ISU-ISU TERKINI

JANA PENDAPATAN

Monday, September 5, 2016

KEPENTINGAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT (ESEI STPM BAHASA MELAYU)

Pembelajaran Sepanjang Hayat ialah konsep pendidikan yang amat penting dalam pembangunan diri manusia. Apakah yang anda fahami dengan konsep ini dan huraikan kepentingan Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam membina masyarakat dan negara bertamadun tinggi dan maju.


Pembelajaran sepanjang hayat atau lifelong learning ialah konsep yang telah lama wujud dalam sistem pendidikan negara. Pembelajaran sepanjang hayat membawa pengertian belajar sepanjang hidup kita dan yang paling penting. Pembelajaran sepanjang hayat ialah pembangunan potensi manusia melalui proses pembelajaran berterusan yang memotivasikan dan mengupayakan individu menguasai ilmu, menghayati nilai murni yang diperlukan sepanjang hayat untuk meluaskan pengalaman hidup. Bagi Malaysia, Pembelajaran sepanjang hayat terangkum dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Wawasan 2020. Pembelajaran sepanjang hayat  ialah asas penting dalam membina masyarakat dan negara yang bertamadun tinggi dan maju.
Pendidikan sepanjang hayat itu ialah proses seluas hidup, merentasi kehidupan dan merangkumi konteks pendidikan formal, dan tak formal. Pendidikan berterusan sebagai sebahagian sentuhan konsep pendidikan sepanjang hayat bermaksud peluang untuk mendapat dan meneruskan pendidikan bagi setiap penduduk tanpa mengira tahap umur. Setiap individu tanpa mengira batas usia disediakan peluang yang sewajarnya untuk menyambung pendidikan khususnya selepas tamat mengikuti pendidikan wajib selama sembilan atau 11 tahun seperti apa yang terkandung dalam sistem pendidikan sekarang. Proses pembelajaran seseorang secara berterusan sama ada bagi tujuan meningkatkan kemahiran atau membangunkan kerjaya dalam sesuatu bidang pekerjaan pada masa sekarang, mahupun pada masa akan datang dan proses pembelajaran seseorang bagi meningkatkan ilmu pengetahuan tidak akan berakhir apabila seseorang itu meninggalkan alam persekolahan. Seseorang berpeluang meneruskan pelajaran ke peringkat seterusnya tanpa sekatan. Hal demikian membolehkan seseorang mengembangkan potensinya dan seterusnya menyumbang untuk negaranya.
Rakyat Malaysia sepatutnya sentiasa memberikan keutamaan kepada peningkatan ilmu pengetahuan dalam diri masing-masing. Apabila setiap individu mengekalkan amalan meneroka ilmu pengetahuan secara berterusan tanpa mengira masa, tempat dan keadaan maka proses pembelajaran sepanjang hayat telah berlaku. Pendidikan seumur hidup akan berlaku secara berterusan dalam diri individu yang mengamalkan sikap positif terhadap ilmu pengetahuan dan kemahiran yang baharu. Sekiranya setiap individu mempunyai satu tekad untuk meletakkan pendidikan sebagai agenda utama dalam hidupnya maka proses pembelajaran tidak akan berhenti begitu sahaja sebaliknya berlaku dengan pesat dan konsisten dalam diri individu tersebut. Pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program meningkat pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal di sekolah, pusat latihan vokasional, atau secara tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja ialah contoh PSH. Di sesebuah organisasi, pendidikan merujuk proses pekerja mendapatkan pengetahuan melalui pengalaman bagi meningkatkan kemahiran. Pekerja diharapkan memperoleh kemahiran baharu, menggunakannya semasa bekerja dan berkongsi maklumat dengan pekerja lain. Pengetahuan atau ilmu semasa seseorang itu bekerja sebenarnya lebih bermanfaat kerana seseorang itu belajar secara tidak langsung.
Selain itu, proses pembelajaran secara berterusan sama ada bagi tujuan meningkatkan kemahiran atau membangunkan kerjaya dalam sesuatu bidang pekerjaan pada masa sekarang atau pada masa hadapan, penting dalam membangunkan potensi diri. Proses pembelajaran bagi meningkatkan ilmu pengetahuan tidak akan berakhir apabila seorang itu meninggalkan alam persekolahan. Proses pembelajaran adalah sepanjang hayat. Konsep PSH dalam Rancangan Pembangunan Negara Menjelang Abad Ke-21 adalah jelas. Mengikut kajian UNESCO, kemajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh negara-negara membangun (Amerika Utara, Eropah dan Jepun) ialah hasil perancangan strategik pembangunan sumber manusia, iaitu seluruh anggota masyarakatnya mendapatkan peluang pendidikan terbuka dan pembelajaran sepanjang hayat. Tuntasnya, tamadun tinggi dan kemajuan negara dicapai atas asas pendidikan yang dimiliki oleh rakyat sesebuah negara.
