ISU-ISU TERKINI

JANA PENDAPATAN

Tuesday, April 15, 2014

PIDATO : BAHASA PERKASA MINDA



                       Pucuk manis permatang budi,
                             pucuk purut digetus rusa;
                       Yang manis bernama budi,
                             Yang indah bernama bahasa.

Terima kasih saudara pengerusi majlis. Yang berbahagia Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdullah, pengarah Institut Humaniora Malaysia, kombinasi para juri yang arif lagi bijaksana sebagai penegak keadilan, penjaga masa yang budiman, para pensyarah, dan seterusnya hadirin-hadirat warga dewan yang saya kasihi sekalian. Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh dan salam sejahtera pembuka bicara.

Berdirinya saya di atas persada indah dalam Dewan Wawasan ini, tidak lain dan tidak bukan, kerana ingin menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk, "Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Bahasa Perpaduan, Bahasa Pengantar, Bahasa Ilmu dan Bahasa Komunikasi Rakyat Malaysia.” Sebagaimana bervisinya nama dewan yang mulia ini, demikian juga visi yang akan saya tunjuk kepada tuan-tuan betapa bahasa Melayu, sebagaimana bahasa-bahasa lain juga, mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kata membelah bicara, sebelum isi menyusur hujah, izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato agar hadirin terbuka minda, agar hakim tidak terpinga-pinga, dan saya petah berkata-kata, seperti kata orang dahulu kala;


                       Yang buta tidak teraba-raba,
                       Yang pekak tidak tertanya-tanya,
                       Yang kecil tidak terambin-ambin,
                       Yang pendek tidak tertinjau-tinjau.

Menurut Kamus Dewan (2006), istilah ‘fungsi’ bolehlah didefinisikan sebagai tugas atau peranan. Manakala maksud ‘bahasa’ pula ialah satu sistem lambang-lambang yang arbitrari, mempunyai makna dan difahami maknanya, dan digunakan oleh sekelompok masyarakat dalam komunikasi mereka. Daripada maksud tersebut dapat dirumuskan bahawa bahasa ialah alat komunikasi yang ada makna dan difahami oleh semua anggota dalam masyarakatnya. Merujuk negara Malaysia, penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang dapat difahami oleh setiap orang, dan lebih-lebih lagi, mereka yang berstatus warganegara Malaysia.

Di Malaysia, bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan dan sekali gus berfungsi sebagai bahasa rasmi negara. Bahasa Kebangsaan dapat ditakrifkan sebagai bahasa yang diterima dan digunakan oleh penduduk dalam sesebuah negara. Bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Pentakrifan bagi bahasa rasmi adalah bahasa yang digunakan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan. Selain dua fungsi bahasa tersebut, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi yang akan dijelaskan dalam hujah nanti. Persoalannya sekarang, bagaimanakah bahasa Melayu dapat berfungsi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi di Malaysia yang rakyatnya pelbagai kaum? Persoalan inilah akan saya jawab satu persatu dalam wacana, “Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Bahasa Perpaduan, Bahasa Pengantar, Bahasa Ilmu dan Bahasa Komunikasi Rakyat Malaysia.”

Tuan hakim yang bijaksana lagi arif.

Wacana saya yang pertama, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tuan-tuan dan Puan-puan, ingatlah, bahasa Melayu mesti perkasa dalam negara Malaysia untuk kepentingan kebangsaan. Semangat perjuangan menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu tercetus apabila jiwa rakyat telah timbul kesedaran untuk jadi bangsa berdaulat. Salah satu cara menjadi bangsa berdaulat ialah dengan memerintah sendiri negara tanpa dikuasai atau ditunjuki oleh penjajah. Setelah tercapainya kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Fungsi ini telah termaktub dalam Bahagian 12 Am dan Pelbagai 152 fasal (1) Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut bahawa, "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang oleh parlimen." Maka terbuktilah bahawa bahasa Melayu merupakan lambang kebebasan dan kedaulatan negara daripada belenggu penjajahan. Ditinjau dalam sejarah kerajaan-kerajaan Melayu terdahulu, bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca. Ia digunakan oleh semua kaum untuk semua urusan pentadbiran dan perdagangan.

Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, amat wajar sekali Malaysia mempunyai satu bahasa kebangsaan kerana bahasa kebangsaan memberi gambaran akan status sesuatu bangsa. Bangsa yang bermaruah mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, menggunakan bahasa sendiri dan bangsanya mempunyai identiti kebahasaan sendiri. Oleh itu, untuk memupuk sifat sayangkan bahasa kita, pelbagai kempen telah diadakan seperti "Cintai Bahasa Kita", "Bahasa Jiwa Bangsa" dan sebagainya. Rakyat dari pelbagai kaum akan dapat mengenali dan mendekatkan diri dengan bahasa kebangsaan. Justeru, bahasa Melayu dengan segala sifatnya dapat menjadi pembakar semangat kebangsaan di negara ini dan menjadi satu tunggak pembinaan negara merdeka serta identiti rakyat. Kita tidak mahu bahasa Melayu dipinggirkan sebagaimana tersirat dalam Akta Pelajaran 1996 dan seterusnya dinafikan fungsi sebagai bahasa ilmu Sains dan Matematik oleh Dr. Mahathir Mohamed.

