Penggunaan aplikasi rangkaian sosial pula telah menular
sehingga telah menjadi satu perkara yang wajib
bagi sebahagian besar pengguna
internet di seluruh dunia. Menurut catatan penyelidik di Bahagian Penyelidikan
Keselamatan Siber dan Polisi, CyberSecurity Malaysia, sehingga kini terdapat
sebanyak 170 rangkaian sosial interaktif yang terkenal dan aktif digunakan di
seluruh dunia seperti Facebook, Twitter dan MySpace. Laman web sosial juga boleh digunakan untuk
pelbagai tujuan, salah satunya adalah untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Caroline dan Terri (2009), amat penting bagi guru
untuk memperkenalkan rangkaian sosial kepada pelajar. Sebagai tugasan elektif,
guru boleh meminta pelajar untuk membuka akaun Facebook dan Twitter sendiri
kemudian menjadi kawan kepada kumpulan yang guru bina untuk para pelajar.
Dengan membina peralatan dalam struktur sosial Facebook atau Twitter akan
mengalakkan lebih banyak interaksi antara guru dengan pelajar. Kemudian, guru
boleh memuat naik tugasan atau bahan pengajaran untuk pelajar ke dalam laman
sosial tersebut. Dengan ini, pelajar akan memberikan maklum balas tentang
jawapan atau masalah yang mereka hadapi dalam menyelesaikan masalah serta
merta. Pelajar akan mendapat jawapan dari keraguan yang mereka hadapi dalam
subjek tersebut terus menerus dari gurunya tanpa perlu menunggu dalam jangka
masa yang lama. Misalnya, guru memuat naik sebuah video mengenai kemalangan
jalan raya dan meminta pelajar secara berkumpulan untuk memberi ulasan atau
pandangan tentang punca-punca berlakunya kemalangan jalan raya . Pelajar juga
dikehendaki memberi komen terhadap pandangan atau pendapat kumpulan lain.
Dengan wujudnya kaedah ini secara tidak langsung dapat merangsang pelajar yang
pasif dan sukar untuk memberi idea atau bercakap semasa di dalam kelas. Mereka
akan mudah terangsang dan teruja untuk memberi idea dan pandangan sekiranya ada
dalam kalangan rakan-rakan mereka memberi komen mengenai sesuatu isu yang telah
dibangkitkan oleh guru.
Selain itu juga, guru boleh menyampaikan maklumat dan bahan
pengajaran berguna kepada pelajar, secara pantas maklumat tersebut diterima
oleh pelajar. Dengan ini, dapat melahirkan pelajar yang berkemahiran menggunakan
ICT dan laman sosial serta berdikari menyelesaikan masalah pembelajaran dan
tugasan mereka. Oleh itu, penggunaan laman
sosial dalam pembelajaran bahasa
menjadikan P&P lebih bermakna dan menyeronokkan. Tambahan pula, selaras
dengan perkembangan ICT bagi membolehkan
pelajar mengakses maklumat mengikut masa dan kebebasan pelajar mereka sendiri.
Keadaan ini secara tidak langsung akan menggalakkan proses penambahan dan
percambahan ilmu pengetahuan.
No comments:
Post a Comment