contoh dia memulakan segala kerja, menebang pokok dan meratakan tanah, berlori-lori tanah telah diangkat untuk menambak kawasan yang memang rendah dan berair itu.

Dialog
“Dah berapa kali kau menjual ayam?” tanya Azam

Imbas muka
Hakim pernah berseloroh, “Kalau aku berjaya menebus kembali tanah itu, aku nak dirikan sebuah memorial.”
Imbas kembali
“Kau ingat kan , tanah inilah yang kita tuntut di mahkamah dengan susah payah.”

Kejutan
Nilai jualan dari rebanku ialah lapan puluh lima ribu ringgit. Tetapi akhirnya hanya tiga belas ribu sahaja yang masuk ke kantungku.Tujuh puluh dua ribu adalah untuk RAJA kerana membayar harga anak-anak ayam, harga dedak dan ubat-ubatan.Dari tiga belas ribu itulah aku membayar hutang bank, gaji pembantu, upah penangkap ayam, membayar bil elektrik dan bil air yang cukup tinggi dan segala kos penyelenggaraan yang lain.

Watak dan Perwatakan
Hakim

Anak kepada Hassan dan cucu kepada Kaduk.
Seorang yang berani memperjuangkan hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.
Seorang yang gigih menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
Seorang yang tabah menghadapi masalah. Sebagai contoh Hakim tabah mengharungi cabaran akibat kegagalannya dalam bidang keusahawanan.
Seorang yang rajin menuntut ilmu.  Sebagai contoh Hakim berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.


Azam.
Sahabat baik Hakim semasa di universiti.
Seorang yang suka membantu orang lain.  Sebagai contoh Azam membantu Hakim dengan menjadi peguamnya dalam kes tuntutan tanah milik datuknya.
Seorang yang rajin menuntut ilmu.  Sebagai contoh walaupun Azam sudah memiliki ijazah dalam bidang undang-undang namun dia sanggup menghadiri kursus selama setahun di luar negara untuk menambah pengetahuannya.
Seorang yang prihatin. Sebagai contoh Azam sanggup mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh Hakim dalam usaha penternakan ayamnya kerana dia prihatin terhadap sahabatnya itu.

Kaduk.
Datuk kepada Hakim dan ayah kepada Hassan.
Seorang yang suka bersabung ayam. Sebagai contoh Kaduk bersabung ayam dengan raja.
Seorang yang mentaati raja. Sebagai contoh Kaduk sanggup menyerahkan ayam Kunani apabila diminta oleh raja.

Raja
Seorang yang suka bersabung ayam.  Sebagai contoh raja bersabung ayam dengan Kaduk.
Seorang yang suka mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain.  Sebagai contoh raja telah menukarkan ayamnya dengan ayam kunani Kaduk untuk memenangi pertandingan itu.

Latar
Latar masa
Zaman lampau. Sebagai contoh Kaduk pernah bersabung ayam dengan ayam raja.
Zaman selepas merdeka. Sebagai contoh Hakim didedahkan oleh kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru terhadap projek penternakan ayam secara kontrak dengan syarikat RAJA.
Dalam masa setahun.  Sebagai contoh Hakim mengalami kerugian dalam masa setahun dia menjalankan perternakan ayamnya.

      Latar tempat.

Mahkamah. Sebagai contoh kes tuntutan Hakim terhadap tanah milik datuknya dijalankan di mahkamah.
Tanah Kaduk. Sebagai contoh Hakim menjalankan projek ternakan ayamnya di tanah Kaduk.
Kampung. Sebagai contoh penduduk kampung mendakwa lori-lori Hakim telah merosakkan jalan kampung mereka.
Universiti. Sebagai contoh Hakim dan Azam melanjutkan pelajaran di universiti  yang sama.
Latar masyarakat
Masyarakat yang mementingkan bidang keusahawanan. Sebagai contoh para menteri menyeru rakyat menceburi bidang keusahawan melalui pertanian yang mengeluarkan lebih banyak makanan.
Masyarakat yang sensitif terhadap keadaan sekeliling. Sebagai contoh penduduk kampung merungut apabila mendapati jalan di kampung mereka rosak akibat dilalui oleh lori-lori Hakim.
Masyarakat yang bekerja untuk mencari rezeki. Sebagai contoh Hakim mengambil pekerja-pekerja untuk bekerja di projek penternakan ayamnya.
Masyarakat yang mengamalkan sistem feudal. Sebagai contoh wujud dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan rakyat semasa hayat Kaduk.