Wacana saya yang kedua, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Selain dipilih sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa rasmi negara kita. Maksud bahasa rasmi ialah bahasa utama yang digunakan dalam segala urusan pentadbiran dan acara rasmi negara. Contohnya, bahasa Melayu digunakan dalam sistem pendidikan negara, urusan surat-menyurat, mesyuarat dan pentadbiran negara. Cuba kita renung, bukakan mata, celikkan minda, dalam mesyuarat-mesyuarat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, di persidangan­-persidangan, seminar-seminar, di parlimen, bahkan dalam perbicaraan di mahkamah, mesti diutamakan penggunaan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa selain bahasa Melayu adalah menyalahi Artikel 152 Perlembagaan Malaysia. Sesiapa yang membelakangkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi negara, termasuk pemimpin negara sekalipun, mereka adalah penjenayah negara yang mesti dihukum. Dengan hujah itu, terbukti lagi jelas dan nyata, betapa penting bahasa Melayu memainkan peranan dalam urusan pentadbiran negara.

Para hadirin yang dihormati sekalian.

Wacana saya yang ketiga, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Bahasa perpaduan bermaksud bahasa yang digunakan sebagai tali pengikat kemuafakatan antara anggota masyarakat, sama ada dalam kalangan satu etnik mahupun antara etnik. Hal ini kerana, masyarakat kita adalah masyarakat majmuk yang berbeza kepercayaan, amalan, budaya, agama dan bahasa. Bahasa Melayu dapat memainkan peranan sebagai penyatu kepelbagaian tersebut melalui penggunaan bersama, atau satu bahasa untuk satu negara. Kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan bahasa Melayu dalam semua komunikasi awam dan terbuka agar tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain. Apabila penggunaan bersama bahasa Melayu di tempat terbuka sudah menjadi amalan, maka akan wujud kemesraan, kepercayaan, hormat dan rasa selamat. Rasa kemesraan, rasa kepercayaan, rasa hormat dan rasa selamat merupakan antara faktor yang membina perpaduan antara kaum. Dengan itu, dapatlah kita melahirkan bangsa yang bersatu dan menganggap Malaysia sebagai negara milik bersama.

Pemilihan satu bahasa kebangsaan bertujuan mencari suatu lambang penyatuan atau perpaduan. Ia memainkan peranan mengurangkan jurang perkauman, mengeratkan hubungan setiap lapisan masyarakat dalam segala bidang, bukan hanya dari segi politik, agama, perindustrian, ekonomi, kesukanan, perubatan, pendidikan malahan juga dalam komunikasi awam. Tugas bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan akan dapat diperkasakan melalui perlembagaan negara, sistem pendidikan, dasar-dasar yang dilaksanakan dan pelbagai aktiviti kempen. Justeru, ayuh, mari kita terus perjuangan yang telah lama digerakkan oleh pemimpin terdahulu demi mengangkat darjat bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca, bahasa yang menyatupadukan rakyat peJbagai kaum dalam semua bidang, bak kata perpatah, “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,” atau “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.”

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian,

Wacana saya yang keempat, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Yang dimaksudkan sebagai bahasa pengantar pendidikan ialah bahasa yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab Malaysia mempunyai masyarakat berbilang bangsa, dasar pendidikan negara berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan, sama ada di sekolah mahupun pusat-pusat pengajian tinggi. Bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan membuktikan keupayaan bahasa Melayu sebagai alat menyampaikan pelbagai ilmu untuk digunakan bagi memajukan diri, masyarakat dan negara. Penggunaannya secara tidak langsung mencerminkan ciri-ciri bangsa Malaysia yang menolak perkauman atau ketidakadilan dalam sistem pendidikan. Hal ini adalah kerana masyarakat Melayu dan bukan Melayu yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu akan mendapat laba yang sama rata, di samping dapat menunjukkan ciri 'keMalaysiaan'. Sehingga kini rakyat Malaysia yang mendapat pendidikan rendah, menengah dan universiti dalam bahasa Melayu berjaya meraih anugerah hingga peringkat antarabangsa. Malah, ramai rakyat Malaysia yang bekerja dengan syarikat-syarikat antarabangsa, baik syarikat yang beroperasi dalam negara mahupun syarikat yang beroperasi di luar negara. Beberapa universiti di luar negara seperti di Britain, Amerika Syarikat, Russia, Thailand, Korea, Republik Rakyat China dan sebagainya menawarkan kursus major dan minor bahasa Melayu kepada mahasiswa masing-masing. Kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan diperkukuhkan lagi dengan pembinaan kerusi-kerusi pengajian Melayu di luar negara dan juga pembinaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bahasa Melayu kini berada di atas landasan sempurna sebagai bahasa pengantar pendidikan. Justeru, dapat kita merumuskan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan institusi pendidikan tinggi.

Wacana saya yang kelima, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu adalah bahasa i1mu di Sekolah-sekolah termasuk di maktab-maktab perguruan dan universiti-universiti. Bahasa IImu pula ialah bahasa komunikasi yang bermaksud bahasa sebagai alat penyebaran, penyampaian dan penerimaan maklumat. Sebagai bahasa i1mu, bahasa Melayu banyak merakam pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang yang ditulis oleh pakar bidang berkenaan. Salah satu tujuan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah untuk memperkasakan bahasa Melayu. Justeru, kursus-kursus yang ditawarkan disampai dan dirakam dalam bahasa Melayu, termasuk ilmu dalam bidang Sains dan Teknologi. Sehingga kini, UKM telah mengeluarkan ramai graduan dalam bidang Sains dan teknolog dan sedang berkhidmat di pasaran. Telah sekian ramai doktor perubatan dan ahli kimia dikeluarkan dan khidmat mereka ibarat ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ dengan pakar-pakar yang mendapat pendidikan dari negara Barat. Khidmat mereka pula ‘menetaskan’ tenaga-tenaga khidmat yang lain.

Jauh sebelum itu, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terserlah dalam bidang keagamaan seperti dalam bidang penyebaran ilmu agama Hindu-Buddha dan kemudian Islam. Tanah Melayu seperti Lembah Bujang misalnya merupakan pusat penyebaran agama Hindu-Buddha ke seluruh dunia. Setelah kedatangan Islam, bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa ilmu menyebar ajaran agama Islam. Walaupun agama Islam turut membawa bahasa Arab, namun penyebaran Islam di Asia Tenggara adalah menggunakan bahasa Melayu tulisan Jawi. Fungsi itu ternyata kekal sehingga kini agama Islam tersebar di Asia Tenggara dalam bahasa Melayu. Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu mesti terus berperanan menjana pemikiran dan ilmu-ilmu baharu kepada masyarakat. Jika berlaku kekurangan hendaklah ditambah, jika berlaku kebocoran hendaklah ditampal kerana sudah menjadi kebiasaan tidak semua bahasa adalah lengkap dan sempurna. Perbendaharaan katanya perlu diperluaskan. Istilahnya perlu dilengkapkan. Setiap objek dan konsep dalam pelbagai bidang ilmu hendaklah dilengkapi dengan bahasa Melayu. Hal ini bertujuan untuk memperkasakan lagi bahasa Melayu dan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di Asia Tenggara. Sehingga kini telah banyak istilah dan konsep ilmu diserapkan ke dalam bahasa Melayu. Misalnya, istilah dalam bidang anatomi, mikrobiologi, fisiologi, biokimia, ginekologi dan sebagainya.

Bahasa Melayu bolah menjadi bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri keintelektualan bahasa. Keintelektualan bahasa bermaksud keupayaan bahasa dalam menyampaikan buah fikiran, hujah, pendapat dengan tepat dan dapat dilenturkan dengan mudah. Bahasa Melayu juga boleh menjadi bahasa i1mu kerana mempunyai ciri-ciri kesempurnaan bahasa iaitu kestabilan seperti sistem pembentukan istilah atau konsep, dan peraturan seperti ejaan, sebutan, pemakaian, tatabahasa dan lain-lain lagi. Satu lagi ciri kesempurnaan bahasa ialah kelenturan, di mana bahasa Melayu mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perubahan yang berlaku dari masa ke semasa.

Wacana saya yang terakhir, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi masyarakat. Bahasa Melayu merupakan bahasa komunikasi kerana ia dituturkan oleh semua orang dalam pelbagai lapisan masyarakat. la merupakan bahasa ibunda dan bahasa utama di Malaysia, digunakan oleh semua golongan masyarakat, tidak kira di desa atau di kota, golongan kaya ataupun miskin. Oleh sebab itu, mesej dapat disampaikan dengan mudah, tepat dan difahami oleh semua golongan masyarakat.

Sebagaimana yang telah ketahui umum bahawa bahasa Melayu, pada zaman penjajahan, telah menjadi bahasa lingua franca di setiap pelusuk Nusantara. Bahasa Melayu telah tersebar luas dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura hinggalah ke Brunei. Berdasarkan catatan sejarah pengembara yang melawat semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan lain di Nusantara, seperti I-Shing, Ibn Batuta, Antonio Fegafeta dan ramai lagi, terbukti bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa utama untuk berkomunikasi seawal kurun yang ke-7 Masihi.

Kini, dengan adanya kecanggihan alat media dan komunikasi, maklumat dapat disampaikan melalui siaran-siaran radio, televisyen, internet, SMS, e-mail dan lain-lain lagi. Berkomunikasi, lisan mahupun tulisan, adalah sutu keperluan kepada setiap individu dan berkau pada setiap hari. Kini ramai yang berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan melahirkan pendapat atau perasaan, adalah bukti fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang penting di negara ini. Dengan kata lain, bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa komunikasi apabila seseorang individu mengalami perkongsian idea, maklumat dan perasaan dengan orang lain sama ada melalui pertuturan mahupun tulisan. Dengan berbahasa Melayu, komunikasi antara manusia sejagat berlangsung dengan baik. Ia juga memudahkan penyampaian dan penerimaan maklumat. Senario ini telah memberikan satu manifestasi yang jelas, iaitu bahawa bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa komunikasi di Malaysia.

