ISU-ISU TERKINI

JANA PENDAPATAN

Wednesday, March 16, 2011

BAHASA CAKAP MULUT

Pada hari ini, terdapat seorang pelajar yang menggunakan bahasa cakap mulut semasa membuat pembentangan dalan kelas Semantik dan Pragmatik. Dia bertanya seperti berikut:
i) Macam mana kamu tahu bahawa hiponim sama maksud dengan hipernim?


Komen:
Bahasa basahan juga disebut sebagai bahasa kolokial. Za'aba menggelar bahasa ini sebagai bahasa cakap mulut. Merupakan bahasa pertuturan harian dalam konteks tidak rasmi. Klausa “macam mana” tidak sesuai digunakan dalam situasi formal. Sepatutnya adalah seperti berikut:
i) Bagaimana kamu tahu bahawa hiponim sama maksud dengan hipermin?

Tuesday, March 15, 2011

BUDAYA SALING "MEMAAFKAN"

Pada hari ini, saya pergi ke pekan untuk membeli barang. Semasa asyik membeli belah, saya terpijak kaki seorang lelaki. Saya lekas memohon maaf kepada lelaki tersebut. Ungkapan maaf tersebut tidak disambut dan tidak dipedulikannya sebaliknya dia terus pergi.
                                  
Komen:
Kita seharusnya memaafkan kesilapan yang dilakukan oleh orang lain. Sifat memaafkan orang lain merupakan sifat yang baik. Kadang-kala kesilapan yang dilakukan adalah secara tidak sengaja. Dalam hubungan sosial, kita harus bersifat terbuka dan jangan bersifat sombong serta mementingkan diri sendiri. Di samping itu, kita juga perlu ramah mesra dengan semua masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.


Monday, March 14, 2011

PENGARUH BAHASA LISAN SEMAKIN MENULAR

Pada hari ini, saya melakukan pembentang secara berkumpulan. Semasa membentangkan tugasan saya terpengaruh dengan bahasa lisan. Saya menyebut “di” sebagai “dekat”. Contohnya:
i) Siapakah dalam kalangan kamu suka mandi dekat sungai?

Komen:
Saya tahu bahawa saya salah menggunakan bahasa Melayu formal, namun saya selalu tersilap dan masih menggunakan perkataan tersebut. Saya sedaya upaya tidak menyebut perkataan “dekat” dalam pembentangan, namun masih berlaku juga.  Sepatutnya ayat yang sebetulnya adalah seperti berikut:
i) Siapakah dalam kalangan kamu suka mandi di sungai?
Dalam penulisan, saya dapat mengawal bahasa saya, namun jika saya bercakap, saya sukar untuk menggunakan bahasa Melayu tinggi. Sebagai seorang guru, saya juga sedaya upaya untuk menutup segala kelemahan saya. Saya berharap, rakan-rakan yang lain juga harus mengelakkan diri daripada menggunakan bahasa lisan dalam situasi formal.

Sunday, March 13, 2011

CINTA DAN BANGGA TERHADAP BAHASA MELAYU

Pada pagi ini, saya pergi ke pekan untuk mengambil duit di Bank Islam. Semasa sedang beratur, saya perhatikan orang yang sedang mengeluarkan duit tersebut. Saya adalah orang yang kedua selepas dia, iaitu saya berada di belakangnya. Saya perhatikan bahawa dia memilih bahasa Inggeris untuk melakukan mengeluaran duit. Selepas memilih bahasa Inggeris, saya dapati dia membatalkan urusniaganya. Dia mengambil semula kad ATM lalu memasukkannya semula. Selepas itu, dia memilih bahasa Melayu. Rupa-rupanya, dia kurang mahir menggunakan bahasa Inggeris.

Komen:
Inilah budaya yang berlaku di Malaysia, di mana kita terlalu mengagungkan bahasa Inggeris. Walaupun tidak pandai menggunakan bahasa Inggeris, namun tetap berlagak menggunakan bahasa tersebut. Sebagai warganegara Malaysia, kita harus bangga dengan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan kita. Kita martabatkan dan mengangkat bahasa Melayu agar bahasa kita menjadi bahasa antarabangsa seperti bahasa China dan bahasa Jepun.




Thursday, March 10, 2011

BAHASA MELAYU BERSIFAT FLEKSIBEL

Pada hari ini, saya telah membaca notis pemberitahuan yang telah dipaparkan oleh Prof. Abdullah Hassan dalam laman sesawang “Facebook”. Notis yang yang dipaparkan oleh beliau adalah seperti berikut:
 “Buku Dokumentasi Lama baru sedang dizeroks dan apabila siap ketua kumpulan akan dipanggil mengambilnya”.

Komen:
 Inilah pertama kalinya saya mendengar perkataan zeroks. Pada mulanya saya menyangka prof tersilap taip. Selepas itu, saya terus membuka sebuah kamus. Rupa-rupanya zeroks bermakna fotokopi Mungkin zeroks merupakan bahasa Melayu tinggi yang biasa digunakan oleh Prof Abdullah. Kita sebagai bakal guru seharusnya mengikut jejak beliau agar Bahasa Melayu tidak semakin berkembang dan mampu menjadi bahasa ilmu seperti mana bahasa lain misalnya bahasa Jepun. 

Wednesday, March 9, 2011

PERSAMAAN DIALEK DAN PERBEZAAN MAKNANYA

Semenjak bergelar mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pelbagai dialek yang saya telah pelajari. Satu pekara yang agak menarik ialah bahasa dialek. Terdapat satu perkataan yang sama membawa maksud yang berlainan. Contohnya perkataan “saing”. Jika kawan saya yang berasal dari Johor menyebut perkataan “saing” saya tahu bahawa dia ingin mengajak saya pergi bersama-sama. Sekiranya kawan saya berasal dari Kelantan menyebut perkataan tersebut, itu bererti saya adalah kawannya. Semasa semester satu dahulu saya agak keliru.

Komen:
Bahasa dialek sesuatu kawasan mempunyai perkataan yang sama, tetapi berbeza daripada segi makna perkataan tersebut. Kadang-kala bahasa dialek ini akan mengelirukan seseorang penutur yang bukan datangnya dari daerah yang sama. Sebaiknya kita haruslah belajar bahasa dialek dari negeri-negeri lain untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan. Inilah cabaran kita sebagai guru. Jika kita mengajar di Kelantan, kita harus memahami bahasa dialek Kelantan, begitu juga dengan sebaliknya.

Tuesday, March 8, 2011

BAHASA MENCERMINKAN PENUTURNYA


Pada hari ini, seorang rakan saya memulangkan buku yang telah dipinjamnya pada minggu lepas. Saya sangat kecewa dan agak sedih dengan rakan saya ini kerana dia tidak mengamalkan nilai berterima kasih. Selepas dia memulangkan buku tersebut dia tidak mengucapkan terima kasih dan terus beredar.

Komen:
Inilah budaya yang kita harus elakkan. Walaupun perkara tersebut agak remeh-temeh, tetapi ia sangat penting dalam perhubungan kita seharian. Jika kita sudah menggunakan dan meminjam barang orang lain, kita harus mengucapkan “terima kasih”. Bahasa mencerminkan jati diri penuturnya.

Monday, March 7, 2011

BUDAYA PEKERJA MALAYSIA

Setelah selesai kuliah di Proton City, kami bergegas ke parkir untuk menunggu bas yang bergerak ke Taman Bernam kerana kuliah sepelas ini berlangsung di situ. Kami agak lama menunggu bas kerana bas yang bergerak ke Taman Bernam tidak ada. Selepas itu, saya berjumpa dengan pemandu bas .

Saya                    :Tolongla encik...kami dah lewat ni...hantar lah kami ke Taman Bernam...
Pemandu Bas    : Ada aku kisah korang lambat ke tak?

Komen:
Itulah sikap pemandu bas di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Mereka betutur dengan cara yang tidak bersopan dengan pelajar. Malah sanggup melengahkan masa untu pergi menjamu selera dan sebagainya tanpa mengabaikan kepentingan kami sebagai pelajar yang harus mematuhi masa kuliah yang telah ditetapkan.

Saturday, March 5, 2011

ADAT DAN BUDAYA

Semasa saya beratur untuk mengambil duit di mesin pengeluaran wang di kolej, saya terdengar seorang pelajar perempuan yang beratur di depanku mengeluh. Saya terdengar perbualan pelajar tersebut bersama rakannya. Katanya, “Aduh, lembap betul orang depan tu ambik duit. Ingat dia sorang je ke nak ambik duit. Dah la panas ni, tak tengok ke ramai yang tengah beratur ini, takkan tak pandai baca” Saya yang berada di belakang hanya tersenyum dan menggelang. Saya berpendapat pelajar perempuan itu bercerita kepada kawannya mengenai seorang pelajar lelaki yang saya sendiri menyedari bahawa dia mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan wang, tetapi saya hanya bersabar.