Gaya Bahasa
Sinkope
Sebagai contoh: kau, ku

Pengulangan kata
Sebagai contohnya: Kami sama-sama membela ayam dan kami sama-sama menggadai tanah. Kami sama-sama berada di bawah cengkaman orang berkuasa.

Kata ganda
Sebagai contonya: bangunan-bangunan, sama-sama dan tanah –tanah.

Bahasa Arab
Sebagai contoh: Assalamualaikum, Alhamdulillah

Bahasa Inggeris
Sebagai contoh Global Chiken

 Simile
Sebagai contoh : Bank akan merampas tanahku tak ubah seperti raja merampas tanah datukku dahulu.

Personifikasi. Sebagai contoh; Setiap musim syarikat payung akan mengatur lori-lori untuk mengangkut ayam-ayam yang sudah besar.

Nilai
Nilai keadilan. Sebagai contoh hakim menuntut keadilan di mahkamah bagi pihak datuknya yang telah ditipu.
Nilai keberanian. Sebagai contoh hakim berani menceburi bidang keusahawan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
Nilai kegigihan.Sebagai contoh Hakim gigih menjadi penternak ayam walaupun dirinya terpaksa menanggung hutang yang banyak.
Nilai keprihatian. Sebagai contoh Azam sangat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh hakim dengan memberi semangat kepadanya untuk terus berjaya menjadi penternak moden sebelum dia berangkat ke luar negara untuk berkursus.
Nilai tolong-menolong. Sebagai contoh Azam sanggup menjadi peguam Hakim untuk menolongnya mendapatkan hak tanah seluas empat ekar  milik datuk hakim.



Pengajaran

Kita hendaklah menuntut hak kita yang dirampas oleh orang lain.  Sebagai contoh Hakim menuntut hak milik tanah datuknya yang diambil raja di mahkamah.
Kita hendaklah gigih berusaha dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Sebagai contoh Hakim gigih berusaha untuk mendapatkan kelulusan bank bagi menjayakan projek penternakan ayam walaupun terpaksa meminda kertas projeknya beberapa kali sebelum bank meluluskan permohonannya dengan bantuan Yang Berhormat.
Kita hendaklah berani menceburi bidang perniagaan. Sebagai contoh hakim berani mengusahakan tanah peninggalan datuknya dengan menjalankan penternakan ayam untuk dijual.
Kita hendaklah menolong  golongan yang memerlukan bantuan. Sebagai contoh Azam membantu sahabatnya dengan menjadi peguam bagi mendapatkan hak milik tanah datuk Hakim.

 Kita janganlah mengambil kesempatan terhadap golongan yang lemah.  Sebagai contoh Syarikat RAJA mengenakan bayaran yang tinggi terhadap makanan dan ubat ayam yang dibeli oleh Hakim untuk mengaut keuntungan yang lebih.

Monday, August 24, 2015

SAJAK KEMERDEKAAN 2015 : SEHATI SEJIWA

SEHATI SEJIWA
Sejati sejiwa.
Kita menikmati erti kemerdekaan selama58 tahun ini,
kita semua sepakat mengakui
inilah kemerdekaan yang kita ucapkan,
kita banggakan,
tetapi kita tidak tahu
apa itu kemerdekaan ??
Merdekah kita??

Sehati sejiwa
Kita bersama rasa,
seia sekata, sependapat,
saling menyayangi antara dua insan,
susah sama diharungi,
manis sama dikecapi dan pahit maung sama dirasai.
Kita menghayati erti kemerdekaan
mengharungi hari-hari mendatang
tanpa kita sedari kita lupakan perjuangan nenek moyang kita…

Sehati sejiwa…
Ku lontarkan pertanyaan ini kepada diri ku sendiri..
Dimana bangsaku,
dimana kedudukan ku,
dimana agama ku,
di mana rakan ku??
Aku yang berpijak di bumi malaysia seperti aku yang asing di bumi ini..
Laungan satu malaysia yang ku dengari selama ini..
adakah ianya benar-benar tercapai??

