ISU-ISU TERKINI

JANA PENDAPATAN

Wednesday, July 27, 2011

RINGKASAN DAN PEMAHAMAN PMR : PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA PEMBUANGAN BAYI



Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang punca-punca berlakunya pembuangan bayi. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Sejak belakangan ini, kes pembuangan bayi di Malaysia semakin serius. Saban hari kita dikejutkan dengan kes pembuangan sama ada yang masih hidup ataupun meninggal dunia ditinggalkan di tempat-tempat tertentu seperti di dalam tong sampah, tandas, dan longkang. Pergaulan bebas merupakan pemangkin utama kes ini. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang melampaui batas agama boleh menyebabkan diri mereka terjebak ke dalam kancah maksiat dan impaknya si gadis hamil anak luar nikah
Lebih buruk lagi pihak lelaki tidak bertanggungjawab sehingga membawa titik hitam dalam kehidupan gadis tersebut, lantas gadis yang hamil mengambil jalan mudah untuk mengelakkan rasa malu agar perbuatannya tidak diketahui masyarakat, selain itu perasaan buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan lalu membuang bayi tanpa belas kasihan. Perempuan yang menerima anak juga takut dimarahi atau dipulau oleh keluarga akibat keterlanjuran dalam pergaulan. Selain itu, gejala ini juga berpunca daripada faktor kemiskinan keluarga yang mempunyai anak yang ramai sedangkan suami tidak bekerja. Kurang didikan agama juga merupakan salah satu punca berlakunya kes pembuangan bayi.
Selain cetek pengetahuan agama, mereka juga cetek pengetahuan dalam pergaulan dan tindakan. Mereka mudah terperdaya untuk melakukan maksiat tanpa mengambil kira dosa atau pahala. Bagi mereka, perbuatan keji ini adalah perkara baru yang perlu dicuba. Mereka yang melakukan perbuatan salah ini tidak menerima maklumat yang betul dari pihak tertentu untuk menyelesaikan masalah yang diterima sebagai contoh tidak mengetahui terdapat badan sukarela dan agensi tertentu yang menerima bayi tersebut. Sebenarnya perbuatan keji ini berlaku dengan sikap masyarakat yang memandang keji mereka yang mempunyai anak tanpa berkahwin.
Isu pembuangan bayi amat serius dan perlu ditangani segera. Oleh yang demikian pegangan agama yang utuh dalam kalangan remaja penting untuk membendung masalah ini. Keluarga dan masyarakat harus bersikap membantu mangsa, bukan menambah beban yang ditanggung. Pada waktu yang sama, ibu bapa hendaklah prihatin dengan anak-anak mereka yang meningkat remaja, selain itu individu sendiri perlu mempunyai kesedaran untuk menjaga tatasusila apabila berhadapan dengan masyarakat.

Bahagian A (ii): Pemahaman

1.Apakah maksud rangkai kata menambah beban yang ditanggung?
2.Berdasarkan petikan, apakah langkah-langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi?
3.Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang patut dilakukan oleh pihak sekolah untuk mengurangkan berlakunya kes pembuangan bayi?

RINGKASAN DAN PEMAHAMAN PMR : KEPENTINGAN MENGHAYATI RUKUN NEGARA



Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut tulis sebuah rumusan tentang kepentingan menghayati Rukun Negara. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kerajaan disaran melancarkan Kempen Penghayatan Rukun Negara kerana penghayatan terhadap Rukun Negara semakin terhakis dalam jiwa rakyat Malaysia. Malah jika ditanya generasi muda sekarang sudah pasti ada antara mereka yang tidak mengetahui kandungan prinsip Rukun Negara yang menjadi pegangan rakyat negara ini sejak 35 tahun yang lalu. Ramai dalam kalangan mereka yang tidak ingat untuk melafazkan Rukun Negara kerana beranggapan tidak penting disebabkan negara sudah aman dan makmur. Keadaan ini menyebabkan generasi sekarang seakan-akan hilang jati diri mereka dan mudah terpengaruh dengan budaya asing.

Penghayatan Rukun Negara amat penting kepada masyarakat negara ini. Hampir lima dekad negara mencapai kemerdekaan dan segala dugaan yang dilalui telah membina tapak yang menjadi asas keharmonian dan perpaduan kaum. Rukun Negara menjadi panduan bagi rakyat memupuk semangat setia kawan dan kecemerlangan hidup bermasyarakat serta bernegara. Selain itu Rukun Negara bermatlamat membentuk masyarakat yang adil dan saksama supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama-sama.

