SOALAN
KARANGAN UMUM (KERTAS 1 SPM)
Tulis sebuah karangan yang panjangnya
lebih kurang daripada 350 patah perkataan.
Keluarga
memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak. Oleh itu, pendidikan anak-anak sebenarnya
bermula dari rumah.
Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga
dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Contoh
Karangan :-
Profesor Di raja Ungku Aziz pernah
mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu
bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas
menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang
sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan
anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk
mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa
bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri
anak-anak mereka. Anak-anak ibarat
sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain
tersebut. Persoalannya , apakah peranan
keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ? Pada pendapat
saya,jawapannya sudah pasti tugas dan
peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga terutama seorang insan yang bergelar
ketua keluarga amat penting dan pelbagai dalam melahirkan sahsiah terbilang
dalam kalangan anak-anak mereka.
Ibu bapa memainkan peranan penting
bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan agama
yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa melentur
buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa
pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar
anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam
perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk
membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu ,
anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan ajaran agama . Didikan agama
yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak
dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang
mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya .
Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat,
anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong
dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang secukupnya
sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.
Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu
bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak
mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-anak yang berusia
setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang
lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang
lebih tua memiliki sahsiah yang baik,
sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah
Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi .
Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah
pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan
ahli keluarga yang gemar membaca.
Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik
jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke
bumi menjadi penawar. Pernyataan
di atas jelas menunjukkan betapa
besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan
sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi
anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat
awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan
eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak –anak yang sering mencontohi
perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang
boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa
memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Di samping itu, ibu bapa juga
perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih sayang bagi
melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa perlulah
memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak
yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang .
Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak
Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak
kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput. Budaya terima kasih juga perlu diajarkan
kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima
bantuan. Ibu bapa juga hendaklah melatih
anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar
anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan seperti
ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga
sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan
kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang
bersatu-padu dan saling menghormati.
Seterusnya, ibu bapa perlulah
mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab . Ibu bapa harus
menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab.
Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju, menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam
almari . Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur
dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting untuk
melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu
bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar
anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros
dalam berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana
akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak
berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh
keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan
generasi masa depan yang berpandangan jauh.
Tegasnya , pembentukan sahsiah
anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak
tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab .
Akhir sekali, ibu bapa perlulah
memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang sudah
meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang
dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya
anak-anak. Pergaulan anak-anak dengan
rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak
kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala
tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti
yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada
anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh
ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh
menconteng arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti
perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh
bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat
sebelum habis. Ibu bapa perlulah
mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan
mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu
bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan.
Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar
dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapatlah saya simpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik
, ibu bapa perlulah menyedari akan
tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia .
Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan
ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus
bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri mereka
terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan
keperibadian mereka kerana mereka merupakan “role model” bagi anak-anak.
Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang
berjiwa luhur dan bersahsiah mulia. “Rumahku, Syurgaku”
No comments:
Post a Comment