Komen:
Hidup dalam dunia ini, kita seharusnya sentiasa bersabar dalam setiap keadaan. Pelajar lelaki tersebut mungkin mengalami masalah untuk mengeluarkan wang. Kita tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan. Kita sebagai bakal guru seharusnya mempunyai nilai kesabaran kerana kita bakal berhadapan dengan murid di sekolah. Jika kita tidak sabar, kemungkinan kita akan menghadapai masalah dengan sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

Friday, March 4, 2011

KEKELIRUAN BAHASA MEMPENGARUHI BUDAYA

Petang tadi adalah kelas Pengajaran Teknologi dan Penaksiran 2. Kami mempunyai tugasan makro iaitu mengajar mengikut situasi sebenar di sekolah tetapi dalam kalangan kami sendiri yang pura-pura menjadi murid. Dalam makro tersebut, terdapat seorang pelajar yang membuat pengajaran yang terikut-ikut dengan bahasa lisan. Arahannya berbentuk bahasa percakapan dalam situasi tidak formal. Contohnya, buat balik, ulang balik dan sebagainya.

Komen:
Perkara di atas berlaku kerana pengaruh daripada bahasa lisan yang digunakan oleh kita dalam perbualan sosial seperti di dalam rumah, di pasar, di luar kelas dan sebagainya. Dalam situasi formal, arahan seperti itu tidak digalakkan. Sepatutnya, klausa tersebut ditukar menjadi “buat semula”, ulang semula”. 

Thursday, March 3, 2011

MARTABATKAN BAHASA MELAYU

Oleh sebab saya terlalu sibuk dengan kuliah, maka hasil penulisan saya ini lebih kepada situasi yang berlaku di dalam bilik kuliah. Kadang-kadang dalam satu hari, jadul saya padat untuk kuliah. Situasi yang saya hendak kongsikan adalah pengaruh yang mengagungkan bahasa lain seperti bahasa inggeris. Dalam pembentangan tadi terdapat seorang pelajar yang menggunakan klausa “main game”.

Komen:
Inilah akibatnya mengagungkan bahasa lain sedangkan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu yang tinggi martabatnya. Perkataan “main” dalam bahasa Inggeris ialah “game”. Dalam situasi ini, penggunaan klausa tersebut lewah, yakni kedua-dua perkataan tersebut membawa maksud yang sama. Jika kita tidak menguasi bahasa inggeris, kita harus menggelakkan diri daripada menuturkannya. Sebagai orang Melayu tulen, kita seharusnya megah dengan bahasa Melayu dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Wednesday, March 2, 2011

PENGGUNAAN KATA PANGGILAN

Pagi tadi, semasa menunggu bas hendak pergi ke kampus, saya terdengar ada pelajar yang sedang berbual dengan rakannya menyebut “kita orang”. Kemudia saya teringat akan rakan yang telah membuat pembentangan dengan menggunakan perkataan “kita orang”.

Komen:
Ini adalah budaya yang semakin menjadi-jadi dewasa ini. Ramai dalam kalangan kita yang sudah terpengaruh dengan penggunaan perkataan tersebut. Apabila kita sudah terbiasa menggunakan perkataan ini dalam pertuturan, nescaya dalam situasi formalpun secara tidak langsung kita akan terkeluar perkataan tersebut. Sebagai seorang bakal guru, perkataan yang sepatutnya kita gunakan adalah “kami” dan hindarkan penggunakan perkataan “kita orang”.

Tuesday, March 1, 2011

BAHASA LISAN

Pada hari ini, situasi yang saya nak kongsikan bersama kamu semua mengenai perkataan “nak”. Perkataan “nak” hanya digunakan dalam lisan sahaja, yakni bahasa pertuturan sosial. Dalam pembentangan video tadi, terdapat satu kumpulan yang penggunakan perkataan “nak”.

Komen:
Penggunaan perkataan “nak” dalam situasi formal adalah salah kerana perkataan tersebut hanya sesuai digunakan dalam situasi tidak formal. Perkataan yang seharusnya ialah “hendak”.