Prinsip Rukun Negara sebenarnya berkait rapat antara satu sama lain. Kepercayaan kepada Tuhan antara lain menerapkan bahawa kepercayaan beragama boleh mengukuhkan ikatan semua bangsa seterusnya memantapkan institusi negara kerana rakyatnya mempunyai pegangan hidup. Tahap kesetiaan yang tinggi diberikan kepada raja dan negara pula amat bersesuaian kerana raja ialah lambang perpaduan negara. Keluhuran perlembagaan pula ialah sumber perundangan negara yang tertinggi dan harus diterima, dipatuhi serta dipertahankan oleh rakyat. Kedaulatan undang-undang pula memberi keadilan kepada setiap rakyat di negara ini kerana dijamin oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Prinsip kesopanan dan kesusilaan mementingkan perlakuan yang sopan dalam kalangan rakyat untuk menjaga hubungan baik masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Sehubungan dengan itu rakyat harus sedar Rukun Negara mampu menerapkan amalan menghormati undang-undang dalam kalangan masyarakat pelbagai agama dan budaya di negara ini. Langkah kerajaan melancarkan kempen tersebut amat tepat bagi mengingatkan rakyat supaya menghormati sensitiviti kaum agar keamanan dan keharmonian negara dapat terus dipelihara.

RINGKASAN PMR : KEBAIKAN-KEBAIKAN INDUSTRI PERLANCONGAN



Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang  kebaikan-kebaikan industri pelancongan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

            Malaysia terletak di garisan khatulistiwa yang mengalami iklim panas dan lembap sepanjang tahun. Malaysia merupakan negara yang indah dan mempunyai tempat-tempat menarik sesuai untuk dijadikan destinasi pelancongan. Contoh tempat peranginan yang terdapat di Malaysia ialah Pulau Sipadan, Pulau Tioman, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Ketam. Di pulau-pulau tersebut, terdapat banyak terumbu karang yang indah menanti para pelancong. Di samping itu, tempat tersebut tenang dan selamat untuk aktiviti sukan air seperti jet ski, perahu layar dan scuba.
Industri pelancongan ini banyak mendatangkan faedah kepada negara. Antaranya dapat memajukan industri kraf tangan yang berkualiti untuk dipasarkan bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara. Dengan sokongan dan bantuan modal oleh kerajaan pula, industri pelancongan boleh beroperasi dengan lebih meluas. Keadaan ini menarik pelabur asing untuk membuat pelaburan di Malaysia dalam industri pelancongan. Secara tidak langsung dapat menambahkan lagi pendapatan negara.
Selain itu, tempat-tempat yang menarik di Malaysia merupakan daya tarikan kepada para pelancong asing. Kehadiran para pelancong boleh memperkenalkan budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ke serata dunia. Di samping itu, industri ini juga memberi peluang pekerjaan terutamanya kepada penduduk kampong. Misalnya industri kraf tangan di desa-desa memberi pekerjaan kepada penduduk kampung mengusahakan hasil kraf seperti bakul, rotan, dan tikar mengkuang. Seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar. Selain itu, kedatangan pelancong juga menyebabkan pusat-pusat penginapan berkembang dan hal ini dapat memajukan industry perhotelan.
Oleh itu, rakyat Malaysia diseru supaya menyahut seruan kerajaan dengan bersikap mesra dan berbudi bahasa kepada para pelancong seiring dengan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita. Usaha kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan pelancongan terutamanya dari segi pengurusan dan penyediaan infrastruktur yang lebih baik secara tidak langsung memberi keuntungan kepada masyarakat setempat. 

