Remaja,
Ingatlah masa depanmu,
Kenanglah,
Jasa ibu dan ayahmu,
Susah payah mereka membesarkan kita.
Lirik lagu di atas cukup jelas
memanifestasikan satu mesej kepada para remaja supaya sentiasa menghargai ibu
dan bapa mereka. Umum mengetahui, para remaja marcapada ini terlalu lalai dan
leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka dalam delinkuen social sudah
menjadi buah mulut dan mauduk utama perbualan orang mutakhir ini. Jadi, ibu
bapa dilihat sebagai satu komponen paling utama malah turut dianggap formula
yang cukup mujarab bagi mengatasi masalah dalam kalangan remaja.
Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan
kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. Hal ini dikatakan
demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat menginginkan perhatian.
Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti dapat ditenangkan menerusi
perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Api kemarahan dan benteng keegoan
yang menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat
menatang minyak yang penuh kepada anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih
sayang, sudah pasti mereka akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari
kepompong ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan
najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadar
remaja lari dari rumah kian meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke
2008. Jadi, sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan
anak-anak mereka berbanding hal-hal lain.
Selain itu, ibu bapa juga perlu
meluangkan masa bersama anak-anak. Hal ini cukup bertepatan dengan langkah
Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat yang telah
mengisytiharkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad kepada semua pegawai kerajaan.
Perkara ini cukup membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia dalam menyediakan
ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk bersama anak-anak. Percayalah,
anak-anak akan berasa lebih dihargai apabila ibu bapa menghabiskan masa
berkualiti bersama mereka. Tamsilannya, ibu bapa boleh membawa anak-anak
melancong, beriadah bersama-sama malahan menjalankan aktiviti kerohanian secara
berjemaah. Melihat kepada senario masyarakat kontemporari, ibu bapa lebih
cenderung untuk mengejar materialistik dan menjadikan pejabat sebagai rumah
kedua mereka. Sikap ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
ini perlu dikikis segera bagi memastikan para remaja tidak terlibat dalam
gejala sosial. Maka, jelaslah anak-anak remaja perlu dijadikan prioriti utama
dalam usaha membendung kemelut ini.
Di samping itu, ibu bapa perlu
menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak. Pendidikan ini
merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal. Tindakan kerajaan
Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan
di sekolah amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa
perlulah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari
dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu
menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal kepada anak-anak. Pengajaran
ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari
ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak.
Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”. Begitulah ungkapan kalimah tokoh
filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak
sebagai agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan
cangkaliwang pada hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti
dapat menangani masalah ini.
Seterusnya,
ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada menyebut,”
kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang”. Setiap perbuatan yang
dilakukan oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah
menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri
anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas anatara lelaki dan perempuan sudah
sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat
ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu
meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis di kota
metropolitan Kuala Lumpur iaitu di kelab-kelab malam di sana mendapati hampir
15 peratus anak-anak remaja di bawah umur ditahan positif dadah. Perkara ini
jelas menunjukkan andai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka tanpa tempat
bergantung, mereka akan mudah terlibat dalam kebejatan sosial pada masa ini.
Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatik dalam usaha membasmi
gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja.
Akhir sekali, ibu bapa perlu
melengkapkan keperluan asas anak-anak. Sekali air bah, sekali pantai berubah.
Begitu juga dengan perkembangan dunia yang kian ekstrem menjengah kita. Oleh
itu, dalam kita mengharung arus modenisasi, sudah tentu anak remaja tidak mahu
dihimpit dengan ketidakselesaan dan pemikiran yang jumud. Maka, sebagai ibu
bapa, mereka perlu menyediakan keperluan asas anak-anak bagi menjamin
keselesaan. Tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta
makanan dan minuman yang berkhasiat perlu disediakan. Hal ini amat penting bagi
memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah lantas tidak terlibat dalam
gejala sosial. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa
Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Malaya, anak-anak remaja daripada
golongan miskin lebih cenderung untuk terlibat dalam penagihan najis dadah. Hal
ini pastinya akan dapat dibendung andai segala keperluan asas remaja
dilengkapkan walaupun ibu bapa tidak melambakkan kemewahan kepada mereka.
Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan
kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah
ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan
Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya
dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang
berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka.
Marilah kita berubah, “sebelum padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam
ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan
anak-anak tercinta.
Berkorban apa sahaja,
Harta ataupun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia.
Ingatlah, ibu bapa cemerlang, anak-anak gemilang!