Sehati sejiwa…
Lautan api sanggup direnangi genggam bara sampai jadi abu,
 berpantang ajal sebelum maut,
itulah nenek moyang kita yang sudah pun berkorban demi anak cucu kita..
Kitalah yang menikmati bersama-sama …
 ibarat menanam pokok durian yang bertahun-tahun menunggu hasil nya…

Sehati sejiwa…
Janganlah kita robohkan kota kemerdekaan yang dibina selama ini…
bersatu hatilah memacu perpaduan ekonomi negara kita…
Bersatulah kita semua mengembling tenaga,
jangan biarkan anasir luar menjajah kembali negara kita.
Cukuplah kita semua dijajah oleh pemikiran dan fahaman luar
 yang kita tidak akan dapat merdekakan ianya kembali…


Merdekah kita?

Wednesday, August 19, 2015

ESEI TINGKATAN 6 PENGGAL 1: STRUKTUR KARANGAN

Struktur Karangan


1. ISU= Kemalangan jalan raya  2. Kehendak soalan= Faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya.
 CONTOH AYAT-AYAT DALAM PENDAHULUAN

Bahagian/Ayat
Struktur
Contoh ayat


1
Penyataan Isu
Kita tidak dapat dinafikan bahawa kes kemalanagan jalan raya sejak akhir-akhir ini semakin meningkat khususnya pada musim perayaan.

2
Penjelasan isu
      Kemalangan ini berlaku secara tidak sengeja dan tidak  
      diduga.


Contoh
Misalnya kemalangan yang membabitkan sebuah bas syarikat pengangkutan awam baru-baru ini bukanlah sesuatu yang dingini oleh semua pihak.

3
Ulasan isu
Namun begitu, kemalangan itu tetap berlaku dan menyebabkan banyak nyawa yang terkorban. Hal sedemikian pastinya menyebabkan kesedihan kepada pelbagai pihak, terutamanya ibu bapa, adik-beradik dan keluarga terdekat  mangsa.

4
Ulasan isu

5
Ulasan isu

6
Kehendak soalan
Oleh sebab itu, pihak bertanggungjawab perlu mengenal pasti punca berlakunya kemalangan ini agar langkah pencegahan dapat dilaksanakan.


SENARAI SEMAK STRUKTUR ISI SOKONGAN KARANGAN STPM

Bahagian/Ayat
Struktur
Contoh ayat


1
Ayat Judul
Salah satu faktor berlakunya kemalangan jalan raya ialah kecuaian pemandu itu sendiri.

2
Ayat sokongan 1
Ada dalam kalangan pemandu yang tidak memberikan tumpuan terhadap pemanduannya semasa berada di jalan raya. Terdapat dalam kalangan mereka yang berbual-bual dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Perkara sedemikian menyebabkan mereka tidak dapat memberikan perhatian terhadap keadaan jalan raya, isyarat lampu dan sebagainya  ketika memandu. Selain itu ada juga pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk, mabuk dan sebagainya. Walhal perkara seumpama ini perlu dielakkan ketika memandu.

3
Ayat sokongan 1

4
Ayat sokongan 1

5
Ayat sokongan 1

6
Ayat sokongan 1

7
Kesimpulan
Jelaslah bahawa pemandu boleh menyebabkan kemalangan jika mereka cuai dan tidak berhati-hati.


ESEI TINGKATAN 6 PENGGAL 1: TEKNIK PENULISAN ESEI YANG BAIK



Contoh menulis perenggan isi
Cara Menulis Huraian isi

Tajuk karangan : Sejak akhir-akhir ini gejala sosial di kalangan remaja semakin membimbangkan. Institusi keluarga dikatakan mampu menangani masalah keruntuhan moral di kalangan remaja. 