LEMBARAN PENGURUSAN GRAFIK KOMSAS

WARKAH KEPADA GENERASI
1) Nyatakan maksud setiap rangkap sajak Warkah kepada Generasi
Rangkap 1:_________________________________________________________________________________________
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
Rangkap 2:_________________________________________________________________________________________
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Rangkap 3:_________________________________________________________________________________________
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

2) Apakah tema sajak Warkah kepada Generasi?
__________________________________________________________________________________________________

3) Nyatakan tiga persoalan dalam Sajak Warkah Kepada Generasi.
i)________________________________________________________________________________________________
ii)________________________________________________________________________________________________
iii)_______________________________________________________________________________________________

4) Apakah nada untuk sajak Warkah kepada Generasi?
_________________________________________________________________________________________________

5) Kenal pasti contoh unsur gaya bahasa yang terdapat dalam sajak Warkah kepada Generasi.
i) Metafora (Perbandingan atau kiasan yang mengandungi dua kata, iaitu konkrit [sesuatu yang dapat digambarkan/boleh dilihat] dan abstrak [tidak dapat dilihat]).
Contoh:__________________________________________________________________________________________
ii) Sinkope ( Penyingkatan kata)
Contoh:___________________________________________________________________________________________
iii) Asonansi ( Pengulangan huruf vokal)
Contoh:___________________________________________________________________________________________
iv) Aliterasi (Pengulangan huruf konsonan)
Contoh:___________________________________________________________________________________________

6) Nyatakan tiga nilai yang terdapat dalam sajak Warkah kepada Generasi.
i)_________________________________________________________
ii)________________________________________________________
iii)________________________________________________________

7) Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam sajak Warkah kepada Generasi.
i)________________________________________________________________________________________________
ii________________________________________________________________________________________________
iii________________________________________________________________________________________________

KARANGAN PMR & SPM : KITAR SEMULA

Pertambahan penduduk Malaysia tahun demi tahun, merupakan satu penanda aras kemajuan buat negara pada peredaran teknologi masa kini. Dianggarkan tahun ini lebih kurang 28.9 hampir ke 30 juta, penduduk yang menetap di Malaysia setakat ini.

Cabaran yang perlu ditempuh juga amat tinggi kerana pengurusan membabitkan kebajikan rakyat perlu diberi perhatian lebih teliti terutamanya dalam aspek kesihatan dan keselesaan. Begitulah juga apabila dikaitkan dengan sistem pengurusan sampah di negara ini yang sebenarnya tanpa disedari berada pada tahap kritikal ekoran lebih banyak kawasan diperlukan sebagai pusat pelupusan sampah.

Malah ia menjadi lebih buruk lagi apabila wujud pusat pembuangan sampah haram sehingga menjejaskan ekosistem alam sekitar. Secara puratanya, dalam masa sehari sebanyak 800 gram sampah dibuang oleh setiap rumah di Malaysia. Ini bermakna dalam masa sehari sahaja berat sampah yang dihasilkan oleh semua 27 juta rakyat boleh menghasilkan paling kurang 20,000 tan setiap hari.

Jumlah sampah sebanyak itu boleh memenuhi setiap penjuru Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) sekiranya tidak dikutip dalam tempoh 10 hari. Oleh itu, kaedah melupuskan sampah secara konvensional didapati sudah semakin tidak praktikal kerana ia boleh mengorbankan ruang tanah yang semakin terhad malah menyumbang kepada masalah pencemaran yang semkin hari semkain membimbangkan.

Tuesday, July 26, 2011

KAMUS PERTAMA BAHASA IBAN

KUCHING: Kamus pertama bahasa Iban yang berbentuk sebuah tesaurus, "Bup Sereba Reti Jaku Iban" akan mengandungi lebih 50,000 senarai kata bahasa etnik itu, kata Pengarah Penyelidikan Sejarah Yayasan Tun Jugah Dr Robert Menua hari ini.

Beliau berkata senarai kata Iban berkenaan adalah terbitan daripada 17,000 kata dasar perkataan Iban. Katanya lebih 30 pakar bahasa Iban mengambil masa kira-kira enam hingga tujuh tahun untuk menyusun kamus setebal 1,392 muka surat itu.


"Kamus Iban ini bukannya diterbitkan untuk membuat keuntungan tetapi merupakan sebahagian usaha Yayasan Tun Jugah untuk memelihara bahasa Iban. "Kandungan kamus perkataan Iban di Sarawak ini begitu inklusif dan komprehensif. Ia sangat berguna khususnya bagi ahli akademik dan pelajar untuk dijadikan bahan penyelidikan dan rujukan kebudayaan, bahasa serta sejarah kaum Iban," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sunday, July 24, 2011

KARANGAN PMR & SPM (KARANGAN CERAMAH) : ISU TEKNOLOGI MAKLUMAH


Soalan : Kerajaan menjalankan pelbagai langkah bagi memajukan negara kita dari segi teknologi maklumat dan komunikasi. Satu kempen kesedaran tentang implikasi teknologi maklumat telah diadakan di tempat anda. Selaku seorang pengamal teknologi maklumat, anda diminta memberikan ceramah dalam majlis pelancaran kempen tersebut. Tuliskan teks ceramah itu.

Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Pada era ‘dotcom’ ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan bidang multi media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia tidak ketinggalan. Kerajaan sedang berusaha membangunkan Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan kepada rakyat Malaysia sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Kehadiran teknologi multi media adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multi media. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di suratkhabar baru-baru ini menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi multi media dalam bidang pendidikan.

Hadirin yang budiman,
Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan multi media ini. Dunia hari ini heboh tentang ‘e-niaga’ atau ‘e-commerce,’ cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa Melayu sebagai emel!). Kini ‘www.sesuatu.com.my’ bukan lagi satu perkara yang baru. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam negara malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di suratkhabar yang mengkhabarkan seorang surirumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui emel! Justeru, jelas bahawa perkembangan multi media membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Hadirin yang dimuliakan,
Di samping itu, kemajuan multi media juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan multi media secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya emel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan multi media. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates (Microsoft Corporation), insan terkaya di dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multi medianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat pembangunan seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa pembangunan multi media membolehkan Malaysia “berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah” dengan negara-negara maju yang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan berbagai-bagai kaum. Bukankah multi media satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Hadirin sekalian,
Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku. Inilah aspek negatif internet yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan belia. Dari sini juga lah aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.

Hadirin yang dikasihi,
Selain itu, jika perkembangan multi media tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan agama yang disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi menwujudkan huru-hara di dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Oleh itu, kesan negatif multi media yang boleh mengheret rakyat ke kancah perang sivil dan kaum wajiblah dielakkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.
Sekian, terima kasih.

Saturday, July 23, 2011

TATABAHASA : KATA PENGUAT

LUKISAN INI SANGAT CANTIK

Kata penguat
1) Kata penguat bertugas menguatkan maksud kata adjektif.
2) Kata penguat boleh hadir sebelum atau selepas kata adjektif.
3) Berdasarkan pada kedudukan ini, kata penguat terbahagi kepada tiga jenid iaitu kata penguat hadapan, kata penguat belakang dan kata penguat bebas.
Kaji contoh-contoh di bawah dengan teliti:
Jenis kata penguat
kata penguat
contoh penggunaan
Hadapan
paling, terlalu, agak
-Awak yang paling pintar dalam kelas ini.
-Teknik yang awak gunakan untuk menyelesaikan rumus Matematik itu terlalu rumit.

Belakang
sekali, benar, nian
-Permata yang termahal sekali diletakkan di ruangan khas itu.
-Tanpa kebenaran ketua, awak telah bercuti lama benar.

Bebas
amat, sangat, sungguh
-Hujan lebat amat
-Hujan amat lebat
-Badang kuat sangat
-Badang sangat kuat
-Ibu letih sangat semalam.
-Semalam ibu letih sangat.

KARANGAN PMR : KARANGAN JENIS BERCERITA (PENGALAMAN BERKELAH)



Anda telah dibawa oleh ayah dan ibu anda ke satu tempat perkelahan yang menarik. Ceritakan pengalaman anda itu.