Justeru, dengan hujah dan huraian keenam-enam fungsi bahasa Melayu itu tadi, konklusinya di sini ialah pertama, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan memartabatkan lagi bahasa ibunda kita sendiri. Yang kedua, sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa utama dalam segala urusan pentadbiran dan acara rasmi negara. Yang ketiga, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan menjadi wahana perpaduan bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara kita.

Seterusnya yang keempat, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar menjadi wahana penyebaran i1mu di semua peringkat institusi pendidikan, dan sebagai lambang bahasa pengantar untuk memberi dan menimba ilmu sejagat. Rumusan seterusnya ialah bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dapat membina keintelektualan bangsa kerana keupayaannya menyampaikan buah fikiran, hujah, pendapat dan sebagainya dalam semua bidang ilmu. Dan yang terakhir, bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, menjadi lambang pertuturan semua golongan masyarakat sama ada yang tinggal desa atau di kota, mahupun golongan kaya ataupun golongan miskin, atau pentadbir mahupun rakyat.

Hadirin dan hadirat sekalian.

Setelah frasa demi frasa tajuk pidato saya ini dikupas, maka dapatlah saya menutup rumusan bahawa bahasa Melayu memikul tanggungjawab yang besar dalam mengangkat martabat bahasa dan bangsa di tanah air tercinta ini. Oleh sebab itu, segala fungsi bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi perlu terus didaulatkan agar keperkasaan bahasa Melayu kekal dan dikagumi.

Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa, tersalah kata, tersilap sebut atau tercanggah gerak tangan, mulut, kepala dan mata. Saya mengakhiri pidato saya ini dengan serangkap pantun;

                       Alang-alang menyeluk pekasam,
                              Biar sampai ke pangkal lengan;
                       Alang-alang bahasa dijulang,
                              Biar kekal sepanjang zaman.

Sekian, Wabillahi Taufik WaJhidayah Wasalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh


Teks Pidato Contoh

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian.

Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu.” Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.

Rakan-rakan dan hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.

Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim


Teks Pidato Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia.
Bismilahhiramannirahim…
         Kalau tidak kerana bintang,
         Tak akan bulan kelihatan tinggi ,
         Kalau tidak kerana pidato,
         Tak akan saya berada disini.

        Datang bahtera dari Medan ,
        Singgah sebentar di laluan Kerai,
        Salam satu Malaysia saya hulurkan ,
        Kepada warga dewan pembuka tirai.

Assalamualikum  W.B.H     
       Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,barisan panel Hakim yang arif lagi bijaksana yang sedang menjunjung mahkota keadilannya ,penjaga masa yang sentiasa peka dengan detak jamnya, para perserta yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat yang saya hormati.
 
        Jauh berlayar si pedagang Cina ,
            Singgah di Melaka menjual sutera .
        Bahasa melayu bahasa perantara ,
            Tonggak utama perpaduan negara

Hadirin dan hadirat yang dihormati
            Cogan kata ‘Hidup Muafakat Membawa Berkat’ merupakan antara cogan kata yang dicipta untuk menyedarkan orang ramai akan peri pentingnya muafakat dalam kehidupan masyarakat yang berbilang kaum seperti di negara kita. Kata orang, permuafakatan bererti perpaduan. Situasi ini dapat dihuraikan oleh bidalan bersatu teguh bercerai roboh. Keadaan ini membawa kebaikan dan kejayaan kepada seluruh anggota masyarakat berkenaan. Sesungguhnya, negara yang memiliki masyarakat majmuk seperti Malaysia berpaksikan pada perpaduan untuk meneruskan kelangsungan keharmonian di dalam negara. Saya yakin bahawa perpaduan penting dalam sesebuah negara. Dalam usaha melonjak status negara berpendapatan tinggi dan bagi merealisasikan dasar transformasi kerajaan, soal perpaduan tidak boleh dipandang enteng kerana bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan mendaulatkan maruah bangsa. Usaha membina negara bangsa yang bersatu padu ini sebenarnya boleh dilakukan jika setiap rakyat mengerti akan kepentingan bahasa kebangsaan sebagai tonggak perpaduan setiap rakyat di Malaysia. Oleh itu, izinkan saya untuk menjelaskan dengan lebih terperinci tentang wacana ilimiah kita pada hari ini yang bertajuk Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia.