Bincangkan.
Ayat Fakta :  Salah satu tanggungjawab yang harus dimainkan oleh institusi keluarga dalam membendung masalah sosial ialah memberikan pendidikan agama yang sempurna kepada remaja.

Huraian 1 ( BILA ) :  Pendidikan agama hendaklah diberikan oleh keluarga sebelum seseorang meningkat remaja, seperti kata pepatah Melayu ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Huraian 2  ( MENGAPA? ) :  Pendidikan agama sangat penting diberikan kepada anak
anak kerana dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dalam masalah keruntuhan moral.

Huraian 3 ( APAKAH KESANNYA?) :
            Pendidikan agama yang sempurna membolehkan seseorang membuat pertimbangan sewajarnya dalam membezakan perbuatan yang baik dengan yang buruk.
Contoh/bukti :
            Pendidikan secara formal dengan menghantar anak-anak ke kelas agama mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Perenggan isi yang lengkap


Salah satu tanggungjawab yang harus dimainkan oleh institusi keluarga dalam membendung masalah sosial ialah memberikan pendidikan agama kepada para remaja. Pendidikan agama hendaklah diberikan oleh keluarga sebelum seseorang meningkat remaja, seperti kata pepatah Melayu ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Pendidikan agama sangat penting diberikan kepada anak-anak kerana dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dalam masalah keruntuhan moral. Antara bentuk pendidikan yang diberikan ialah secara formal dengan menghantar anak-anak ke kelas-kelas agama mengikut kepercayaan agama masing-masing.Kesannya, pendidikan agama yang sempurna membolehkan seseorang membuat pertimbangan sewajarnya dalam membezakan perbuatan yang baik dengan yang buruk.

ESEI BM PENGGAL 1: ISU PENGANJURAN SUKAN

Isu Penganjuran Sukan Peringkat Antarabangsa

       Sukan merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat seluruh warga dunia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Sukan juga merupakan suatu instrumen untuk menaikkan nama Malaysia di persada dunia. Negara kita sendiri telah berjaya menganjurkan beberapa kejohanan sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998, Grand Prix Formula One, Le Tour de Langkawi, Monsoon Cup dan sebagainya. Kejayaan penganjuran kejohanan-kejohanan tersebut telah memberikan imej yang positif kepada negara kita pada peringkat antarabangsa. Hal ini telah membuktikan bahawa Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain. Kejayaan ini telah mendatangkan kesan positif terhadap Malaysia daripada pelbagai aspek.

       Kesan positif yang paling ketara dapat kita lihat ialah kedatangan pelancong asing semakin meningkat ke negara kita. Melalui penganjuran sukan bertaraf dunia, industri pelancongan sukan di negara kita akan mengalami kemajuan. Hal ini sekali gus mampu menjana ekonomi negara dari segi tukaran mata wang asing. Sebagai contohnya, penganjuran kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan secara tahunan di Malaysia seperti Grand Prix Formula One dan Le Tour de Langkawi telah berjaya menarik banyak pelancong asing, bak kata pepatah, “Di mana ada gula, di situ ada semut”. Para pelancong berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk menonton pertandingan sukan ini secara langsung. Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dapat mempromosikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. Hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mapan. Oleh itu, penganjuran sukan antarabangsa perlu diteruskan kerana banyak memberikan manfaat kepada ekonomi negara kita.

       Kejohanan sukan yang berprestij pastinya akan mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia. Bagi mereka yang tidak dapat menyaksikan kejohanan sukan yang dipertandingkan secara langsung, mereka boleh menyaksikannya melalui media massa seperti televisyen dan radio. Banyak siaran langsung dibuat oleh negara-negara yang mengambil bahagian untuk melaporkan perkembangan kejohanan itu kepada penduduk di negara masing-masing. Oleh itu, masyarakat dari seluruh dunia dapat menyaksikan kejohanan sukan yang diadakan di negara kita. Secara tidak langsung, orang yang tidak tahu akan kewujudan Malaysia akan mengenalinya melalui liputan-liputan yang disampaikan. Perkara ini akan meningkatkan imej Malaysia ke seluruh dunia.

