ISU-ISU TERKINI

JANA PENDAPATAN

Saturday, November 26, 2011

PENGGUNAAN "FACEBOOK" DAN "TWITTER" UNTUK TUJUAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA.


‘Facebook” dan “Twitter” merupakan dua buah laman sosial yang mempunyai pelanggan jutaan manusia. Pelanggan-pelanggan tersebut termasuklah juga dari golongan remaja. Sangat sukar untuk menemui remaja yang tidak mempunyai laman sosial sendiri. Pada masa kini, laman sosial seakan-akan sudah menjadi satu keperluan, bukan lagi sebagai kemudahan untuk berinteraksi dengan rakan-rakan dari seluruh dunia. Guru seharusnya mengambil peluang terhadap kepesatan dunia internet untuk mengubah cara mengajar dalam usaha mencapai tahap pengajaran yang berkesan.

Tidak dinafikan, penggunaan pen marker dan papan tulis, serta buku masih lagi berfungsi dan relevan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran seorang guru di dalam bilik darjah. Namun, sebagai guru yang baik, guru perlu mengambil kesempatan mengubah gaya pengajaran agar lebih menarik dan menambah minat murid untuk belajar. Dalam pengajaran bahasa Melayu misalnya, terdapat pelbagai cara untuk guru mengaplikasikan kedua-dua laman sosial ini dalam pengajaran bahasa. Selain laman-laman sosial digunakan sebagai medan meluah perasaan, memuat naik gambar, memberitahu aktiviti semasa yang dilakukan dan sebagainya, guru perlu memikul tugas untuk menerapkan suatu budaya belajar dalam dunia laman sosial. Guru perlu membuatkan laman sosial sebagai laman ilmu dan laman yang memberi faedah kepada murid-murid.

Untuk melakukan pengajaran melalui ‘facebook’ dan ‘twitter’, guru perlulah terlebih dahulu mempunyai akaun kedua-dua laman sosial tersebut. Melalui akaun laman sosial yang telah diwujudkan, guru perlu menambah anak-anak murid sebagai rakan. Seterusnya, barulah guru boleh melakukan pengajaran berbantukan laman sosial tersebut. Dalam pengajaran karangan misalnya, guru boleh memuat naik contoh karangan sehari sebelum pengajaran yang melibatkan format karangan tersebut sebagai tatapan awal murid sebelum masuk ke kelas keesokkan harinya. Perkara ini dapat memberi gambaran awal kepada murid terhadap apa yang bakal dipelajarinya dan perkara dapat ini mengukuhkan kefahaman murid.

Dalam pengajaran karangan, guru boleh melakukan aktiviti menyambung cerita di laman “Facebook”, contohnya, guru menulis satu perenggan di dinding laman sosial dan kemudiannya meminta murid untuk menyambung jalan cerita tersebut. Pengajaran sebegini sangat menarik dan merupakan suatu kelainan ketara dalam pengajaran guru. Murid tentunya teruja apabila dapat belajar dalam laman sosial, yakni satu dunia pembelajaran yang baharu baginya.

Selain itu, guru juga boleh memuat naik nota-nota tatabahasa dan latihan tatabahasa untuk dijawab oleh murid. Guru memberikan satu tempoh masa untuk murid menjawab soalan latihan tatabahasa dalam laman sosial. Salah satu faedah mengadakan kuiz di laman sosial ialah, murid-murid akan berlumba-lumba menjawab soalan yang diberikan kerana rakan-rakan mereka boleh melihat jawapan yang diberikan. Apabila masing-masing boleh melihat jawapan masing-masing, pastilah murid-murid akan saling bersaing menjawab soalan yang diberikan dengan baik untuk menjadi yang terbaik.

Di samping itu, guru juga boleh memuat naik contoh karangan terbaik setiap kali latihan karangan diberikan di dalam kelas. Karangan murid yang terbaik diimbas dengan menggunakan mesin pengimbas, lalu dimuat naik ke dalam laman-laman sosial untuk tontonan umum. Murid yang terlibat pasti berasa bangga dan gembira serta rasa dihargai oleh guru. Peneguhan melalui cara ini sangat berkesan bukan sahaja kepada diri murid tersebut, malah memberi motivasi kepada Murid-murid yang lain. Mereka akan cuba membuat karangan yang sebaik mungkin untuk menjadi karangan pilihan yang bakal dimuat naik oleh guru di laman sosial seperti di “Facebook” dan di ‘Twitter”.

Laman sosial memberi kemudahan kepada penggunanya untuk berkongsi gambar, video, fail dan sebagainya. Guru boleh mengambil kesempatan ini dengan memuat naik video yang berkaitan dengan pengajaran bahasa Melayu seperti video forum, video debat dan sebagainya. Guru juga boleh memberi maklumat melalui perkongsian pautan untuk ke laman-laman web yang berbicara mengenai aspek pengajaran bahasa. Untuk memastikan keberkesanan cara ini, guru boleh meminta murid membuka pautan yang dikongsikan dan fahami apa yang ada di dalam laman tersebut, dan keesokkan harinya guru boleh meminta murid menerangkan apa yang terdapat dalam laman tersebut.

Guru memikul tanggungjawab yang besar selain daripada tugas mengajar. Guru adalah contoh terbaik kepada murid-murid. Melalui laman-laman sosial yang dimiliki oleh guru, guru perlu menerapkan budaya berbahasa dengan baik serta menanamkan nilai kesopanan dalam berbahasa. Guru perlu menggunakan bahasa yang baik dalam usaha untuk menerapkan penggunaan bahasa dengan baik oleh murid-murid dan dalam kalangan teman-teman sosial yang lain.

Kesimpulannya, dalam era internet sekarang, amat wajar guru mengaplikasikan laman “facebook” dan ‘twitter’ dalam pengajaran bahasa Melayu. Cara ini dilihat lebih berkesan kerana murid banyak menghabiskan masa di laman-laman sosial. Cara ini dapat membuatkan penggunaan laman sosial lebih berfaedah dan membuatkan murid seronok dan termotivasi apabila belajar dengan menggunakan laman sosial yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

No comments:

Post a Comment