Contoh Jawapan
Sebenarnya saya memang suka berkelah di tepi pantai kerana ingin mengalami perasaan ditiup angin sepo-sepoi bahasa yang sejuk nyaman itu. Jadi, apabila ayah dan ibu memberitahu bahawa mereka merancang untuk membawa saya ke pantai Port Dickson, saya berasa begitu bersemangat untuk ke sana. Hati saya begitu ceria menanti saat tersebut malah saya tidak sabar sebenarnya.
Perjalanan ke sana dari Kuala Lumpur hanya mengambil masa sejam lebih sahaja. Entah sama ada perasaan gembira saya atau sebab yang lain, perjalanan ke pantai begitu pantas berlalu. Sekelip mata saya sudah berada di tepi pantai bersama-sama ayah dan ibu. Orang ramai juga sudah berkerumun di tempat-tempat strategik untuk menikmati suasana yang nyaman itu. Hati semua nampak girang belaka.
Ayah dan ibu menyuruh saya membentangkan plastik besar untuk dijadikan tempat alas kami duduk berehat. Kerja itu saya dilakukan dengan penuh kepatuhan. Tangan saya memastikan tidak ada pasir pantai yang melekat di atas alas plastik itu. Kemudian, ibu meletakkan beberapa bekas makanan dan minuman manakala ayah segera membuka makanan itu. Kami segera menikmati hidangan yang sudah dimasak oleh ibu itu.
Sambil makan, ayah dan ibu bertanyakan saya tentang pelajaran di sekolah. Saya memberitahu bahawa pelajaran saya tiada masalah begitu juga dengan hubungan kawan-kawan yang lain. Ayah dan ibu mengambil kesempatan masa bersantai di pantai ini untuk berinteraksi dengan saya. Mereka juga memberitahu bahawa mereka mahu saya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran kerana peperiksaan semakin hampir. Saya mengangguk kepala tanda faham dan bersetuju.
Setelah selesai makan ibu menyuruh saya berjalan di sepanjang pantai itu sementara ibu dan ayah duduk berbual antara mereka. Saya bersetuju dan mula mengatur langkah dengan penuh gembira. Sambil berjalan saya melihat pelbagai telatah pengunjung bersama-sama keluarga mereka. Ada yang sedang bermain bola, ada yang mendengar radio sambil baring dan ada yang kejar mengejar antara kawan. Pada masa yang sama saya juga mendengar suara-suara gelak ketawa antara mereka itu. Alangkah bagusnya jika setiap hari begini kata hati kecil saya.
Kami berada di pantai itu hampir tiga jam sebelum menaiki kereta semula untuk menuju ke kota raya. Di dalam kereta ayah sempat bertanya kepada saya tentang perasaan saya. Lalu, saya memberitahu bahawa saya begitu gembira kerana muka saya dihembus oleh tiupan angin laut yang begitu saya suka selama ini. Mak dan ayah hanya ketawa sahaja apabila mendengar kata-kata saya itu. Saya pula tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepada ayah dan ibu di dalam hati saya kerana membawa saya ke pantai.

Monday, July 18, 2011

KARANGAN PMR & SPM : LANGKAH MENGATASI PENGAMBILAN MAKANAN SEGERA



Dalam meniti arus pemodenan masa ini, isu berkenaan amalan gaya hidup sihat kerapkali diperkatakan oleh masyarakat dinegara kita .Perkara yang menimbulkan kemusykilan kepada kita adalah mengapakah amalan gaya hidup sihat ini hanya dijadikan mainan di bibir sahaja walhal realitinya mereka tidak langsung mempraktikkan amalan ini?Adakah kehadiran makanan segera yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan ini menutup ruang governan bagi melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat?Segala persoalan ini senantiasa berlegar-legar dalam benak fikiran kita tanpa disusuli sebarang jawapan. Oleh itu, apakah cara-cara yang boleh dilakukan bagi menbendung isu ini?
