ISU-ISU TERKINI

JANA PENDAPATAN

Tuesday, April 15, 2014

RINGKASAN : PUNCA-PUNCA REMAJA MEROKOK



Keprihatinan banyak pihak tentang bahaya merokok menyebabkan pelbagai usaha dijalankan untuk membendung gejala negatif ini daripada terus mempengaruhi para remaja. Kebanyakan remaja terutamanya pelajar sekolah mengakui bahawa mereka merokok lantaran pengaruh daripada rakan sebaya. Sikap terikut-ikut dengan tabiat tidak sihat ini seterusnya akan menghanyutkan mereka sehingga merasakan bahawa merokok itu bukanlah sesuatu yang buruk atau menyalahi etika hidup.
Tidak kurang juga yang secara jujur mengakui bahawa rasa bosan dengan beban tugas sebagai pelajar telah mendorong mereka menghisap rokok. Jika alasan ini dikaji, ternyata kebanyakan pelajar ini merupakan mereka yang malas dan ada yang tidak menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M). Oleh itu, mereka dengan mudah menuding jari kepada pihk lain. Ibu bapa menjadi sasaran untuk dipersalah kerana dikatakan bahawa ibu atau bapa yang merokok akan menyebabkan anak-anak mengikut jejak langkah mereka.
Walaupun kita lihat banyak iklan mahupun kempen tidak merokok dijalankan namun remaja tetap remaja. Naluri ingin tahu yang ada pada mereka acapkali mendorong mereka mencuba sesuatu yang ditegah. Naluri ini jika tidak dikawal akan mengakibatkan rasa ketagihan dan rasa seronok apabila dapat menghisap rokok.
Di Malaysia rokok boleh didapati dengan mudah dan boleh dibeli walaupun cuma sebatang. Keadaan ini menjadikan tabiat merokok semakin berleluasa kerana dengan harga serendah empat puluh sen, pelajar sekolah sudah boleh membeli rokok. Memandangkan longgarnya penguatkuasaan terhadap penjualan rokok, kerajaan masih mengambil langkah-langkah pencegahan supaya masalah remaja merokok dapat diatasi.
Amatlah malang seandainya remaja beranggapan bahawa mereka akan lebih bergaya dan kelihatan lebih dewasa apabila merokok. Alasan ini ternyata salah kerana merokok sebenarnya tidak mendatangkan sebarang kebaikan sebaliknya mengundang ketagihan yang berpanjangan.
(Dipetik dan diubahsuaian daripada Fokus, September 2004)


Bahagian A(ii) : Pemahaman [10 markah]
[ Masa yang diperuntukkan: 10 minit]
Berdasarkan petikan Bahagian A(i), jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat sendiri.
1.Apakah maksud rangkai kata menuding jari kepada pihak lain? [2 markah]
2.Mengapakah penjual rokok tidak mematuhi arahan kerajaan agar tidak menjual rokok kepada remaja? [4 markah]
3.Cadangkan dua langkah untuk mencegah remaja daripada merokok. [4 markah]

No comments:

Post a Comment