ISU-ISU TERKINI

JANA PENDAPATAN

Sunday, August 7, 2016

LANGKAH-LANGKAH MENINGKATKAN PRESTASI SUKAN NEGARA-KARANGAN BM STPM PENGGAL 1

              Sukan bukan sahaja menjamin kesihatan, malah memupuk semangat kesukanan dan mengharumkan nama ahli sukan serta negara. Kini, bidang sukan penuh dengan persaingan hebat. Tanpa persediaan yang secukupnya, agak sukar bagi ahli sukan bersaing di arena antarabangsa. Oleh itu, langkah penggunaan perubatan yang melibatkan penjagaan kesihatan, rawatan kecederaan, dan makanan seimbang dalam lapangan sukan amat penting. Namun langkah-langkah lain perlu diberi perhatian untuk meningkatkan prestasi ahli sukan.

            Langkah memanfaatkan perubatan moden memang telah meningkatkan prestasi ahli sukan. Penyediaan makanan yang seimbang bersandarkan keperluan ahli sukan merangsang prestasi mereka. Minuman isotonik, vitamin, dan ramuan khas (jamu) dapat memperkuat daya tahan dan tenaga ahli sukan. Minuman ini dapat mengelakkan keletihan dan membekalkan tenaga baharu. Ubat-ubatan moden seperti steroid dan dadah yang diizinkan juga telah memperkuat otot-otot ahli sukan. Masalah kecederaan, misalnya ketegangan otot dan ligamen terkoyak, dapat diatasi dengan mudah melalui rawatan fisioterapi. Perubatan yang terkini telah membantu ahli sukan memulihkan kecederaan mereka dalam masa yang singkat untuk cabaran seterusnya.

            Percaturan politik dalam persatuan-persatuan sukan juga harus dibanteras demi kemajuan sukan. Punca utama kemerosotan mutu sukan kita ialah kekurangan kerjasama antara Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dan persatuan-persatuan sukan. Percaturan politik dalaman seperti perebutan kuasa dan jawatan juga menjejaskan mutu sukan. Masa, tenaga, dan wang dibazirkan kerana perebutan yang sia-sia ini. Terdapat pemimpin yang sudah lewat usianya memegang tampuk selama berpuluh-puluh tahun tanpa membawa sebarang perubahan dan kemajuan kepada bidang sukan tersebut. Mereka juga enggan memberikan laluan kepada orang baharu. Keadaan ini haruslah dibetulkan jika kita mahu memajukan sukan tanah air. Tegasnya, keutuhan persatuan sukan juga penting.

            Peningkatan prestasi ahli sukan juga dipengaruhi oleh kemudahan latihan yang lengkap. Jurulatih yang profesional dapat memberikan tunjuk ajar yang bernas. Untuk tujuan itu, kita misalnya telah mengupah jurulatih dari China dan Denmark dalam sukan badminton, jurulatih Rusia dalam sukan gimnastik, dan jurulatih Bulgaria dalam sukan angkat berat. Peralatan yang lengkap lagi canggih telah meningkatkan prestasi ahli sukan. Stadium tertutup membolehkan latihan dijalankan tanpa dipengaruhi cuaca, misalnya pembinaan velodrom dan gelanggang badminton amat membantu dalam latihan sukan. Pendedahan kepada persaingan peringkat antarabangsa membolehkan ahli sukan mendapat pengalaman baharu. Perancangan skim latihan yang rapi juga penting untuk meningkatkan mutu sukan.

            Kita juga perlu menanam sikap berdedikasi dan semangat kental ahli sukan negara. Jika seseorang ahli sukan berbakat, sanjungan tinggi akan diberikan kepadanya. Insentif dan ganjaran melimpah sentiasa menunggunya. Namun tanpa dedikasi, tekad, dan azam, mutu persembahan mudah luntur dan tidak dapat bertahan lama. Misalnya, pelibatan pemain bola sepak semipro dalam gejala rasuah di Malaysia telah menyebabkan mutu bola sepak negara merosot. Sebaliknya, bekas ahli sukan negara seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Tan Aik Huang, Abdul Malek Noor, dan Nurul Huda Abdullah mempunyai semangat kental. Mereka berlatih dengan gigih dan berdedikasi untuk mengharumkan nama Malaysia dalam sukan.

            Pemberian insentif yang tidak keterlaluan turut meningkatkan prestasi atlet. Insentif ini diberikan dalam bentuk wang atau peluang tertentu. Banyak ahli sukan kita terpaksa bersara ketika prestasi mereka memuncak kerana mementingkan kehidupan masa depan mereka. Sesetengahnya pula tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya dalam sukan kerana terpaksa bekerja menyara keluarga. Oleh itu, insentif kewangan, lesen perniagaan, dan sebagainya akan menggalakkan ahli sukan menumpukan perhatian dalam sukan kerana mereka tidak perlu bimbang tentang masa depan mereka. Akan tetapi, insentif wang yang berlebihan sehingga ahli sukan menjadi jutawan akan menyebabkan ahli sukan hidup mewah lalu hilang semangat berjuang.

            Tegasnya, langkah badan-badan sukan menerapkan kemajuan dalam bidang perubatan telah menjulang mutu sukan negara ke tahap yang lebih tinggi. Akan tetapi, penyalahgunaan ubat-ubatan haram juga dapat menjahanamkan mutu sukan. Oleh itu, langkah menerapkan perancangan yang bersepadu menjadi tunjang kejayaan para atlet dalam lapangan sukan.




                                                               (610 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment