Muzium Sarawak (Bangunan Lama) didirikan dalam tahun 1891
dan diperbesarkan seperti bentuk yang sedia ada dalam tahun 1911. Pada asalnya
bangunan ini dibina untuk menyimpan dan mempamerkan seni kraftangan masyarakat
pribumi tempatan dan koleksi binatang tempatan seperti yang dicadangkan oleh
Pakar Alam Semulajadi, Alfred Wallace, yang menjalankan kerja-kerja mengumpul
spesimen-spesimen di Negeri Sarawak pada masa tersebut.
Sejak ianya dibina, bangunan ini telah beberapa kali
diubahsuai serta diperbaiki. Rekabentuknya yang membujur, 44' x 160', mempunyai
dinding dan tiang yang diperbuat daripada batu bata dan beratapkan belian dan
konkrit. Ianya dibina mengikut senibina Eropah dengan edifiknya mengikut stail
Ratu Anne (Zaman Victoria). Galeri-galeri yang terdapat didalamnya diterangi
melalui tingkap yang berbentuk kubah pada bumbung bangunan untuk memberi ruang
dinding yang luas.
Semasa Zaman pemerintahan Jepun, muzium ini telah diletak di
bawah jagaan seorang Pegawai Jepun yang simpati terhadap muzium ini. Disebabkan
itu, tidak banyak kerosakan atau kecurian berlaku. Pada masa ini, dengan
perancangan yang teliti dan penjagaan yang rapi, bangunan ini telah dijadikan
pusat pameran koleksi sejarah alam semulajadi di Sarawak.
Pada tingkat bawah muzium, tersimpan koleksi alam semulajadi
dan spesimen fauna Sarawak -seperti reptilia , mamalia, burung dan lain-lain
dipamerkan. Pada bahagian barat bangunan muzium ini terdapat pameran Shell -
industri petroleum di Sarawak.
Tingkat atas bangunan ini mempamerkan bahan-bahan etnografik
seperti model rumah-rumah panjang pelbagai kaum etnik di Sarawak, alat-alat
muzik, pelbagai jenis perangkap ikan dan haiwan, kraftangan, model perahu dan
lain-lain.
Masa Lawatan : Isnin hingga Ahad
9.00 a.m. hingga 4.30 p.m
Masuk adalah Percuma
MAKLUMAT LANJUT
No comments:
Post a Comment