ISU-ISU TERKINI

JANA PENDAPATAN

Monday, June 27, 2016

KETEGANGAN DAN LANGKAH MENGATASI HUBUNGAN MAJIKAN DENGAN PEKERJA (ESEI TINGKATAN 6)

            Majikan dan pekerja merupakan dua pihak yang membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara. Pekerja merupakan penyumbang tenaga untuk mendorong majikan mencapai objektif yang ditentukan manakala majikan pula lebih terarah kepada penentuan dasar dan pengurusan luaran. Oleh sebab terlalu tertumpu terhadap soal hasil dan upah, majikan dan pekerja terlupa akan hak mereka dalam bentuk lain. Di Barat, berita mogok lantaran ketidakpuasan pekerja terhadap majikan sering berlaku tetapi di Malaysia keadaan tegang seperti ini kian luntur. Hubungan tegang dan bermusuhan ini timbul akibat kelemahan kedua-dua belah pihak.
           
            Antara punca berlakunya pertentangan ialah sikap mementingkan diri dalam kalangan pekerja dan majikan. Hal ini berlaku kerana para pekerja menganggap sumbangan tenaga mereka mestilah diberi ganjaran sebaik mungkin. Terdapat pekerja menunaikan tanggungjawab mereka kepada majikan dengan tuntutan ganjaran dalam bentuk upah yang tinggi untuk kerja yang tidak seberapa. Malah ada majikan yang membuat bayaran gaji berdasarkan hasil yang dapat diperoleh daripada pekerja. Sumbangan oleh pekerja sebolehnya dibayar semurah mungkin yang tidak berbaloi dengan kerja yang dilakukan. Perkara inilah yang selalu mencetuskan permusuhan antara kedua-dua belah pihak.

            Tuntutan keterlaluan oleh pihak kesatuan juga merupakan salah satu punca pertentangan berlaku. Kesatuan sekerja bertujuan untuk menjaga hak-hak pekerja tetapi terdapat sesetengah pemimpin persatuan yang kurang bertanggungjawab. Mereka tidak mementingkan hak-hak pekerja malah mereka berfikir untuk menjadi kaya dengan mengambil kesempatan menganiya pekerja. Hal ini akan menyebabkan perjuangan hak pekerja akan lebih menjurus kepada wang sahaja. Pemimpin kesatuan yang sedemikian akan bersikap antimajikan dan antikerajaan.

            Punca seterusnya ialah perasaan negatif pekerja dan majikan. Perasaan iri hati, dengki, sabotaj, kekecewaan serta lemah semangat untuk bekerja merupakan sifat umum manusia yang tidak dapat diabaikan. Pengurus atau pengarah suka mempamerkan kuasa mereka kerana menganggap jawatan mereka lebih tinggi daripada pekerja biasa. Pengurusan secara diktator membawa kesan negatif yang akan menyebabkan para pekerja hilang rasa minat untuk bekerja dengan majikan mereka. Majikan yang terlalu menekan pekerja akan membuatkan pekerja berasa bosan, dendam dan marah. Oleh itu, hubungan yang hambar antara pekerja dan majikan mula timbul.

            Terdapat beberapa cara untuk mewujudkan kemesraan iaitu dengan rasa sayang dan mesra penting dalam mengeratkan silaturahim antara pekerja dan majikan. Kempen penerapan nilai-nilai murni teras hubungan mesra perlu dijalankan oleh pihak kerajaan mahupun swasta untuk melahirkan golongan pekerja dan majikan yang baik. Dengan mengadakan kempen seperti ini, pekerja akan merasakan diri mereka diperlukan. Selain itu tanggungjawab majikan tidak seharusnya tertumpu kepada membayar gaji sahaja, majikan harus mempunyai rasa sayang serta prihatin kepada pekerja. Majikan tidak sepatutnya suka melihat pekerja dilanda masalah, majikan seharusnya lebih prihatin dan mengutamakan pekerjanya dengan mendengar masalah yang dihadapi oleh pekerjanya. Selepas mendengar masalah pekerja, majikan perlulah secara sukarela mengatasi masalah pekerja sama ada dengan memberi sokongan moral atau menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh pekerja.
           
           
           
            Semangat kekitaan dan kekeluargaan juga merupakan salah satu cara untuk mewujudkan kemesraan antara majikan dan pekerja. Dengan adanya semangat ini, majikan dan pekerja dapat mengeratkan silaturahim serta dapat bekerjasama dan bertolak ansur ketika bekerja. Semangat ini dapat menimbulkan rasa selamat dan sayang yang penting untuk mencetuskan kesanggupan berkorban dalam kalangan pekerja. Contohnya, sanggup berkerja lebih masa demi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pekerja yang berwibawa. Hal ini bukan sahaja dapat menjadikan seorang pekerja lebih bertanggungjawab, malah majikan akan berasa senang hati mendapat pekerja yang baik. Namun, hal ini tidak tertumpu kepada pekerja sahaja sebaliknya kedua-dua belah pihak haruslah bersatu hati iaitu bekerja dengan lebih bersemangat. Keadaan ini juga dapat membantu kejayaan sesebuah organisasi.

            Kesimpulannya, masalah ketegangan antara majikan dengan pekerja di Malaysia tidaklah seburuk di Barat. Masalah ketegangan yang wujud sebenarnya dapat diselesaikan dengan cara yang baik mengikut kematangan dan kebijaksanaan kedua-dua belah pihak. Di Malaysia, kerajaan dituntut untuk mewujudkan hubungan mesra antara pihak majikan dengan pekerja supaya suasana bekerja lebih aman dan harmoni. Semoga hubungan sedemikian akan berkekalan sampai bila-bila.
(610 patah perkataan)
































No comments:

Post a Comment