ISU-ISU TERKINI

Thursday, October 13, 2016

PERANAN ANAK-ANAK MERINGANKAN BEBAN KEWANGAN IBU BAPA (KARANGAN SPM)








Pelbagai masalah mula menekan keluarga  seperti peningkatan kos hidup dan masalah kewangan. Sehubungan dengan itu, anak-anak boleh membantu ibu bapa untuk mengurangkan bebanan kewangan yang semakin meruncing.

Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh anak-anak membantu meringankan beban kewangan keluarga

            Pakar-pakar dalam bidang sosioekonomi sering menyatakan bahawa kemajuan ialah ‘kos’. Kos yang dimaksudkan ialah peningkatan dalam nilai berbayar terhadap semua keperluan asas. Hal tersebut amatlah nyata kerana dalam tempoh satu dekad belakangan masyarakat terpaksa berhadapan dengan peningkatan mendadak harga barangan keperluan sehingga mencecah 40 peratus. Kenaikan harga barangan pengguna terutama petroleum, gula dan gandum mengikibatkan semua barangan keperluan yang lain turut meningkat. Fenomena tesebut tidak dapat dielakkan kerana minyak menjadi nadi kehidupan dan berupaya mengubah struktur pasaran semasa. Apabila berlaku perubahan dalam kos hidup, justeru terjadilah sekelompok masyarakat yang terkena bahangnya dan mula merasakan beban kewangan. Golongan yang paling terkesan ialah keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Ketika berada dalam situasi tertekan seperti sekarang, anak-anak diharap dapat memahami situasi yang dihadapi oleh ibu bapa. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa.

Jikalau pendahuluan di atas terlalu panjang dan gagal untuk anda kuasai ambil pendahuluan alternatif di bawah ini.

Semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.

                Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam situasi begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM20 justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama. Inilah sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

                Anak-anak yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya ibu bapa seperti inginkan pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan ditempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sesama enggang masakan dapat terbang bersama.

                Walaupun bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya telah banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.

                Bak kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah peribahasa yang menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada induknya. Hal demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak usia dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan sikap membalas budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.

                Kaya atau miskin, susah mahupun senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakara yang paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa. Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Allah sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah akan tetap bersama-sama kita.


                Kesimpulannya, ketika berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan, setiap keluarga tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.

No comments:

Post a Comment