       Selain itu, melalui penganjuran sukan antarabangsa, negara kita dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin pula akan bertambah erat dengan adanya penglibatan dalam bidang sukan. Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah negara di Asia dan Eropah bagi memajukan sukan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara perasmian dan penutupan sesuatu kejohanan. Dengan cara itu, sudah pasti para pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara yang terlibat, tentunya negara kita akan mendapat kelebihan daripada pelbagai aspek.

       Di samping itu, kita sentiasa mendengar bahawa sukan merupakan wadah untuk perpaduan. Melalui penganjuran sukan antarabangsa, kita dapat mengeratkan perpaduan sejagat antara masyarakat dari seluruh dunia. Sebarang pertelingkahan, pergaduhan dan permusuhan dapat dilupakan dan mereka dapat menerima kekalahan dengan semangat kesukanan. Sebagai contohnya, semasa Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia iaitu ketika Dato’ Lee Chong Wei menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia pada peringkat akhir, mereka masih boleh bergurau antara satu sama lain dan berpelukan sebagai tanda persahabatan. Hal ini menunjukkan bahawa perpaduan melalui penganjuran sukan juga boleh diwujudkan kerana sukan dilihat mampu memecahkan tembok perbezaan kaum. Oleh itu, nama Malaysia akan dijulang sebagai juara perpaduan kerana sikap kerjasama dan toleransi bagai aur dengan tebing.

       Selain agen perpaduan, penganjuran sukan peringkat antarabangsa ini juga akan meningkatkan mutu sukan negara kita. Hal ini demikian kerana, ahli sukan di negara kita dapat menyaksikan kehebatan ahli sukan dari seluruh dunia bertanding di negara kita. Bagi ahli sukan negara sendiri yang bertanding dalam sesuatu acara itu, sudah pasti mreka akan mendapat suntikan semangat yang lebih daripada penyokong-penyokong tempatan. Hal ini akan menyebabkan mereka lebih bersemangat untuk bertanding. Selain itu, mereka akan membuat persediaan yang lebih rapi dan membiasakan diri dengan gelanggang perlawanan sebenar untuk membuktikan bahawa kejayaan akan menjadi milik negara kita sendiri di samping slogan Malaysia Boleh.

       Konklusinya, penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai kesan positif terhadap perkembangan Malaysia. Di samping itu, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi mengangkat martabat Malaysia di pentas antarabangsa. Pihak kerajaan terutamanya haruslah sentiasa membida hak untuk menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dengan lebih kerap agar negara Malaysia akan lebih dikenali. Selain itu, penganjuran sukan juga mampu menjana ekonomi negara yang agak lembap sejak akhir-akhir ini. Hal ini boleh diibaratkan seperti “serampang dua mata”. Oleh itu, kita berharap agar matlamat negara untuk terus menjadi penganjur kejohanan-kejohanan sukan antarabangsa akan menjadi kenyataan.


ESEI BAHASA MELAYU TINGKATAN 6 PENGGAL 1

ESEI BAHASA MELAYU TINGKATAN 6


Punca-Punca Pemanasan Global

            Kita sering melihat kesan pencemaran alam yang banyak berlaku pada masa ini. Keadaan ini sudah berubah jika dibandingkan dengan suatu masa dahulu iaitu udaranya lebih nyaman serta keadaan cuaca yang tidak terlalu panas. Perkara ini membolehkan manusia menjalani kehidupan dengan selesa. Walau bagaimanapun, keadaan bumi pada masa kini yang terlalu panas telah memberikan kesan negatif kepada kehidupan manusia dan juga alam sekitar. Hal ini diibaratkan seperti manusia hidup di dalam balang kaca yang panas. Oleh hal yang demikian, masyarakat seharusnya tahu punca-punca yang menyebabkan pemanasan global ini berlaku agar dapat mencari ikhtiar untuk menaganinya.