Antara langkah untuk mengurangkan pengambilan makanan segera dalam kalangan masyarakat di Malaysia bagi melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat ialah ibu bapa haruslah mendidik, memantau serta mengawal kadar pengambilan makanan segera anak-anak mereka. Hal ini berlaku demikian kerana dalam era yang meletakkan kerjaya sebagai keutamaan ini, ibu bapa perlu menitikberatkan soal pemakanan anak-anak mereka walaupun sibuk mengurus kerjaya. Lantaran itu, anak-anak akan kurang mengambil makanan segera kesan daripada didikan ibu bapa mereka seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat. Tamsilnya, ibu bapa perlu memberitahu anak-anak mereka tentang kebaikan dan keburukan makanan segera bagi jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Oleh itu, didikan, pemantauan serta kawalan daripada ibu bapa merupakan langkah bijak bagi melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat.
Selain itu, alternatif lain bagi mengurangkan pengambilan makanan segera dalam kalangan masyarakat di Malaysia untuk melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat ialah pihak sekolah haruslah memastikan makanan-makanan yang dijual di kantin sekolah mereka berzat dan bukannya makanan segera. Hal ini berlaku demikian kerana sebilangan pihak pengurusan kantin yang sengaja menjual makanan segera bagi menarik perhatian para pelajar sekaligus melariskan jualan mereka ini akan sentiasa beringat untuk memenuhi peraturan yang dikenakan ke atas mereka berkaitan penyediaan juadah yang di jual. Justeru, kesusahan mendapatkan sumber makanan segera akan menyebabkan para pelajar memperoleh makanan yang berkhasiat sekaligus mereka dapat mengamalkan gaya hidup sihat. Sebagai contoh, guru besar atau pengetua sesebuah sekolah perlulah mengetahui makanan-makanan yang di jual di kantin sekolah serta mendapatkan maklum balas para pelajar terhadap makanan-makanan tersebut. Oleh itu, sikap tanggungjawab pihak sekolah amatlah diharapkan bagi melahirkan generasi yang mengamalkan gaya hidup sihat.
Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlulah mengehadkan pengeluaran makanan segera dalam industri pembuatan makanan segera sebagai satu langkah bijak dalam menangani isu ini. Hal ini berlaku demikian kerana pengambilan makanan segera yang terlalu kerap boleh membunuh harapan kerajaan bagi melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat. Impaknya, kawalan pengeluaran makanan segera akan menjadikan masyarakat lebih mengutamakan pengambilan makanan ruji dalam kehidupan harian mereka walaupun sibuk mengurus kerjaya. Tamsilnya, kerajaan perlulah menetapkankan kuota pengeluaran makanan segera bagi sesebuah kilang dalam industri pembuatan makanan segera ini. Oleh itu, sokongan kuat daripada kerajaan juga amat penting bagi mengurangkan pengambilan makanan segera dalam kalangan masyarakat Malaysia untuk melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat.
Konklusinya, jelaslah bahawa terdapat pelbagai kaedah bagi menangani isu ini daripada terus terbiar tanpa ada penyelesaiannya. Dengan demikian, individu itu sendiri perlulah pandai mengawal diri daripada godaan makanan segera yang banyak menerjah pasaran masa ini. Sekiranya semua pihak bergerak dengan lebih efisien, sudah pasti isu pengambilan makanan segera yang bersangkut paut dengan gaya hidup sihat masyarakat Malaysia masa ini akan dapat diatasi dengan mudah.Jelaslah, kerjasama serta komitmen semua pihak amat penting dalam menangani sesuatu masalah dan tidak boleh menuding jari kepada sebelah pihak sahaja. Bak kata pujangga bestari, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