Hadirin yang dirahmati,
          Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, adalah baik jika kita menelusuri akar-akar cerucuk sejarah sebelum terbentangnya hamparan indah negara Malaysia. Apabila memorabilia ini membawa kita ke ratusan tahun yang lampau, nyatalah bahawa Bahasa Melayu sudah berfungsi sebagai lingua franca yang didefinisikan sebagai bahasa perantaraan antara masyarakat pada zaman itu.Hal ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila kita meneliti catatan ilmuwan Inggeris seperti R.O. Winsted yang menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa perdagangan yang mengeratkan hubungan masyarakat yang berkunjung ke Melaka ketika itu. Daripada golongan pendeta sehinggalah ke golongan biasa, setiap insan di Melaka ketika itu berkomunikasi dengan bahasa tercinta kita yang tidak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Tidak lain dan tidak bukan,sudah tentulah Bahasa Melayu. Nah, apa lagi yang kita pertikaikan tentang kemampuan bahasa kebangsaan kita sebagai wadah perpaduan? Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa hamparan sejarah jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan yang cemerlang di dunia.

Hadirin yang dihormati,
          Melalui bahasa Melayu, sebarang konfrantasi, buruk sangka dan salah faham antara kaum dapat dikikis dengan mudah. Saya suka untuk meminjam kata-kata pujangga pendeta Zaa’ba yang berbunyi ‘bahasa menunjukkan bangsa’. Apabila kita melihat masyarakat bertutur dalam bahasa Melayu, sudah terang lagi bersuluh bahawa mereka ialah bangsa Malaysia. Daripada kata-kata hikmat tersebut, saya sangat percaya bahawa bahasa Melayu sedikit sebanyak akan mengurangkan semangat ‘kecinaan’, kemelayuan’ ataupun ‘keindiaan’.
          “Haiya, ini balang mana ada halga, dia punya bau saya macam mau pengsan ah”
          “Tambi, itu worang mau roti satu, kari ikan kapla satu”
          Pelatlah dengan pengaruh bahasa natif,asalkan setiap kaum di Malaysia dapat bermesra dan bertukar-tukar maklumat dan fikiran hanya dengan menggunakan bahasa Melayu. Langkah Dewan Bahasa memasukkan entri perkataan baharu setiap kali edisi baharu terbit merupakan langkah yang patut dipuji kerana perkataan pinjaman daripada bahasa Cina dan India yang mengalami proses ‘kemalaysiaan’ sememangnya dapat mewujudkan perpaduan. Apa yang penting, setiap kaum di Malaysia tidak akan kekok untuk berbicara dalam bahasa kebangsaan. Apabila tidak kekok berbicara, sudah tentulah juga tidak kekok untuk bermesra. Apabila sudah bergaul mesra, nyatalah bahawa perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk itu akan terbina kukuh di bawah payung Satu Malaysia. Berdasarkan hujah ini, nyatalah bahawa bahasa Melayu itu merupakan medium untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyrakat di Malaysia.

Hadirin yang dikasihi,
          Dalam lautan ilmu yang memenuhi pustaka di Malaysia, sudah tentulah bahasa Melayu turut menjadi bahasa penyebaran ilmu pengetahuan. Berdasarkan data yang saya peroleh daripada Arkib Negara, saya amat kagum dengan pencapaian bahasa Melayu kerana hampir 800 buah buku ilmiah ditulis dalam bahasa Melayu oleh rakyat Malaysia sendiri. Untuk pengetahuan hadirin, ilmu pengetahuan merupakan perkara yang sangat penting untuk memupuk perpaduan. Masarakat yang tidak berilmu ibarat masyarakat yang tidak bertamadun. Apabila tidak bertamadun, sudah tentulah masyarakat bertindak membuta-tuli mengikut hati dan naluri. Oleh itu, sudah tentulah kucar-kacir akan menodai keamanan sesebuah negara. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan segunung pernghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia kerana mengembalikan mandat kepada bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik. Sesungguhnya, langkah ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara murid-murid di luar bandar dan di kawasan bandar. Dalam soal keharmonian, sudah tentulah kita tidak mahukan sebarang jurang bertatah di dalam kehidupan masyarakat. Pada pendapat saya, jurang itu boleh memecahbelahkan perpaduan. Apabila bahasa Melayu kembali dalam pengajaran subjek kritikal ini, sudah tentulah jurang itu dapat dirapatkan. Ketika jurang pendidikan itu dirapatkan, sudah tentulah perpaduan dapat dipupuk dari alam persekolahan lagi. Selain dasar baharu itu, usaha Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program Memartabatkan Bahasa Melayu, memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMBMI) dilihat sebagai wahana yang sangat utama untuk menjadi tonggak perpaduan. Pengisiannya jelas menunjukkan bahawa betapa prihatinnya pihak kerajaan terhadap kedaulatan bahasa Melayu dan betapa arifnya kerajaan tentang peranan bahasa Melayu sebagai tonggak perpaduan.

Hadirin yang dirahmati,
          Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin mengingatkan kepada khalayak hari ini bahawa rakyat yang memperlekehkan bahasa kebangsaan akan merosakkan perpaduan yang kita kecapi selama ini. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa insan inilah anasir yang menodai kebahagiaan kita di bawah berkat Satu Malaysia. Oleh itu, sayangilah bahasa Melayu kita, hormatilah bahasa kebangsaan kita kerana bahasa Melayu tonggak perpaduan bangsa.