             Terdapat banyak punca yang menyebabkan pemanasan global, antaranya perkara itu disebabkan oleh aktiviti manusia yang tidak terkawal di dunia ini. Hal ini demikian kerana, perkara yang sering kita lihat yang melibatkan aktiviti manusia seperti penerokaan hutan dan pertanian pindah. Mereka membakar kawasan yang telah dijadikan kawasan pertanian untuk dijadikan sebagai baja organik dan mereka membuka pula pertanian baharu di kawasan lain untuk mendapatkan hasil pertanian yang lebih banyak. Namun begitu, secara tidak langsung pembakaran tersebut telah menyebabkan haba terperangkap di udara dan akhirnya menyebabkan suhu semakin panas.

               Selain itu, faktor lain yang menyebabkan berlakunya pemanasan global ialah pembebasan gas-gas yang berbahaya secara tidak terkawal. Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, Amerika Syarikat telah disenaraikan sebagai pengeluar gas karbon dioksida terbesar dunia dengan jumlah 60005 tan. Peningkatan gas karbon dioksida di atmosfera merupakan penyebab utama pemanasan global yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil, penggunaan minyak petrol dan pembakaran arang batu. Oleh hal yang demikian, pihak yang terlibat secara langsung dalam kes tersebut wajar melakukan anjakan paradigma dan menyembuhkan luka yang dialami oleh bumi ini. Masyarakat juga harus mengatasi masalah ini sebelum ‘nasi menjadi bubur’.

            Di samping itu, kegiatan perindustrian turut menjadi faktor pemanasan global berlaku. Hal ini demikian kerana, kegiatan perindustrian yang pesat membangun akan menghasilkan gas-gas berbahaya seperti karbon monoksida. Para saintis di Amerika Syarikat telah membuat ramalan bahawa peningkatan suhu bumi akan berlaku sebanyak 45 darjah celcius menjelang tahun 2030. Oleh itu, masyarakat janganlah mengamalkan peribahasa “Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Oleh hal yang demikian, mereka seharusnya mencegah perkara-perkara negatif sebelum berlaku selaras dengan pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

              Pembakaran terbuka juga menjadi punca berlakunya pemanasan global di muka bumi kita ini. Banyak pembakaran terbuka yang telah dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Kesan daripada kegiatan tersebut menyebabkan gas karbon dioksida terhasil serta terbebas di udara dan seterusnya memerangkap haba. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan seharusnya memperketat undang-undang agar mereka tidak berani membuat sebarang kesalahan di muka bumi ini. Rentetan daripada perkara itu, masalah jerebu yang sering melanda dunia juga akan berkurangan. Kita seharusnya sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, iaitu sebelum keadaan bumi kita ini menjadi lebih melarat lagi.

            Namun begitu, masih terdapat faktor lain yang menjadi penyebab kepada pemanasan global seperti pembinaan bangunan pencakar langit. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, bangunan-bangunan tinggi yang tersergam indah itu juga sebenarnya memberikan impak negatif kepada muka bumi kita ini. Hal ini demikian kerana, pantulan daripada matahari yang menembusi cermin bangunan boleh menyebabkan haba terperap di kawasan atmosfera. Dengan cara ini, masyarakat seharusnya janganlah mengambil mudah seperti melepaskan batuk di tangga, dengan mengejar segala arus pembangunan tetapi menyebabkan kesan negatif kepada hidupan lain. Maka, jelaslah bahawa ketidakseimbangan manusia mengeksploitasi khazanah bumi merupakan faktor berlakunya pemanasan global.


             Kesimpulannya, kemanusiaan yang semakin menipis, iaitu senipis kulit bawang ini merupakan faktor tercetusnya pemanasan global di muka bumi ini. Sehubungan dengan itu, setiap individu dan insan di dunia ini perlu memupuk semangat cinta akan alam sekitar agar bumi yang sedang sakit ini dapat dipulihkan semula. Diharapkan agar fenomena pemanasan global yang sedang melanda dunia sekarang ini akan berakhir dengan segera agar keselamatan dan kesejahteraan hidup makhluk di dunia ini akan berkekalan. Pihak kerajaan pula perlulah lebih peka terhadap masalah global yang semakin bernanah ini malah perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas agar masyarakat lebih prihatin dengan nasib bumi ini. Oleh itu, Mahatma Gandhi pernah berkata, “kita tidak mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita, tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita”.