KARANGAN PMR & SPM : PUNCA DAN KESAN PENGAMBILAN MAKANAN SEGERA



Makanan proses atau lebih mudah dipanggil makanan segera kurang baik untuk kesihatan. Ini kerana ia mengandungi hanya sedikit khasiat pemakanan. Jika dijadikan hidangan yang dinikmati sekali-sekala, makanan itu kurang memudaratkan. Tetapi jika terlalu kerap diambil, ia boleh menimbulkan kesan buruk dari segi pemakanan. Tanpa disedari, ia akan mendedahkan seseorang kepada pelbagai penyakit. Antaranya ialah kerosakan gigi, sembelit, obesiti dan tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, penyakit jantung malah mungkin kanser usus besar.
Apakah makanan proses atau manakan segera ini? Makanan proses atau segera adalah komponen makanan yang boleh dimakan terus tanpa perlu memasaknya terlebih dahulu. la mungkin makanan dalam tin, makanan berasaskan corak pemakanan barat seperti burger dan hot dog, makanan sejuk beku dan sebagainya.
Keperluan kepada makanan segera begini semakin ketara hari ini kerana masyarakat kini lebih cenderung untuk bergerak cepat setiap masa. Bebanan kerja dan ingin melakukan segala-galanya dengan pantas mendorong sebilangan orang menjadikan makanan segera sebagai pilihan. Lagi pun makanan segera begini cukup mudah untuk diperolehi . Kunjungi sahaja mana-mana restoran 'fast food', pesan makanan yang digemari dan tidak sampai lima minit hidangan akan sampai terus ke meja.
Bagi makanan dalam tin atau sejuk beku pula, orang ramai boleh membelinya secara pukal di pasaraya. Jika tiada masa, makanan itu dibuka dan dimakan terus atau dipanaskan sekejap. Dalam masa tidak sampai dua minit, makanan boleh terus dijamah. Berbeza dengan cara biasa yang selalu dilakukan, kita mengambil masa tidak kurang setengah jam untuk mulai menanak nasi, menumbuk sambal dan menggoreng ikan.
Makanan segera banyak aditif
Salah satu sebab mengapa makanan segera kurang baik untuk kesihatan ialah kerana kandungan aditifnya yang berlebihan. Aditif adalah bahan kimia yang dicampurkan ke dalam makanan dan ubat-ubatan bagi tujuan meningkatkan kualiti, menambahkan keenakan dan memantapkan kesegaran. Penggunaan aditif sebenarnya bermula sejak ratusan tahun lalu. Aditif yang bertindak sebagai pewarna telah digunakan untuk memberi warna kuning kepada mentega sejak kurun ke-14 lagi.
Contoh lain aditif ialah bahan-bahan campuran yang diberi nama huruf awal "E", seperti E101 (Riboflavin), E123 (Amaranth), E211 (Natrium Benzoate), E249 (Kalium Nitrit), E322 (Lesitin) dan sebagainya. Selain itu, Lemak Berlebihan
makanan segera ini lazimnya banyak mengandungi perasa seperti monosodium glutamate (MSG). Pada asalnya, bahan ini diasingkan daripada sejenis rumpai laut. Sekarang MSG boleh diperoleh daripada kanji, gula, jagung, tebu atau lobak bit. Kesan sampingan yang sering dikaitkan dengan MSG adalah pelbagai. Tanda-tanda sindrom ini termasuk panas badan di bahagian tengkuk dan belakang tubuh, serta perasaan tertekan di bahagian dada dan muka. Walaupun demikian, kajian saintifik gagal membuktikan bahawa kesemua gangguan-gangguan ini disebabkan secara langsung oleh MSG. Sebaliknya kajian tersebut mendapati kesan sampingan buruk hanya dialami segelintir pengguna yang alah terhadap MSG. Justeru itu MSG tetap dianggap selamat dan sesuai digunakan sebagai aditif makanan.
Selain itu, makanan segera sangat terkenal dengan kandungan lemaknya yang berlebihan. Sebagai contoh, sebiji burger mengandungi sebanyak 35% atau mungkin lebih lemak. Manakala, kentang goreng dikatakan lebih baik dari segi khasiat daripada ban yang diperbuat daripada tepung putih halus tetapi ia direndam dalam lemak, biasanya lemak tepu yang menggalakkan penyakit jantung di antara 11 dan 16 g lemak. Bagi keju yang dihiaskan di atas makanan, ia bermakna lebih banyak lemak. Malahan ia bukanlah keju sebenar tetapi cebisan-cebisan keju bercampur garam, gula, pengemuisi, asid laktik, pengawet, pewarna dan bahan penambah lain. Lemak dan garam yang berlebihan pula boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengannya.
Tiada Zat
Ramai yang tidak menyedari bahawa makanan segera hanya mengandungi hanya sedikit kalori dan tiada zat. la mampu mengenyangkan perut dan memberi bahan bakar untuk digunakan oleh tubuh. Bagi kanak-kanak, pengambilan kalori kosong sebagai makanan snek boleh menyebabkan kurang selera terhadap makanan lain yang mempunyai khasiat yang banyak dan sangat diperlukan oleh badan. Kanak-kanak perlu dielakkan memakan makanan yang manis seperti kek, gula-gula dan air sirap, air berkarbonat kerana ia tidak mengandungi kalori. Makanan begini hanya mengisi ruang perut mereka sahaja dan ini menyebabkan mereka menolak manakan berkhasiat lain.
Untuk menunjukkan kepada anda kandungan sebenar makanan segera, di sini disenaraikan makanan ringan (snek) yang biasa anda pesan di sesebuah restoran:
Burger daging:
Mengandungi 4 gram lemak tulen. la membekalkan protein, zat besi, vitamin B12. Sedikit serat tetapi banyak penambah kimia.
Ayam goreng:
Kaya dengan lemak (hampir 60% kalori diperoleh dari lemak). Banyak garam. la membekalkan protein, niasin dan vitamin B6. Bahan yang menyalutkannya mengandungi MSG dan pewarna kimia.
Kentang goreng:
Ubi kentang membekalkan protein dan vitamin C. Terlalu banyak lemak dan garam. Warna keemasannya adalah tiruan.
Susu kocak;
Susu ini bercampur udara dan air. Proses ini memerlukan bahan pemekat kimia, penstabil dan pengemuisi. la juga mengandungi perisa dan pewarna kimia. Susu membekalkan protein dan kalsium dan lapan sudu teh gula di dalam bekas yang sederhana besarnya.
Minuman berasaskan Kola:
Amat kaya dengan gula (bekas besar mengandungi 14 sudu teh gula. Pewarna kimia dan kafein. Nilai makanannya kosong.
Garam
Secara purata seseorang itu memeriukan tidak lebih daripada lima gram atau satu sudu teh sehari. Kebanyakan jumlah ini terdapat di dalam makanan secara semula jadi. Menurut satu kajian oleh Suruhanjaya Makanan London, sebiji burger boleh mengandungi dua hingga tiga gram garam.