Bahasa Melayu Teras Perpaduan Bangsa Malaysia
Yang kurik kundi
Yang merah saga
Yang cantik budi
Yang indah bahasa

Indahnya Bahasa Melayu, begitu halus sehingga menusuk kalbu. Daripada banyak faktor, bahasa muncul sebagai faktor yang dominan dan daripada begitu banyak bahasa, Bahasa Melayu yang terpilih sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya menjadi wahana perpaduan masyarakat majmuk di negara Malaysia.

Melihat kepada pengiktirafan yang diberi kepada Bahasa Melayu tentunya Bahasa Melayu memiliki keistimewaan tersendiri sehingga berupaya mengangkat bahasa ini sebagai Teras Perpaduan Bangsa .

Maka dalam tulisan ini saya ingin membuktikan kepada pembaca mengapa dan bagaimana Bahasa Melayu mampu menjadi teras atau tunjang kepada perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.Di akhirnya pula saya akan menuliskan beberapa ancaman ke atas Bahasa Melayu dalam kedudukannya untuk bertahan sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan.

Secara konseptual Bahasa Melayu Teras Perpaduan Bangsa Malaysia bolehlah didefinisikan sebagai bahasa utama yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan berupaya menjadi tunjang atau nadi kepada penyatuan pelbagai kaum di negara ini.

Mengapakah Bahasa Melayu Dipilih Sebagai Bahasa Kebangsaan?

Sejarah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama sejak zaman kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam bidang perdagangan dan hubungan diplomatik.

Dalam Kitab Sejarah Melayu menyebutkan bagaimana para pedagang bertungkus lumus mempelajari Bahasa Melayu dan menguasainya bagi memudahkan mereka berurusan dengan pemimpin dan masyarakat setempat yang telah lama menggunakan bahasa itu.

Dalam konteks hubungan antarabangsa surat-surat rasmi dan dokumen perjanjian turut menggunakan Bahasa Melayu bertulis jawi. Ini membuktikan bahasa Melayu dapat difahami oleh pelbagai kaum termasuk pihak British. Kalau mereka tidak mengerti pun ada munsyi atau guru Bahasa Melayu yang akan mengajar mereka.

Begitu juga dokumen-dokumen lain seperti undang-undang tubuh negeri-negeri Melayu telah menggunakan Bahasa Melayu dengan tulisan Jawi sebagai medium. Semua ini membuktikan kepada kita betapa Bahasa Melayu pernah mencapai tahap yang tertinggi dan diguna sehingga ke peringkat antarabangsa.

Memandangkan Bahasa Melayu telah diguna sekian lama sebagai bahasa rasmi dan basahan, sebagai bahasa komunikasi dan persuratan maka Bahasa Melayu telah dipersetujui dan disepakati bersama oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini agar menjadi bahasa kebangsaan bagi persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1957.

Malahan permuafakatan pelbagai kaum itu dirakamkan dalam bentuk dokumen tertinggi dan luhur iaitu Perlembagaan Negara sepertimana yang termuat dalam Perkara 152, para 1 sebagai bahasa bagi persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia yang merdeka.

Maka sejak itu Bahasa Melayu berkembang luas penggunaannya termasuk menjadi bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan menjadi bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk di mahkamah.

Jelas sekali Bahasa Melayu telah diiktiraf oleh semua kaum sebagai bahasa utama dan dapat digunakan bersama untuk mencapai matlamat perpaduan.

Bagaimanakah Bahasa Melayu Boleh Berfungsi Secara Berterusan sebagai Bahasa perpaduan?

Bahasa Melayu yang mampu menjadi teras perpaduan bangsa Malaysia ialah Bahasa Melayu yang digunakan secara bersama dan meluas. Bahasa melayu bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa basahan, namun bahasa rasmi dan tidak rasmi.

Bahasa ini bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan universiti tetapi penggunaannya menjangkau ke peringkat antarabangsa. Buktinya DS Mohd Najib telah bertutur dalam Bahasa Melayu sepenuhnya di sebuah Universiti di China semasa lawatan beliau ke sana baru-baru ini.

Ini bererti Bahasa Melayu yang dimaksudkan ialah bahasa Melayu yang standard dan mengikut struktur bahasa Melayu baku dan mempunyai sistem yang sama untuk semua.

Slanga atau loghat mungkin sesuai untuk orang Melayu di negeri-negeri tertentu, tetapi apabila bertutur dengan bangsa Melayu dari kawasan atau negeri yang lain dan dengan orang bukan Melayu, Bahasa Melayu yang standard wajar digunakan. Inilah bahasa yang diajar dan digunakan di sekolah, dalam buku teks, buku-buku dan majalah serta dalam dokumen rasmi yang lain.

Selain itu, Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan utama mempunyai masa depan yang cerah kerana Bahasa Melayu bersikap terbuka kepada bahasa lain. Kita sedar sesuatu bahasa yang terlalu rigid, terpencil dan statik tidak akan mampu mengadaptasikan dirinya dengan perubahan semasa.