Seterusnya, semua orang terutama mereka yang bekerja perlu mengaplikasikan PSH dalam meningkatkan profesionalismenya supaya seiring dengan perkembangan dalam negara dan antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui UNESCO mulai pertengahan tahun 1990-an telah melancarkan program bagi meningkatkan kesedaran pentingnya PSH dalam kalangan negara yang sedang membangun. Pendidikan di Malaysia melalui Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang diumumkan pada tahun 1988 ialah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Oleh itu, peranan pekerja contohnya guru sebagai pelaksana dasar kerajaan di peringkat akar umbi sangat diperlukan dalam membina tamadun tinggi dan kemajuan masyarakat dan negara.
Di samping itu, pembelajaran sepanjang hayat yang disarankan oleh kerajaan sebenarnya merupakan inti kepada pembangunan diri setiap individu di Malaysia terutamanya dalam mencapai Wawasan 2020 yang mengandungi 9 cabaran. Tiga daripada cabaran itu, iaitu Cabaran Kedua, Cabaran Keempat dan Cabaran Keenam ialah cabaran yang menyangkut konsep asas PSH yang ingin melahirkan masyarakat dan negara yang bertamadun tinggi dan maju. Cabaran Kedua contohnya ialah cabaran untuk membina masyarakat merdeka dari segi psikologi yang mempunyai keyakinan teguh serta kuat untuk menghadapi sebarang cabaran dan rintangan. Cabaran keempat ialah cabaran untuk menjadikan masyarakat bermoral dan beretika dan Cabaran Keenam pula ialah cabaran dalam membina masyarakat saintifik dan progresif dan masyarakat yang inovatif dan memandang ke hadapan, sebuah masyarakat yang bukan sahaja sebagai pengguna teknologi tetapi penyumbang kepada peradaban saintifik dan teknologi masa hadapan. Dengan PSH, ketiga-tiga cabaran di atas mampu dicapai.
Akhirnya, Malaysia mempunyai banyak prasarana dan dasar yang memungkinkan rakyat memperoleh PSH. Banyak institusi pendidikan menawarkan peluang pekerjaan. Institusi awam dan swasta yang tumbuh bagai cendawan, membolehkan masyarakat berpeluang meneruskan pembelajaran formal setelah tamat SPM atau STPM. Banyak IPTA dan IPTS menawarkan pelbagai kursus jangka pendek dan jangka panjang malah pembelajaran secara jarak jauh (PJJ). PJJ membolehkan mereka yang telah bekerja, menyambung pelajaran sambil belajar separuh masa atau sepenuh masa. Pembelajaran secara elektronik dan secara maya serta pendidikan dengan universiti kembar di luar negara adalah antara contoh PBH dapat diakses oleh setiap individu yang ingin belajar. Prasarana lain seperti kewujudan banyak IPTA dan IPTS, penubuhan taman-taman teknologi, kewujudan Lembah Bioteknologi dan Lebuh Raya Maklumat dan Komunikasi, membolehkan PSH berlaku. PSH juga boleh berlaku di rumah atau di mana-mana sahaja dan tanpa batas dan ruang masa. Pembelajaran secara maya ialah pembelajaran tanpa jurang masa dan jarak yang menjadi halangan untuk belajar. Sesiapa juga boleh belajar sama ada di sekolah pondok, masjid, sudut belajar, perpustakaan, Internet atau melalui e-mel.
Kesimpulannya, pada alaf baharu, pendidikan sudah semacam satu keperluan dan tidak terelakkan kepada setiap individu tanpa mengira kaum, stratifikasi sosial, demografi dan sebagainya. Pendidikan dengan pelbagai sistem, bentuk, corak, dasar, falsafah dan amalan telah membawa paradigma yang tidak terbatas kepada ruang, masa dan tempat dan sesuai dengan sifat pendidikan itu yang bersifat telus dan dinamik. Malah sejak kebelakangan ini pendidikan sudah melepasi garis sempadan dan wilayah. Paradigma baharu pendidikan yang lebih bercorak massa, komersial, global dan berpanjangan sifatnya sesuai dengan istilah 'pendidikan sepanjang hayat' menyebabkan peluang dan ruang luas kepada setiap ahli masyarakat. Pendidikan sedemikianlah yang menjadikan masyarakat dan negara bertamadun tinggi dan maju.







No comments:

Post a Comment