Gula
Kebanyakan makanan segera amat manis. Bahan pemanis berkalori rendah aspartam, pernah dilaporkan membawa kesan sampingan mudarat kepada pengguna. Tetapi pemerhatian berterusan pihak Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat selama lebih sepuluh tahun gagal memperoleh bukti kukuh tentang kesan bahaya bahan ini. Demikian juga halnya dengan sesetengah aditif makanan yang dicampurkan ke dalam makanan ringan untuk kanak-kanak dan remaja.
Serat
Serat terkandung di dalam buah-.buahan, sayur-sayuran, bijirin dan kekacang yang memainkan peranan penting di dalam perut. Sesetengah serat melegakan sembelit atau baik dalam penyerapan kolesterol, dengan itu membantu mengurangkan kolesterol di dalam darah. la juga membantu mencegah penyakit jantung dan sesetengah kanser terutamanya usus. Makanan segera begitu banyak diproses dan ia hampir tidak mengandungi serat. Serat tidak terdapat di dalam burger ikan dan ayam. Ban biasanya kurang serat, jika ia berwarna putih dan manis. Hanya ban yang mengandungi kepingan-kepingan salad sahaja yang mengandungi sedikit serat.
Vitamin dan zat galian
Jangan terpedaya dengan dakwaan tentang vitamin dan zat galian di dalam makanan segera. Memang benar bahan-bahan itu terdapat di dalamnya tetapi tidak mencukupi memandangkan sejumlah besar lemak, garam dan kalori anda makan pada masa yang sama. Terdapat sedikit zat besi di dalam burger, kalsium di dalam keju dan susu, vitamin C di dalam kentang goreng. Namun, kandungan semua zat pemakanan ini tidak mencukupi dan terlalu sedikit.
Kesimpulannya, makanan segera bukanlah pilihan makanan yang terbaik kerana kandungannya yang tidak berkhasiat. Sebaliknya, kita semua digalakkan memakan makanan yang segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dimasak lama. Ini lebih menyihatkan dan baik untuk kesihatan manusia dalam jangka masa yang panjang.

Friday, July 15, 2011

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN BAHASA MELAYU TINGKATAN 4

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN

                                                  
Tingkatan                               :  4 Bijak

Bilangan Pelajar                    :  36 orang

Tarikh                                     :  17 Mac 2011

Masa                                       :  9.50 - 10.30 pagi (40 minit)

Mata Pelajaran                      :  Bahasa Melayu

Tema                                      :  Teknologi Maklumat

Tajuk                                      :  Internet : Memudahkan atau memudaratkan

Bidang                                    :  Maklumat

Hasil Pembelajaran
Huraian Hasil Pembelajaran

HPU

4.0  Membuat pertimbangan untuk mencapai keputusan.

HPK

4.2  Menjelaskan dan membuktikan pertimbangan secara rasional dan adil untuk meyakinkan pihak yang terlibat.


Aras 1 (ii)

Menganalisis dan menentukan pilihan berdasarkan aspek yang tertentu.





Objektif Hasil Pembelajaran:

Pada akhir pelajaran, pelajar dapat menghuraikan dua kesan penggunaan internet yang memudahkan dan dua lagi kesan pengunaan internet yang boleh memudaratkan.

Pengetahuan/Kemahiran sedia ada

  • Pelajar pandai menggunakan komputer
  • Pelajar pernah melayari internet

Penyerapan

  • Nilai murni                   :           Pembelajaran sepanjang hayat dan kerjasama.

  • Ilmu                             :           Pengetahuan.

  • KBKK                          :           Menjana idea – pelajar melakukan sumbang saran bagi  
                                                            memperoleh idea yang bernas.

Penggabungjalinan

·         HHP                            :           2.3 Aras 1 (ii) 
                                                Menghubungkaitkan topik dengan pengalaman dan  
                                                pemerhatian untuk mengemukakan idea yang bernas.

·         Kemahiran Bahasa     :           Bertutur – Berhujah mempertahankan pendapat.

·         Kosa Kata                   :           Penggodam, laman,salinan lembut dll.