Sarawak memang cukup dikenali sebagai negeri yang mempunyai
pelbagai kaum yang unik dan sukar untuk di dapati di tempat-tempat lain.
Untuk mengetahui latar belakang serta kepelbagaian etnik
yang terdapat di Sarawak, rasanya tidak cukup jika sekadar dengan membaca buku
tanpa melihat sendiri gaya hidup serta suasana penempatan kaum-kaum tersebut.
Oleh sebab itu, Kampung Budaya Sarawak yang dibuka secara
rasmi pada tahun 1990 dan dibangunkan di atas tanah seluas 14 ekar diharap
mampu memberikan pengalaman terindah kepada pengunjung yang mahu merasai
sendiri gaya hidup serta kediaman sebenar masyarakat unik tersebut.
Hanya 35 kilometer dari Bandaraya Kuching dan mengambil masa
lebih kurang 35 minit perjalanan menggunakan kereta, Kampung Budaya Sarawak
merupakan lokasi percutian terbaik untuk seisi keluarga.
"Walaupun dikenakan bayaran sebanyak RM60 untuk
golongan dewasa dan RM30 untuk kanak- kanak, namun saya rasa ianya cukup
berbaloi kerana pengalaman sebegini sukar untuk didapati di tempat lain.
"Apatah lagi saya diberitahu kebanyakan kaum-kaum
minoriti di Sarawak seperti kaum Bidayuh, Iban, Penan, Orang Ulu dan Melanau
juga kini sedang dilanda era kemodenan. Jadi mereka sudah tidak tinggal di
dalam rumah yang bercirikan tradisional seperti ini.
"Di Kampung Budaya Sarawak ini, kami dipaparkan dengan
gaya hidup sebenar masyarakat tersebut termasuklah kuih muih, pakaian
tradisional serta tarian yang dipersembahkan di dalam persembahan kebudayaan
selama 45 minit yang diadakan khusus untuk pengunjung.
"Pendek kata Kampung Budaya Sarawak ibarat sebuah
'muzium hidup' yang penuh warna warni kehidupan masyarakat desa," ujar
salah seorang pelancong tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal.
Beliau yang berasal dari Kuala Lumpur memberitahu,
anak-anaknya cukup teruja kerana berpeluang memasuki rumah kaum Melanau yang
sangat tinggi serta kaum Bidayuh yang berbentuk bulat.
Tambah manis apabila para pekerja di Kampung Budaya Sarawak
memberikan layanan yang baik dan mesra kepada para pelancong.
"Berlatar belakangkan hutan hujan tropika yang masih
elok terpelihara serta Gunung Santubong yang tinggi melangit, saya yakin
Kampung Budaya Sarawak akan terus dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa,"
tambahnya.
Dibuka setiap hari bermula jam 9.00 pagi hingga 5.15 petang,
Kampung Budaya Sarawak yang telah menerima pelbagai anugerah dari dalam luar
negara itu diharapkan akan terus terpelihara serta menjadi daya tarikan utama
buat para pelancong yang mahu berkunjung ke Sarawak.
MAKLUMAT LANJUT
VIDEO PERSEMBAHAN DI KAMPUNG BUDAYA, SARAWAK
No comments:
Post a Comment