Dunia semakin berkembang, masyakaratnya semakin maju dan berpengetahuan, maka begitulah juga halnya dengan bahasa Melayu Sejak dahulu Bahasa Melayu dilihat mempunyai tahap keterbukaan dan toleransi yang begitu tinggi,kepada kemasukan isitilah-istilah baru dan kata asing. Dinamika bahasa ini amat diperlukan untuk memastikan Bahasa Melayu tidak terkubur seperti yang berlaku kepada bahasa Sanskreta.

Sayugia diingat dalam keghairahan kita hendak mempertahankan Bahasa Melayu jangan sampai bahasa ini menerima nasib yang sama seperti dinossours yang akhirnya pupus kerana gagal untuk menyesuaikan dirinya dengan perubahan semasa dan persekitaran.

Maka menyedari hakikat itu DBP telah memainkan peranan yang begitu aktif untuk membentuk dan menyelaraskan istilah-istilah baru dalam pelbagai bidang pengetahuan seperti sains dan teknologi, undang-undang, pendidikan, perbankan, komputer dan internet.
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai teras perpaduan bangsa Malaysia diperkukuh apabila kehadirannya tidak pernah disangsikan oleh kaum-kaum lain. Sebabnya Bahasa Melayu tidak dianggap sebagai ancaman kepada mana-mana pihak dan kehadirannya tidak akan menyebabkan bahasa ibunda kaum masing-masing akan menerima nasib malang.

Rahsia Bahasa Melayu tetap diyakini sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan hingga kini ialah kerana jaminan yang diberikan dalam perlembagaan Malaysia yang telah menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan. Keadaan ini menjadikan Bahasa Melayu akan terus dihormati dan tidak akan disaingi oleh bahasa-bahasa lain.

Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang dilancarkan pada 11 Disember 1987 membuktikan betapa seriusnya pihak kerajaan dalam mengangkat martabat bahasa ini sebagai bahasa komunikasi utama pelbagai kaum. Sejak itu banyak kegiatan kebahasaan turut melibatkan pelbagai kaum.Buktinya yang jelas ialah dengan adanya pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis (PBSUB) bagi SRJKC dan SRJKT dan pidato bahasa Melayu antarabangsa. Ini membuktikan bahasa Melayu menjadi bahasa yang boleh dipelajari dan dituturkan oleh sesiapa sahaja.

Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsan dan bahasa perpaduan melonjakkan bahasa ini sebagai satu identiti bagi masyarakat majmuk sehingga mampu menjadi model perpaduan dunia melalui penggunaan satu bahasa.
Ancaman
Perubahan dunia semakin pantas dan kemajuan dunia semakin cepat. Persekitaran lokal tiba-tiba sahaja bertukar kepada glokal dan akhirnya menuju global. Bumi yang dulunya terpecah kepada begitu banyak kampung yang tak berhubung, kini menjadi sebuah kampung besar tanpa sempadan.
Bahasa Melayu turut menerima cabaran apabila golongan remaja hari ini lebih berminat menggunakan istilah dan gaya bahasa sendiri yang dikatakan lebih pantas dan ringkas. Ini terbukti apabila munculnya teknologi komunikasi terkini seperti sistem pesanan ringkas, mms, mel elektronik dan chating.

Kata-kata yang panjang telah diringkaskan dan istilah-istilah baru tercipta. Surat yang dianggap ketinggalan dan lambat telah digantikan dengan mel elketronik, menelefon telah digantikan dengan SMS dan MMS.

Bagi saya ini satu perkembangan yang menakjubkan sekali gus menunjukkan bahasa Melayu sentiasa berupaya menyesuaikan dirinya dengan keperluan semasa. Minat anak muda daripada pelbagai bangsa menggunakan bahasa ini menjadikan bahasa Melayu akan terus berkembang sebagai alat perpaduan utama. Cuma terpulanglah kepada Kementerian pelajaran dan DBP untuk menyelaraskan semua ini.

Akhirnya marilah kita menyahut cabaran 1Malaysia cetusan idea YAB DS Mohd Najib Tun Abdul Razak. Gagasan ini bukan sahaja mengajak kita berkongsi sebuah negara, iaitu Malaysia tetapi juga berkongsi satu bahasa, iaitu Bahasa Melayu yang telah terbukti mampu menjadi teras Perpaduan Bangsa Malaysia

Bahasa Melayu Wadah Penyatuan Bangsa
Bismillahhirrahmanirrahim…
Keindahan dan kehalusannya menusuk kalbu. Itulah bahasa melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan seterusnya menjadi wahana perpaduan bangsa.
Cetusan barakah buat peneraju  acara
Saf kehakiman intelektual berkarisma
Sidang hadirin warga dewan berwibawa
Assalamualaikum warahmatullah…..

Hari ini, pertandingan ini, bukanlah akademi fantasia. Maka saya bukanlah Mila atau Masha tapi puteri SMK SAINS KUBANG PASU mewakili _________________yang akan menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk “Bahasa Malaysia Teras Perpaduan Bangsa”.
Sidang warga dewan ,
Frasa Bahasa Malaysia Teras Perpaduan Bangsa  boleh ditafsirkan sebagai bahasa utama yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan berupaya menjadi tunjang atau nadi kepada penyatuan pelbagai kaum dan bangsa.
Warga dewan yang dirahmati,
            Cetusan minda pertama .Bahasa Melayu Wadah Penyatuan Bangsa. Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa melayu telah diterima sebagai lingua franca  sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam perdagangan dan politik.
Memandangkan peranan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa komunikasi menjadikan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1957 seperi yang disebut dalam Perlembangan Negara Perkara 152, para 1 iaitu bahasa melayu sebagai bahasa bagi persekutuan tanah melayu atau Malaysia yang merdeka.
Sejak itu Bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan menjadi bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk di mahkamah. Jelas sekali bahasa melayu telah diiktiraf oleh semua kaum sebagai bahasa utama untuk mencapai matlamat perpaduan.
Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi bukti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mampu mengelakkan prasangka antara kaum, berjaya membangkitkan semangat perpaduan yang seterusnya mewujudkan rakyat berbilang kaum yang bersatu padu, bekerjasama dan hormat-menghormati dan melahirkan semangat patriotisme kepada seluruh warga negara.
Sidang dewan berkarisma,

            Cetusan minda kedua. Bahasa Malaysia teras perpaduan bangsa.Bahasa melayu bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan universiti malah menjangkau ke peringkat antarabangsa. YAB Datuk Seri Najib Tun Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia telah  bertutur dalam bahasa melayu di sebuah universiti di China semasa lawatan beliau ke sana. Ini membuktikan bahasa melayu  mempunyai system yang sama untuk semua.

Bahasa melayu ditutur dalam longhat atau slanga mengikut negeri-negeri tertentu. Tetapi apabila dituturkan bersama orang bukan melayu atau dari negeri yang lain maka bahasa melayu yang standard akan digunakan.

Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang dilancarkan pada 11 Disember 1987 yang melibatkan semua kaum di negara ini membuktikan betapa seriusnya pihak kerajaan dalam memartabatkan bahasa ini sebagai bahasa komunikasi utama pelbagai kaum.
Bukti yang jelas ialah dengan adanya pertandingan syarahan dan ujian  bertulis bagi sjkc dan sjkt serta pidato bahasa melayu antarabangsa.
Ibarat serampang dua mata, Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh YAB Perdana menteri Malaysia juga bukan sahaja mengajak kita berkongsi sebuah negara tetapi juga berkongsi satu bahasa iaitu bahasa Malaysia yang terbukti mampu menjadi teras perpaduan bangsa Malaysia
Mengikut tulisan Haris Zalkapli dalam Dewan Masyarakat Jun 2007 yang bertajuk “Membina Identiti Malaysia”, semua rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan bahasa Melayu yang bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa perpaduan malah mampu berdiri sebagai bahasa ilmu atau bahasa media sekaligus merupakan  mampu membina peradaban dan tamadun bangsa Malaysia
Mariam Atan menegaskan, dalam karyanya berjudul “ Bahasa Kebangsaan (A”), bahasa kebangsaan adalah untuk menerbitkan lambang aspirasi dan semangat kebangsaan.
Awang Sariyan juga mengatakan proses pembinaan negara ialah proses pewujudan negara bangsa yang berasaskan jati diri setempat dan perpaduan rakyat berbilang kaum. Dalam konteks ini, bahasa Melayu dijadikan unsur pembinaan jati diri rakyat Malaysia dan juga sebagai unsur perpaduan semua kaum”.
Menurut Dr Teo Kok Seong , Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bahasa kebangsaan adalah bahasa perpaduan, dan penguasaannya yang baik mutunya boleh mempertingkat komunikasi dan interaksi antara kaum. Ini pula sudah tentu dapat memperkukuhkan perpaduan yang amat penting kepada pembangunan negara.
Warga dewan bervisi,
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP} telah memainkan peranannya dalam memastikan bahasa melayu tidak terkubur membentuk dan menyelaras istilah-istilah dalam pelbagai bidang pengetahuan seperti sains dan teknologi, undang-undang, pendidikan, perbankan, computer dan internet. Maka kedudukan bahasa melayu dapat diperkukuhkan. Keadaan ini  menjadikan bahasa melayu terus dihormati dan tidak disaingi oleh bahasa-bahasa lain.
Malam Semarak Perpaduan anjuran DBP juga bertujuan untuk memupuk perpaduan melalui Bahasa Kebangsaan, bahasa yang telah berperanan besar menyatukan pelbagai kaum di Malaysia ini sejak merdeka.”
Warga dewan sekalian,
            Tuntasnya, pencapaian perpaduan negara yang tulen hanya boleh termakbul melalui wahana bahasa Melayu. Bahasa melayu sebagai kebangsaan dan bahasa perpaduan telah meletakkan masyarakat majmuk di negara ini dalam satu identiti iaitu Bangsa Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh gahnya Malaysia hari ini kerana  mempu menjadi model perpaduan dunia melalui satu bahasa iaitu Bahasa Malaysia.
Sekian, puteri _______________________mohon permisi.
Wabila hi taufik…….

No comments:

Post a Comment