ISU-ISU TERKINI

Monday, August 1, 2011

KARANGAN PMR & SPM : PERIBAHASA "BAGAI AUR DENGAN TEBING"

"BAGAI AUR DENGAN TEBING"
Pada pendapat anda, bagaimanakah konsep ini dapat diterapkan dalam masyarakat kini? Peribahasa “bagai aur dengan tebing” bermaksud perkaitan orang yang suka bertolong-tolongan dan saling melengkapi.

Contoh Karangan:

Peribahasa “bagai aur dengan tebing” bermaksud konsep tolong-menolong atau bantu-membantu amat penting dalam sesebuah masyarakat itu. Konsep ini semakin lama semakin hilang ketika negara menongkah arus perubahan dunia ini yang penuh cabaran. Lantaran itu, terdapat beberapa cara yang sesuai untuk merealisasikan konsep ini dalam kehidupan masyarakat kita.
Langkah awal ialah satu aktiviti yang melibatkan semua pihak dalam sesebuah kawasan setempat itu harus dilaksanakan dahulu. Penglibatan semua pihak yang mendiami sesuatu kawasan itu amat penting jika konsep ini hendak dipupuk dalam jiwa mereka. Maka, aktiviti yang bersepadu yang melibatkan semua ahli masyarakat boleh mencetuskan konsep tolong-menolong ini.

Selain itu, konsep peribahasa ini boleh juga dijalin menerusi kempen kesedaran yang dilaksanakan itu. Kempen yang melibatkan ceramah, pemberian brosur dan taklimat kepada masyarakat setempat akan peri pentingnya konsep ini mampu membuahkan hasil yang menguntungkan pula. Sebenarnya, kempen kesedaran ini boleh menggunakan media massa seperti televisyen untuk mencapai impak yang lebih luas.

Bukan sahaja mewujudkan satu aktiviti yang melibatkan semua pihak dan mengadakan kempen tetapi pemupukan konsep ini dalam jiwa pelajar terutama di peringkat sekolah rendah amat praktikal. Kanak-kanak lebih mudah untuk menerima dan mengamalkan konsep kerjasama ini jika mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang berunsur sedemikian ketika berada di sekolah. Justeru, pemupukan konsep bekerjasama ini di peringkat sekolah bakal menyaksikan berlakunya satu perubahan dalam minda masyarakat kita pada masa depan pula.

Malahan, usaha mengadakan karnival atau pesta di dalam kawasan perumahan turut mampu mencetuskan perasaan saling membantu ini. Keadaan ini berupaya diwujudkan kerana semua pihak saling mengenali jiran mereka dan mengamalkan konsep kerjasama ini dengan lebih baik lagi. Sesungguhnya, kekerapan bertemu dan berinteraksi antara ahli masyarakat di pesta atau karnival memungkinkan wujudnya amalan bekerjasama ini.

Kesimpulannya, konsep peribahasa ini memang boleh diamalkan di negara ini jika semua langkah di atas dilaksanakan segera. Kerjasama semua pihak terutama masyarakat amat diperlukan jika kita mahu konsep ini diamalkan dalam masyarakat. Peribahasa “berat sama dipikul ringan sama dijinjing” merupakan satu lagi peribahasa yang hampir serupa konsepnya yang membuktikan betapa amalan bekerjasama ini diutamakan oleh masyarakat kita dahulu.

1 comment:

  1. boleh tak minta tolong bagi contoh karangan peribahasa carik carik buluh ayam , lama lam bercantum juga?

    ReplyDelete