ISU-ISU TERKINI

JANA PENDAPATAN

Saturday, November 26, 2011

LAMAN SOSIAL SEPERTI "FACEBOOK" DAN "TWITTER" UNTUK TUJUAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA


Facebook dan Twitter merupakan laman sosial yang digilai ramai terutamanya golongan remaja. Dengan menggunakan laman sosial facebook atau twitter, kita boleh berkenalan dan berkomunikasi dengan ramai orang dari seluruh dan boleh mendapatkan maklumat terkini dengan mudah dan pantas. Penggunaan laman sosial ini juga sangat efisien. Pelbagai aplikasi yang dimuatkan dilaman sosial ini dan memberi manfaat kepada pengguna seperti boleh menghantar pesanan kepada rakan dengan pantas, membuat paggilan video dan sebagainya. Laman sosial seperti facebook dan twitter bukan sahaja medan untuk bersosial dan berhibur sahaja, tetapi laman sosial ini boleh dijadikan medan untuk pelbagai tujuan. Bagi ahli-ahli perniagaan misalnya boleh menarik pelanggan untuk membeli produk atau perkhidmatan mereka menggunakan laman sosial ini. Perkembangan semasa yang berlaku sama ada di dalam dan di luar negara juga dapat diketahui dengan pantas melalui status rakan-rakan atau laman yang telah disambungkan dengan akaun kita misalnya akhbar online dan blog.

Bagi seorang guru pula, mereka boleh memanfaatkan laman sosial yang diminati ramai ini untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Saya percaya, dalam era teknologi maklumat yang semakin pesat ini, boleh dikatakan ramai pelajar sekarang sudah memiliki akaun facebook atau twitter. Mereka sudah pandai menggunakan komputer dan mengakses internet sendiri walaupun baharu sahaja berada di sekolah rendah. Tambahan pula, di kebanyakan sekolah menengah misalnya, ramai para pelajar telah dibekalkan dengan komputer riba kecil sendiri. Pelajar yang mempunyai jaringan internet di rumah, sudah tentu boleh melayari laman sosial dengan mudah di rumah dan tidak perlu ke kedai komputer. Laman sosial seperti facebook dan twitter sebenarnya salah satu media pengajaran yang berkesan yang boleh digunakan sebagai satu medium dan ruangan interaksi antara guru dan pelajar selain di bilik darjah.

Pada pendapat saya, seorang guru perlu mengambil kira minat dan kecenderungan pelajar kerana apa yang dilihat dalam situasi kini, para pelajar sentiasa ada masa dan sangat berminat untuk mengikuti dan melayari laman sosial seperti facebook dan twitter. Jadi, apa salahnya jika guru menjadikan laman sosial tersebut sebagai laman untuk tujuan pengajaran dna pembelajaran. Bagi seorang guru bahasa Melayu, laman sosial ini boleh digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran bahasa. Laman sosial ini boleh digunakan sebagai tempat untuk berdiskusi, membuat tutorial dan menimba ilmu. Contohnya, sebagai langkah pertama, guru boleh membuat kumpulan untuk setiap tingkatan yang diajar dan menambah pelajar-pelajar di dalam kelas yang sama di dalam kumpulan tersebut. Bagi kelas yang berlainan, perlu dimasukkan dalam kumpulan yang berlainan kerana tahap kefahaman secara puratanya adalah berbeza-beza mengikut kelas. Di dalam kumpulan tersebut, guru boleh memuat turun bahan pengajaran sama ada berkaitan tatabahasa, pemahaman, karangan atau KOMSAS ke dalam kumpulan tersebut. Bukan sahaja bahan pengajaran tersebut disediakan sendiri oleh guru, tetapi guru juga boleh mendapatkan pelbagai bahan pengajaran di dalam internet terutamanya di dalam laman web pendidikan atau blog-blog berkaitan. Guru juga boleh menghubungkan bahan yang terdapat di dalam mana-mana laman web pendidikan atau blog berkaitan dengan kumpulan tersebut. Para pelajar boleh memanfaatkan bahan tersebut bagi menambahkan lagi ilmu mereka tentang sesuatu topik pembelajaran. Cara ini merupakan cara yang mudah dan berkesan kerana bukan mudah untuk melihat seseorang pelajar mencari sendiri maklumat tambahan di dalam internet. Tetapi jika guru menghubungkan terus bahan pengajaran tersebut di dalam laman sosial, kecenderungan pelajar untuk membaca bahan tersebut lebih besar.

Selain memuat turun bahan pengajaran, guru boleh memberikan latihan kepada pelajar sebagai aktiviti pengukuhan diluar bilik darjah bagi memantapkan dan menguji kefahamn pelajar. Contohnya, guru boleh memberikan soalan-soalan berbentuk kefahaman seperti meminta pelajar memberikan maksud peribahasa, maksud rangkai kata, memberikan pendapat dan sebagainya. Melalui laman sosial ini juga, guru boleh memuat turun video-video berkaitan untuk tujuan pembelajaran. Latihan-latihan yang diberikan di dalam laman sosial lebih mudah untuk pelajar dan guru kerana pelajar boleh menjawab terus dan guru juga boleh memberikan penilaian terus kepada pelajar. Penggunaan laman sosial dapat mewujudkan satu suasana pembelajaran yang aktif. Hal ini kerana ada pelajar yang agak pasif di dalam kelas kerana kurang keyakinan untuk bercakap di hadapan rakan-rakan mereka menjadi aktif melalui pembelajaran melalui laman sosial kerana mereka boleh memberikan pendapat dan berkomunikasi di alam maya tanpa perlu bersemuka dengan rakan-rakan atau guru. Pelajar juga bebas memberikan pendapat dengan pantas dengan hanya menekan butang ‘komen’.

Kesimpulannya, laman sosial seperti facebook dan twitter boleh dijadikan sebagai satu media pengajaran yang berkesan sesuai dengan perkembangan teknologi semasa. Penggunaan laman sosial ini menyediakan suasana pembelajaran yang pelbagai di mana belajar boleh bersosial dan dalam masa yang sama dapat menimba ilmu pengetahuan. Pembelajaran sebegini sangat santai dan tidak membosankan pelajar malahan boleh memupuk minat pelajar terhadap budaya ilmu.

No comments:

Post a Comment